19 Julai 2022, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Manuskrip mengandungi teks bertulis tangan, dicatat pada helaian atau lembaran, tidak ditaip atau melalui proses cetakan dan diklasifikasikan sebagai satu daripada sumber primer dalam metodologi pengkajian sejarah. Kini, manuskrip alam Melayu (catatan hikayat, undang-undang berkanun dan surat diraja) menjadi sebuah khazanah negara yang sangat tinggi nilai sejarahnya kerana mengandungi catatan masyarakat Melayu dalam pelbagai bidang.

“Khazanah ini tidak seharusnya dipinggirkan kerana manuskrip ini merupakan bukti warisan intelektual yang dimiliki oleh masyarakat dalam alam Melayu. Khazanah ilmu ini pula terkandung dalam pelbagai subjek, contohnya manuskrip tib atau umumnya disebut sebagai manuskrip berkaitan dengan ilmu perubatan Melayu,” ujar Ts. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau hadir sebagai salah seorang daripada panel jemputan forum “Manuskrip Tib: Khazanah Negara yang Dilupakan” secara dalam talian bersama-sama dengan Prof. Madya Dr. Mohd Affendi Mohd Shafri, Pensyarah Kuliyyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), cawangan Kuantan, Pahang. Forum tersebut merupakan anjuran bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka yang menampilkan Tuan Sayed Munawar Sayed Mustar sebagai moderator forum.

Forum “Manuskrip Tib: Khazanah Bangsa yang Dilupakan” yang diadakan secara dalam talian.

Menyentuh tentang elemen pengabsahan atau kredibiliti manuskrip yang diperoleh, beliau turut menjelaskan bahawa manuskrip yang dianggap tidak lengkap (ketiadaan catatan nama penulis atau tempat asal) tidak seharusnya ditolak secara sepenuhnya selagi tidak diuji dan dikaji manfaat serta kebenarannya. Para pengkaji manuskrip harus mengamalkan sikap terbuka, proaktif dan mempunyai inisiatif dengan melibatkan pakar daripada bidang lain seperti ahli kimia dan pakar perubatan.

Dalam membicarakan tentang keaslian atau palsunya sesebuah manuskrip, beliau tidak menafikan bahawa sememangnya manuskrip Melayu banyak disalin semula. Proses penyalinan merupakan metode penyebaran dan tradisi menuntut ilmu dalam alam Melayu pada ketika itu apabila murid datang menyalin ilmu daripada gurunya atau guru mengajarkan ilmu yang telah disalin terlebih dahulu.

Selain itu, forum tersebut turut membincangkan tentang kedudukan agama ketika mengkaji manuskrip tib yang mengandungi amalan dan unsur animisme.

Melalui pengalaman saya ketika mengkatalogkan manuskrip tib, saya menemui tiga kategori, iaitu pertama, manuskrip yang tidak menyentuh apa-apa unsur Islam. Manuskrip ini mencatatkan mantera, jampi, ramuan ubat-ubatan, rajah tertentu dan sebagainya. Kedua, manuskrip percampuran, iaitu manuskrip yang mencampurkan unsur tradisional klasik dan unsur Islam dan yang terakhir ialah manuskrip yang mempunyai unsur Islam semata-mata.

Beliau mengakhiri bicaranya dengan menyatakan saranan bagi melestarikan cabang ilmu ini agar tidak dilupakan, iaitu dengan mewujudkan kerjasama strategik daripada pelbagai pihak. Tanggungjawab ini bukan tugas persendirian ataupun bersifat kelompok tetapi memerlukan gabungan kepakaran pelbagai bidang. Beliau juga menyeru agar para pengkaji menerbitkan hasil penemuan dan kajian masing-masing berkaitan dengan apa-apa juga jenis kitab manuskrip supaya ilmu ini tidak hilang ditelan zaman. Usaha ini tidak terbatas kepada penerbitan naskhah sahaja, bahkan para pengkaji boleh memanfaatkan teknologi seperti media sosial agar ilmu tersebut dapat dicapai oleh pengkaji lain dan menjadi panduan bagi generasi muda.

 

Tonton rakaman forum di sini.

Kredit Foto: Khaterine Hanlon/Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.