Oleh Rosli K. Matari
13 Jun 2022, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rosli K. Matari cuba mengenali Isma Ae Mohamad, pengarang Melayu–Thailand yang prolifik, dengan lebih dekat.

Meski ketokohan dan hasil kepengarangannya diminati dan dikagumi ramai dalam kalangan pembaca serta peminat sastera di negara ini, namun sebenarnya hanya karyanya itu sahaja yang lebih dikenali dan diketahui oleh kebanyakan khalayak sastera. Bukan dirinya, sepenuhnya.

Isma Ae Mohamad merupakan pengarang Melayu–Thailand yang sedang meningkat terkenal di Malaysia, mutakhir ini.

Keistimewaan bergerak mandiri dan kreativitinya menjadikan beliau terkenal. Karyanya semakin mendapat sambutan baik di Malaysia, sekurang-kurangnya disebabkan oleh tiga faktor utama, iaitu:

  1. Keunikan latar belakang diri beliau sebagai pengarang Melayu warga Thailand yang dibesarkan (lama bermastautin) dan berpendidikan di Malaysia.
  2. Keistimewaan pemikiran dalam hampir keseluruhan karya kreatifnya, yang bertitik tolak tentang sosiobudaya masyarakat Melayu–Patani di selatan Thailand. Hal ini menonjolkan fokus khusus, serius dan mendalam yang membawakan kelainan, pembaharuan serta kesegaran dari segi pemikiran tema dan persoalan yang membantu mengisi mendinamikkan kesusasteraan moden Malaysia.
  3. Beliau lebih ketara dikenali sebagai novelis yang boleh dianggap prolifik, meski tumpuan kreativitinya turut menghala pada genre cerpen dan karangan bukan kreatif lain juga.

Novelis Melayu–Thailand terkenal ini telah menghasilkan sebanyak enam buah novel yang mendapat sambutan baik dalam kalangan pembaca sastera di Malaysia. Semua buku beliau diterbitkan di Malaysia. Sehingga kini, tiada sebuah pun daripada novel dan mana-mana buku lain karangan beliau diterbitkan di Thailand, misalnya di selatan Thailand, meskipun beliau merupakan warga Negara Gajah Putih itu.

Hal demikian, sama ada menimbulkan suatu aspek kelainan, kekaguman, rasa hormat, dan simpati dalam kalangan pembaca dan peminat sastera, tidak dapat dinafikan turut memangkinkan dari segi penerimaan dan sambutan terhadap buku beliau – khasnya kreativiti novel – di negara ini.

Demikian, Isma Ae Mohamad sebagai pengarang Melayu–Thailand terkenal ikut menzahirkan kreativitinya secara komited dan cemerlang sebagai pengisian cukup bermakna dalam dinamika kesusasteraan moden di Malaysia.

Sungguhpun demikian, meski ketokohan dan hasil kepengarangannya diminati dan dikagumi ramai dalam kalangan pembaca serta peminat sastera di negara ini, namun sebenarnya hanya karyanya itu sahaja yang lebih dikenali dan diketahui oleh kebanyakan khalayak sastera. Bukan dirinya, sepenuhnya.

Isma Ae Mohamad

Latar belakang diri dan serba-serbi liku hidup beliau, boleh dikatakan sebagai masih tersembunyi, belum terdedah secara lebih dekat dan luas kepada khalayak sastera di negara ini.

Meski pada asasnya dianggap umum sebagai pengarang luar, yakni bukan dalam baris pengarang Malaysia, beliau sebenarnya tidaklah menyembunyikan diri, justeru sebagai pengarang Melayu–Thailand. Latar dirinya bagai tersembunyi, hanyalah kerana karyanya yang semata-mata lebih mendapat perhatian kajian oleh para sarjana dan pengkritik, berbanding dirinya.

Kesempatan janji temu penulis dengan tokoh pengarang Melayu–Thailand terkenal ini, baru lepas, yang turut disertai oleh Penyelaras pertubuhan Liga Penulis Kelantan (LPK), Mohd Dahri Zakaria dan penulis pelapis Kelantan, Nik Mohd Hafiz Abdullah, memberikan ruang dan peluang bagi mengenali dan mengetahui dengan agak terperinci tentang latar belakang beliau, secara lebih dekat dan luas.

Pertemuan kami di pekan Wakaf Bahru, Tumpat, Kelantan, pinggir bandar Kota Bharu, adalah ketika beliau sudah pun bercadang hendak pulang ke Thailand. Namun begitu, dengan rendah diri berkesanggupan menunggu janji temu, beliau menangguhkan hasrat untuk bergegas pulang.

Bagi sesetengah khalayak sastera di Malaysia, nama pengarang Melayu–Thailand terkenal ini, Isma Ae Mohamad, tersangka disengajakan demikian semata-mata nama samaran. Lebih-lebih lagi kerana keseluruhan novelnya berfokuskan masyarakat Melayu–selatan Thailand. Oleh itu, bagai harus menyamarkan namanya kerana daerah selatan Thailand itu, diketahui umum, sesekali bergolak dengan perkara yang tidak diingini.

Namun sebenarnya, namanya itu bukanlah penyembunyian diri. Tidak sama sekali. Nama itu ialah nama penuh dan sebenar diri beliau.

Malah, sesetengah khalayak pula cenderung menganggap bahawa kreativiti novel beliau lebih menuju kepada aspirasi meniupkan semangat api perjuangan atau pemberontakan di sana. Padahal, beliau bukanlah pengarang yang menghala pada matlamat tersebut. Pemikiran dan kreativitinya lebih menyelami dan merakamkan sosiobudaya masyarakat Melayu–Patani berlandaskan fakta sejarah, digerakkan secara imaginatif faktual.

Apabila menyentuh namanya – Isma Ae – dalam sembang kami, Dahri Zakaria tertawa, mendedahkan, “Saya pernah ditanyakan oleh beberapa orang sahabat penulis di Kota Bahru, apakah erti sebenar – ‘Ae’ – yang terselindung di sebalik nama itu? Diduga, nama samaran.”

Kami gelak. Isma Ae menggeleng-geleng kepala.

“Sesetengah pula bertanyakan cara dan bunyi sebenar untuk menyebutkan nama ini kerana tertulis – ‘Ae’. Bagai keliru dan kekok untuk bunyi sebutannya,” ujar Dahri lagi. Hal demikian tidak menghairankan, justeru Dahri memang sedia diketahui dalam kalangan penulis Kelantan sebagai sahabat paling akrab dengan Isma Ae.

Hafiz pula sempat mencelah gurau, “Kalau di klinik mata – ‘Ae’ – itu digunakan bagi huruf untuk uji penglihatan mata.” Kami gelak lagi. Isma Ae yang cepat mesra, lebih panjang gelaknya.

Jika dalam bahasa Melayu di Malaysia, nama beliau Isma Ae Mohamad haruslah sebagai “Ismail Mohamad”. Dilahirkan di Patani, Thailand pada 4 Januari 1983. Oleh itu, namanya ialah Isma Ae pada ejaan mengikut sebutan kata, pengaruh bahasa Thai. Bapanya, Mohamad Che Sulaiman, kini 70 tahun, berasal dari Thailand. Namun begitu, ibunya, Zaharah Sulaiman, kini 65 tahun, berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Ketika masih “umur merah” atau “merah bayi” (peribahasa orang tua Kelantan), dalam usia lahir yang baru 40 hari, Isma Ae dibawa menetap di kampung ibunya di Kelantan.

Oleh itu, Isma Ae membesar dan bersekolah di Kelantan.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Delima, daerah Tumpat. Pendidikan peringkat menengah pula di Sekolah Menengah Kebangsaan Bunut Susu, daerah Pasir Mas. Isma Ae berjaya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi MARA (ITM) semasa peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kemudian, beliau mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) sebagai calon persendirian. Belia berjaya mendapat tawaran untuk memasuki Universiti Utara Malaysia (UUM).

Namun begitu, kedua-dua tawaran pengajian itu terpaksa dilupakan olehnya. Keluarganya bukanlah orang berada. Sementelah pula, yuran pengajian adalah lebih tinggi kerana beliau bukan pemegang kad pengenalan sebagai warganegara Malaysia. Sejak itulah beliau melupakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi buat selama-lamanya dalam hidupnya.

Namun begitu, Isma Ae diuji oleh takdir daripada Ilahi.

Isma Ae merupakan anak kedua daripada enam orang adik-beradik. Berbeza daripada empat orang adiknya yang dilahirkan di Kelantan, mereka mempunyai surat beranak (sijil kelahiran) dan kad pengenalan di negara ini. Hanya beliau dan abangnya warganegara Thailand kerana dilahirkan di sana, meski dibesarkan oleh kedua-dua orang tuanya di Malaysia. Bapanya pemastautin, mencari rezeki di negara ini.

Namun begitu, Isma Ae diuji oleh takdir daripada Ilahi. Kedua-dua ibu bapanya berpisah. Ketika itu usia Isma Ae baru mencecah 12 tahun, baru darjah enam di sekolah rendah. Bapanya pulang ke kampung asal di Patani. Isma Ae tinggal dengan ibunya. Menetap di Kampung Teliar, Bunut Susu–Pasir Mas, Kelantan.

Setelah tamat alam persekolahan, Isma Ae selama kira-kira 10 tahun melakukan apa-apa sahaja kerja, yang dalam sosiobudaya Kelantan disebutkan sebagai “kerja kampung” bagi menyara hidupnya yang sudah harus berdikari selepas tamat persekolahannya itu. Di samping sebagai usaha membantu menyara ibu tercintanya.

“Berpanas, berhujan – saya. Itu sebab kulit saya gelap,” Isma Ae sempat berjenaka. Namun, bukan tidak ada logiknya. Beliau berhempas pulas dalam kesusahan hidup dengan pelbagai “kerja kampung”.

“Apakah contoh kerja yang pernah abang lakukan itu?” Hafiz perlahan-lahan mencelah, ingin tahu, meski memahami liku-liku hidup yang ditempuhi oleh pengarang ini cukup merawan hati.

“Sebahagian antara kerja itu ialah sebagai buruh di kilang batu-bata di daerah Tanah Merah. Kemudian, pembantu tukang rumah ke mana-mana daerah. Pernah jadi pekerja katering di pekan Pasir Pekan.”

Pada wajah serta matanya, kami tahu beliau cuba mengingat. Mengenang-ngenang sejenak akan segala suka duka setiap satu pekerjaannya itu. Namun, ketika memandang semula kepada kami, beliau tetap mampu tersenyum pada hujung kenangannya.

Saya menguis dan menekan kaki Hafiz di bawah meja. Hafiz mengangguk, memahami agar tidak bertanya lanjut lagi tentang kenangan segala pekerjaan itu. Memanglah meruntuhkan hati untuk dikenangkan, justeru mencari sesuap nasi bagi menyara dirinya serta ikut membantu ibu tercinta dan adik-adiknya.

Selepas kira-kira 10 tahun kemudian, Isma Ae tekad membawa dirinya merantau ke Bangkok.

Beliau mencari dan melakukan pelbagai kerja di sana. Sehingga kini, beliau masih menetap di ibu kota Negara Gajah Putih itu. Adik-beradiknya sudah besar, bekerja dan boleh menjaga serta turut memelihara ibu. Namun begitu, “penghijrahan”nya ke ibu negara itu bukanlah memisahkan tanggungjawabnya kepada ibu tercinta. Beliau tetap sering kembali, berulang-alik ke Malaysia. Menurutnya, sebelum pandemik COVID-19, beliau selalu pulang setiap dua atau tiga bulan sekali. Menemui ibunya, menetap di Kampung Teliar, Bunut Susu–Pasir Mas.

Ketika artikel ini ditulis, sehari dua lagi, beliau akan kembali ke Bangkok semula.

“Ya, memang terasa bagai – berhijrah,” ujar beliau. Kami memahami keluhannya. Keluhan batin. Tentulah sukar tergambarkan.

Dari kiri: Mohd Dahri Zakaria, Isma Ae Mohamad,
penulis dan Nik Mohd Hafiz.

Betapa tidak, beliau bagai “menumpang” apabila dilahirkan di Patani, selatan Thailand. Sekadar 40 hari sahaja di sana pada zaman bayi, sebelum dibawa pulang ke Kelantan. Namun begitu, di negara ini pula – meski berpuluh-puluh tahun –  sejak dari kecil hingga dewasa, bukanlah sebagai warganegara. Justeru, beliau masih kekal sebagai “orang dari seberang negara”.

Penulis merenung akan hal ini. Merawan hati. Sebagaimana, penulis suarakan empati, pada tulisan baru lepas.

Barangkali, beliau sendiri pun sukar untuk menetapkan dan menjelaskan diri – antara belah bagi liku-liku hidup dengan dunia yang sedang didepaninya: Malaysia–Thailand. Inilah seorang pengarang yang cukup menyayat hati dengan liku-liku suka hidupnya kepada kita. Namun begitu, beliau menyembunyikan kesedihan dan tangis hidupnya. Dalam kreativitinya, beliau menulis tentang orang lain – masyarakat dan bangsa yang sedang diamatinya dan diselaminya dengan cukup mendalam.

Sahabat baiknya Dahri menanyakan bagaimana beliau dapat menumpukan masanya antara kreativiti dengan pekerjaan di ibu kota Bangkok itu.

Beliau tenang menjawab, “Tidak ada masalah. Sama sekali bukan suatu masalah besar. Saya bekerja, apa-apa sahaja pekerjaan yang dapat dicari dan dilakukan di sana, dari semasa ke semasa. Mengarang tidaklah terikat pada sebarang waktu. Oleh itu, dapat mengarang.”

“Oh. Sudah tentu kita tidak mengarang semasa sedang bekerja,” Isma Ae memandang Hafiz, meski sambungan jawapan itu agak lambat sedikit. Mereka berdua bersama ketawa.

Semasa perjalanan datang, sebelum bertemu Isma Ae, kami sudah bersepakat tidak akan menanyakan pekerjaan beliau di Thailand. Manalah tahu, kalau-kalau beliau akan segan untuk memberitahu kami. Justeru, Dahri yang akrab dengan Isma Ae sudah memaklumkan bahawa pengarang itu mencari dan sentiasa melakukan pelbagai pekerjaan rencam untuk menyara hidupnya di sana.

Walau apa-apa pun, sesungguhnya beliau ialah individu sekali gus pengarang yang begitu tabah mengharungi liku-liku perjalanan hidup. Pelbagai dugaan dan rintangan hidup yang dilaluinya sejak dari zaman kanak-kanak menjadikannya cekal dan memberikan keberanian mendepani hidup, walau di mana-mana pun.

Malah, kami beranggapan, kecekalan yang dimiliki dan serba cabaran pengalaman yang dialaminya itulah sebenarnya yang menjadi tunjang terbesar pada kekuatan, ketabahan dan keprolifikan beliau dalam ketekalan kreativitinya.

Sehingga kini, di samping pelbagai karya eceran kreatif dan bukan kreatif dalam pelbagai media massa, Isma Ae Mohamad telah mengarang sejumlah enam buah novel, termasuk sebuah karya bersama dengan pengarang selatan Thailand, Zulfikri Ibrahim.

Novel-novel tersebut ialah Laskar Cinta (PTS, 2010), kemudian diterbitkan semula dengan judul Anak-anak Karen (Dubook Press, 2017), Ratu-ratu Patani (ITBM, 2015), Republik Sungai Golok (Dubook Press, 2016), Nakhara: Api Cinta di Patani (bersama Zulfikri Ibrahim, Deleted Books, 2017), Sawasdee Bangkok (KEA Darul Falah, 2019), dan Perang Patani–Singgora (KEA Darul Falah, 2019).

Di samping itu, terdapat sebuah kumpulan cerpen persendiriannya dan dua buah buku kajian, termasuk sebagai karangan kajian bersama Suraiya Chapakiya yang telah diterbitkan. Semua buku ini juga diterbitkan oleh penerbit di Malaysia.

Keistimewaan beliau membawakan fiksyen imaginatif faktual berkaitan sosiobudaya masyarakat Melayu di selatan Thailand dan juga Myanmar, dapat dipuji dan dikagumi. Hal inilah menyumbangkan kesegaran, pengayaan dan peluasan rencam pemikiran dalam dinamika kesusasteraan mutakhir di Malaysia. Kelainan inilah juga sebagai daya tarikan yang kuat memancing khalayak sastera tempatan untuk memasuki alam imaginatif faktual beliau.

Kredit Foto: Kowit Photisan/Unsplash

_________________________

Rosli K. Matari atau nama sebenarnya Mohd Rosli bin Nik Mat tinggal di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.