29 Jun 2022, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu Presiden Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS), Encik Norawi Haji Kata merakamkan rasa kesyukuran dan terima kasih atas sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha merealisasikan pelaksanaan bengkel perolehan puisi baru-baru ini.

“Sesungguhnya, bengkel ini merupakan ruang dan peluang yang sangat berharga kepada para peserta untuk mencerap ilmu dalam penghasilan puisi. Pemilihan teori semiotik dalam penghasilan puisi merupakan nilai tambah yang julung-julung kali dihasilkan oleh para penulis, terutamanya penulis puisi di Sabah,” katanya.

DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama PSBS telah menganjurkan Bengkel Perolehan Manuskrip Kumpulan Puisi pada 25 dan 26 Jun 2022, di Kompleks DBP Cawangan Sabah. Program kerjasama ini bertujuan untuk memperoleh manuskrip kumpulan puisi berdasarkan teori semiotik puisi di samping menghasilkan karya bermutu yang dapat mengangkat kepenyairan di Sabah.

Bengkel ini disertai oleh 25 orang peserta yang terdiri daripada penulis mapan dan penulis baharu di negeri Sabah. Para peserta sangat bertuah kerana dibimbing oleh pembimbing yang pakar dalam bidang semiotik puisi, iaitu Dr. Mohamad Sahidan dan Encik Zaen Kasturi.

Sesi dialog antara DBP, PSBS, penceramah dengan peserta.

Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa DBP akan sentiasa menyokong program yang dianjurkan oleh persatuan penulis. Tambahan pula, bengkel ini selaras dengan fungsi penerbitan di DBP Cawangan Sabah, iaitu membuat perolehan manuskrip buku pelbagai bidang, termasuk puisi untuk diterbitkan.

Para peserta turut berpeluang berinteraksi dengan Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP berkenaan isu-isu semasa penerbitan DBP dan peluang penerbitan karya di DBP.

Berdasarkan sesi dialog antara DBP, PSBS, pembimbing dengan peserta, dijangka 18 buah kumpulan puisi dan satu antologi puisi akan dihasilkan melalui bengkel ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.