Oleh Karmila Azmi
7 Julai 2022, 14:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Santubong di Sarawak dipercayai negeri Melayu kedua tertua berdasarkan penemuan arkeologi yang ditemui di lokasi berkenaan.

Pakar sejarah Sarawak, Datu Dr. Sanib Said menegaskan, dalam kajian arkeologi di kawasan berkenaan, penyelidik menemui tahi besi, selain serpihan tembikar yang digelar sebagai “pasu malaya”.

“Hal ini menjelaskan kedudukan Santubong sebagai negeri Melayu kedua tertua di dunia, apatah lagi ia pernah menjadi tapak arkeologi terbesar di Asia Tengara.

“Bagaimanapun, ia semakin dilupakan,” katanya dalam Wacana Manuskrip Melayu Bertemakan Melayu-Jawi di Sarawak: Menobatkan Santubong sebagai Negeri Melayu Kedua Tertua Dunia di Wisma Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini, semalam.
Tegas Sanib, penemuan itu bagaimanapun dimuatkan dalam buku teks Sejarah Tingkatan Dua dan Lima.

Walau bagaimanapun, kajian dan penemuan mengenai Santubong seharusnya mendapat perhatian lebih luas, selain diusahakan untuk disenaraikan dalam Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sanib berkata, Santubong yang terletak 30 minit perjalanan dari Kuching juga sudah mula wujud sejak 300 Era Sebelum Sekarang (ESS).

“Santubong dikenal sebagai pusat pelancongan domestik, namun ia juga mempunyai tarikan yang lebih daripada itu.

“Kunjungan ke Santubong boleh disertakan dengan kunjungan ke lokasi arkeologi yang menempatkan tahi besi dan juga beberapa artifak lain, seperti berhala,” katanya.

Tegas Sanib, pasu malaya yang ditemui dalam ekskavasi arkeologi kini ditempatkan di Muzium Sarawak.

Tonton wacana penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.