Oleh Mimi Musa
13 Julai 2022, 14:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gerik – “Penulisan travelog sentiasa mempunyai peminatnya sendiri. Travelog merupakan satu catatan pengembaraan dan juga pemerhatian yang tajam terhadap realiti kehidupan orang lain,” kata S.M. Zakir, pengurus syarikat penerbitan buku sastera, Nusa Centre. Beliau berkata demikian dalam program kendaliannya, Bengkel Penulisan Travelog yang diadakan pada 1 hingga 2 Julai 2022 di atas rumah rakit di Tasik Temenggor, Pulau Banding, Gerik, Perak.

Antara karya travelog yang disebutkan dan mendapat perhatian ramai ialah siri buku Ustazah Berbasikal, kisah perjalanan suami isteri merentasi 14 negara untuk ke Mekah. Buku tersebut merupakan catatan kembara yang mempunyai nilai dan keunikan. S.M. Zakir turut menekankan keunikan setiap karya travelog supaya karya tersebut mempunyai nilai tambah yang berguna untuk rujukan generasi masa hadapan yang mungkin tidak dapat melalui peristiwa, situasi, masa, dan tempat yang sama.

Antara jenis penulisan travelog lain ialah catatan pengamatan terhadap hal atau orang sekeliling, seperti yang dituliskan oleh Frank Swettenham dalam Malay Sketches. S.M. Zakir menyebutkan judul terjemahan Malay Sketches, iaitu Gelagat dan Ragam Orang Melayu yang baru saja diterbitkan bulan lalu dan dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 oleh IBDE.

“Kita perlu memperbanyak penulisan seperti ini supaya kita dapat meninggalkan catatan tentang bangsa kita,” katanya lagi.

S.M. Zakir sendiri menerbitkan buku travelog Catatan dari Formosa 1 dan Catatan dari Formosa 2 yang diterbitkan pada tahun 2021. Siri travelog ini merupakan catatan perjalanan beliau selama sebulan semasa mengikuti program Writers in Residency di Taipei Artist Village, Taiwan. Menurutnya, kerajaan Taiwan telah membina Muzium Nasional Sastera Taiwan di Tainan untuk menghimpunkan karya-karya sastera tempatan dan secara tidak langsung sebagai usaha pendokumentasian serta pemeliharaan budaya negara tersebut.

Seramai 31 peserta telah menyertai bengkel ini. Selain berbengkel, peserta juga berpeluang untuk ke Air Terjun Kooi untuk merasai tujahan air terjun setinggi bangunan sepuluh tingkat selepas 30 minit mendaki. Selain itu, peserta turut berpeluang berakit ke tengah Tasik Temenggor yang berkeluasan empat kali Singapura dan berkedalaman 400 kaki.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.