Oleh Karmila Azmi
20 Julai 2022, 14:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Singapura – Hadiah Sastera Singapura (SLP) mengumumkan senarai akhir calon pemenang untuk anugerah berprestij itu bagi tahun 2022.

Bagi kategori karya bahasa Melayu, Suratman Markasan dan Farihan Bahron dianggap berpotensi bergelar pemenang susulan masing-masing tercalon menerusi dua buah karya.

Suratman, penulis veteran Singapura tersenarai dalam kategori bukan fiksyen menerusi dua buah karya, iaitu Mengapa Saya Menulis dan Mengasah Kalam (Jilid 2). Seorang lagi yang berada dalam senarai pendek kategori itu ialah Ali Salim menerusi Kampong Keranji 1948–1973: Sebuah Memoir.

Selain bukan fiksyen, SLP turut menyediakan pencalonan akhir untuk kategori puisi dan fiksyen. Farihan tercalon dalam kategori puisi menerusi Tang Ke Ting. Beliau bersaing dengan Muhammad Khairool Haque (Anak Waktu Belajar Diam), Hartinah Ahmad (Gandoura) dan H.B. Johar (Perahu Sudah Dipecahkan Khidir). Tang Ke Ting merupakan kumpulan puisi Farihan yang memenangi Hadiah Utama Sayembara Puisi Kata-Pilar 2.0.

Bagi kategori fiksyen, Farihan mempertaruhkan kumpulan cerpen Kepala Kotak. Karya fiksyen tersebut bersaing dengan kumpulan cerpen Bara oleh Maarof Salleh, Interlud (Djohan Abdul Rahman), dan Saudagar Pagar oleh Mohamed Naquib Ngadnan.

SLP merupakan hadiah sastera dwitahunan yang dimulakan pada tahun 1992. Hadiah berprestij Singapura ini memberikan pengiktirafan kepada karya sastera penulis Singapura yang ditulis dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, dan Tamil.

Kesemua karya dinilai berdasarkan empat kategori dengan hadiah mencecah S$10 000 (RM31 975). Anugerah ini dianjurkan oleh Majlis Buku Singapura dengan kerjasama Majlis Seni Kebangsaan dan Lembaga Perpustakaan Negara Singapura.

Kumpulan puisi Tang Ke Ting boleh dibeli di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!