13 Jun 2022, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Nancy Shukri melancarkan Hari Puisi Malaysia pada 13 Jun 2021 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Oleh itu, pada 13 Jun 2022, Hari Puisi Malaysia menyambut ulang tahunnya yang pertama. Raja Yusoff Ariffin bertanyakan pandangan beberapa orang penyair dan penggiat puisi mengenai pengisian yang wajar dalam menyambut Hari Puisi Malaysia ini.  

Apa gunanya ada bekas, tetapi tiada isi? Kalau ada isi pula, tetapi tanpa ramuan berkhasiat dan enak pun tidak berguna juga. Pada saya, pengisiannya bukan setakat acara deklamasi di sana sini seperti kelaziman, tetapi menyemaikan minat terhadap puisi dalam kalangan pelajar sekolah

Penyair wanita terkenal kelahiran Perak, Ratna Laila Shahidin tidak menjelaskan beliau bersetuju atau sebaliknya dengan kewujudan Hari Puisi Malaysia. Cuma, beliau berpendapat tiada gunanya hari sedemikian kalau tidak diisi dengan perkara yang memberikan manfaat.

“Apa gunanya ada bekas, tetapi tiada isi? Kalau ada isi pula, tetapi tanpa ramuan berkhasiat dan enak pun tidak berguna juga. Pada saya, pengisiannya bukan setakat acara deklamasi di sana sini seperti kelaziman, tetapi menyemaikan minat terhadap puisi dalam kalangan pelajar sekolah,” tegas beliau.

Puisi-puisi Sasterawan Negara atau sasterawan lain, tambah Ratna, sepatutnya mudah ditemui seperti di hospital, stesen pengangkutan awam, pasar raya, sekolah, dan restoran.

“Saya fikir, akhbar-akhbar yang ada halaman sastera perlu menyiarkan lebih banyak puisi bermutu pada hari sambutan Hari Puisi Malaysia tersebut. Cuma, tahun ini Hari Puisi Malaysia disambut pada hari Isnin, sedangkan halaman sastera akhbar di negara kita pada hari Ahad,” tegas Ratna lagi.

Penyair era 1980-an, Suwanlerd Pro Poul pula tiada sebarang masalah dengan Hari Puisi Malaysia. Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini juga tidak kecewa jika tiada apa-apa kegiatan seperti perhimpunan penulis untuk deklamasi atau wacana dalam menyambut hari berkenaan.

Suwanlerd Pro Poul

“Walau bagaimanapun, bagus juga kalau dapat diadakan perhimpunan sedemikian dengan tujuan bertukar-tukar buah fikiran. Saya berminat untuk menyertainya jika ada masa bila-bila dan di mana-mana pun,” tambahnya yang turut menulis cerpen, dan menterjemahkan cerpen daripada bahasa asing ke bahasa Melayu.

Djazlam Zainal

Penyair yang turut menulis novel, dan esei kritikan sastera, Djazlam Zainal pula berharap semua pemilik Facebook menulis puisi dan memuat naik pada status akaun media sosial masing-masing pada Hari Puisi Malaysia ini nanti.

“Untuk lebih bermakna, tidak cukup dengan itu sahaja. Pertubuhan bukan kerajaan atau persatuan penulis seperti Persatuan Penulis Nasional Malaysia, dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia perlu melihat dan memilih puisi yang bermutu untuk dibukukan,” tambah Djazlam yang berasal dari Klang, Selangor, tetapi kini menetap di Bukit Katil, Melaka.

Mantan pegawai Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara di Kuala Lumpur itu juga menegaskan DBP mesti turut terlibat kerana ia pertubuhan atau agensi kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang amat relevan dengan segala hal berkaitan puisi.

Jurulatih teater Sekolah Seni Malaysia Johor yang turut berlakon (teater, drama televisyen dan filem), serta menulis dan mendeklamasikan sajak, Nizam Yamin meraikan Hari Puisi Malaysia dengan perasaan bercampur-baur, iaitu semangat dalam kesedihan dan kekecewaan.

“Dengan berpuisi, kita menganyam ukhuwah dan menjala ilmu sesama kita tanpa mengira bangsa, dan dengan berseni puisi jugalah kita memakmurkan negara tercinta,” tegas Nizam yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Nizam Yamin

Dalam bersemangat, Nizam menulis sajak serta merakamkan pendeklamasian sajak ciptaannya, Bahasa Ibunda dalam video untuk berkongsi rasa sebagai tanda kita berkeluarga besar apabila menggunakan unsur komunikasi, dan penyatuan budaya melalui berbahasa.

Nizam menghasilkan sajak tersebut mengikut tema sambutan tahun ini oleh Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), iaitu “Puisi dan Keluarga Malaysia”. Menurutnya, beliau menghasilkan sajak ini kerana amat sedih dan terkilan lantaran penggunaan bahasa rojak, dan bahasa Melayu cacamarba sedang berleluasa.

Begitu pun, ini bukan sahaja tanggungjawab dan peranan guru bahasa Melayu, sastera dan para sasterawan semata-mata, tetapi tanggungjawab dan peranan kita semua,” tegas Nizam yang menambah apa ertinya Keluarga Malaysia jika bahasa sekeluarga lintang-pukang, serta berkomunikasi dalam bahasa yang berbeza-beza.

Menyedari peranan dan keupayaan puisi dalam masyarakat, PEMUISI di bawah pimpinan Presidennya, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim @ Wanrazuhar dengan bantuan para Pengerusi Jawatankuasa PEMUISI, serta kerjasama daripada Pengerusi Biro Pemuisi Negeri, akan menyambut dan meraikan Hari Puisi Malaysia serentak di seluruh negara pada 13 Jun 2022.

Pada peringkat PEMUISI Pusat, sambutan tersebut akan diadakan di DBP, dan bakal disiarkan secara langsung di laman Facebook DBP, dan laman Facebook PEMUISI Berkarya.

Menurut jurucakap PEMUISI, tema sambutan Hari Puisi Malaysia tahun ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh institusi kekeluargaan, kemasyarakatan, dan seterusnya kenegaraan sebagai objektif pembentukan “Keluarga Malaysia”, iaitu “Puisi dan Keluarga Malaysia”.

______________________________

Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016). 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.