Oleh Rosli K. Matari
8 Jun 2022, 09:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rosli K. Matari pertama kali menemui novelis yang merentas sempadan dengan basikal dan tulisannya, Isma Ae Mohamad.

Masya-Allah, saya menjawab sepatah juga. Terasa, tersentak dada. Namun sangat gembira. Tidak menyangka bahawa Isma Ae Mohamad yang akan ditemui.

“Salam. Esok, kita pintas novelis penggatih dari Patani.”

Begitu kiriman pesanan WhatsApp daripada Mohd Dahri Zakaria pada petang Khamis, 2 Jun. Saya segera terus menghubungi beliau melalui telefon, ingin bertanya lanjut. Namun, deringnya kosong sahaja. Mungkin, kebetulan Dahri sedang sibuk hal lain pula, fikir saya. Oleh itu, saya abaikan telefon. Dahri ialah Penyelaras kepada persatuan Liga Penulis Kelantan (LPK). Setiap minggu, beliau berulang-alik ke Kuala Lumpur kerana bekerja di ibu kota.

Dalam fikiran saya, berlegar beberapa soalan yang tidak berhujungkan jawapan:

  1. Siapa novelis dari Patani itu (yang tentu sahaja dari selatan Thailand)?
  2. Mengapa pula disebutkan sebagai ‘penggatih’? Penggatih tentulah boleh bermaksud sebagai menggatih basikal. Namun, dalam konteks sosiobudaya Kelantan, penggatih juga dimaksudkan sebagai penggatih beca. Saya tergelak juga sejenak, tidak mungkin si penggatih itu berbasikal atau berbeca dari Patani, sejauh itu untuk ke Kelantan.
  3. Perkataan ‘memintas’ itu juga lucu sejenak untuk saya. Dalam dialek Kelantan, perkataan itu lazim kami gunakan untuk perbuatan memintas ayam atau itik.
  4. Malah, saya terfikir, mungkin Dahri tersilap eja. Mungkin perkataan sebenarnya ‘teh’. Mungkin secara berjenaka ingin memberitahu ‘pengeteh’ sebagai maksud pengemar teh. Nanti boleh bertemu, bersembang sambil minum teh tarik. Namun, terdapat beza besar antara penggunaan huruf – g, i dengan e – bagi ejaan ‘penggatih’ dengan ‘pengeteh’. Tidak mungkin beliau tersilap eja.

Kata ‘memintas’ bolehlah diertikan sebagai mengejar. Namun, lebih tepat ialah berada di hadapan bagi menyekat suatu yang sedang dikejar itu. Oleh itu, saya boleh memahami maksud ‘memintas’ oleh Dahri, pada tujuannya itu. Memintas atau menyekat bagi tujuan berjumpa, bertemu mata seseorang – iaitu seorang novelis.

Akan tetapi, siapakah sebenar individu yang ingin dipintas itu? Malah, penggatih pula. Mengapa digelarkan sebagai penggatih?

Hari Jumaat – Dahri sudah berada di Kota Bharu. “Petang nanti, cepat sedikit sembahyang asar,” beliau berpesan, menghubungi saya selepas solat Jumaat.

“Adakah bermaksud, petang nanti, abang harus solat asar – hanya satu rakaat sahaja?”

Dahri tertawa mendengar lelucon pertanyaan saya. Saya sengaja tidak ingin bertanya lanjut lagi. Sengaja melupakan semua soalan yang bermonolog kelmarin. Saya bayangkan, seronok juga untuk menunggu, mengetahui lerai jawapan pada petang nanti.

Petang, Dahri tiba, bergegas mengambil saya.

“Isma Ae Mohamad,” jelas Dahri, sepatah nama, sebagai maksud novelis yang dipintas untuk ditemui itu. Meleraikan jawapan.

“Masya-Allah,” saya menjawab sepatah juga. Terasa, tersentak dada. Namun sangat gembira. Tidak menyangka bahawa Isma Ae Mohamad yang akan ditemui.

Saya sudah lebih 10 tahun mengenal nama Isma Ae Mohamad, sejak novel pertamanya, Laskar Cinta (2010) dan kemudian mengamati dua tiga buah novelnya yang lain lagi. Akan tetapi, saya belum pernah bertemunya secara dekat dan akrab. Saya tahu, beliau menulis cerpen juga, tetapi karya novelnya lebih tegar. Dahri sengaja memintas kerana beliau tahu saya belum pernah ketemu, mengenal Isma Ae.

“Novelis muda penting – Patani,” ujar Dahri.

Akan tetapi saya menukas, “Tidak usahlah menyebutkan sebagai novelis muda pada dirinya. Di selatan Thailand sana tidak ramai novelis. Yang veteran pun tidak kita kenali dan ketahui. Mungkin ada, mungkin tidak ada, yang menulis dalam bahasa Melayu. Terus sahaja sebutkan dia sebagai novelis.”

Dahri sudah jauh lebih awal beberapa tahun mengenal dan akrab dengan Isma Ae Mohamad. Malah melalui LPK sudah pernah mengundang Isma Ae berceramah tentang kreativitinya di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, pada beberapa tahun lalu. Namun, tidak berkesempatan pada saya untuk turut hadir kerana ada urusan di luar daerah Kota Bharu.

Dahri dari Kuala Lumpur, sudah menghubungi melalui telefon – “memintas” Isma Ae agar tidak tergesa pulang ke Bangkok.

Kami hadir bertemu Isma Ae di tempat beliau menunggu. Di bandar kecil Wakaf Bahru, dalam daerah Tumpat, di pinggir bandar Kota Bharu. Ertinya, nanti beliau boleh sahaja dari stesen kereta api di Wakaf Bahru, terus ke Rantau Panjang–Golok (sempadan Kelantan–Thailand), sebelum menaiki kereta api Thailand.

Dari kiri: Mohd Dahri Zakaria, Isma Ae Mohamad,
penulis dan Nik Mohd Hafiz.

Turut hadir juga menyertai kami untuk bertemu dan mengenali Isma Ae buat pertama kalinya ialah penulis pelapis Kelantan, Nik Mohd Hafiz Abdullah. Kami tidak melupakan penulis muda. Walau tidak berkesempatan mengajak beberapa orang penulis muda lain lagi bagi ikut serta, sekurang-kurangnya Hafiz sudah dapat mewakili. Dahri cepat menghubungi. Hafiz bergegas dari tempat kerjanya, sebagai juruteknologi kardiovaskular di Hospital Pakar KPJ Perdana, Kota Bharu.

Bertemu Isma Ae Mohamad, telahan saya meleset, malah mengejutkan sekali.

Isma Ae tidak berkereta api. Beliau sebenarnya berbasikal. Masya-Allah, sejauh itu! Dari Bangkok ke Kota Bharu. Bahkan, sebenarnya, dari Kota Bharu terus ke Kuantan (Pahang). Tercengang saya. Patutlah, Dahri sudah awal-awal lagi memaklumkan – ‘penggatih’ – kepada saya.

Beliau berbasikal: Bangkok–Kota Bharu–Kuantan dan berpatah balik lagi, kini di Kota Bharu. Saya tidak tahu, berapa ratusan, atau ribuan kilometer, beliau meredah perjalanan dengan menggatih basikal, sejauh dan segigih itu. Memang, beliau sudah biasa, kerap berbasikal sebegitu jauh di Thailand, dari Bangkok ke Patani, Yala dan beberapa pelosok lain di Negara Gajah Putih itu. Namun, semua itu jalan yang panjang. Jauh sekali.

Sungguhpun begitu, inilah pertama kali beliau berbasikal ke Malaysia. Memanglah beliau “bertitik jeda”, singgah henti – berehat dan bermalam di beberapa tempat, sepanjang jalan penggatihannya itu. Bermula dari Bangkok, menggatih pada Hari Raya Aidilfitri kedua, iaitu 3 Mei 2022 lalu. Tujuh hari berbasikal untuk tiba di Patani. Kemudian, antara lain, singgah di Kampung Lulo (Lulok) selama sehari kerana ada saudara-maranya di situ. Ke Yala pula selama empat hari. Seterusnya, hari-hari lain lagi, menggatih. Dari Kota Bahru pula menggatih selama tiga hari untuk tiba ke Kuantan, Pahang. Keseluruhannya selama 20 hari, baru sampai ke Kuantan, sebelum berpatah balik lagi.

Hebat novelis ini. Bukan sekadar kreativiti pada segala novelnya itu sahaja, malahan kecekalan peribadinya juga. “Saya miskin. Belum berpekerjaan tetap,” ujarnya, dengan senyuman, tanpa sedikit pun keruh wajah untuk membayangkan kesedihan. Jawapan itu sebagai meleraikan pertanyaan kami, mengapa beliau mengambil jalan untuk menggatih?

“Adakah berbasikal untuk tujuan mencari ilham bagi kreativiti novel baharu?” tanya Dahri.

“Tidak,” ujar Isma Ae.

Rupa-rupanya, beliau ke Kuantan kerana menziarahi adik perempuan, bertugas sebagai guru, sedang sakit. Namun, ketika tiba, adiknya sudah pun keluar dari hospital. Kasih seorang abang pada adiknya. Menggatih basikal sejauh itu. Tersangat jauh. Menjimatkan helai wangnya yang tidak seberapa. Lebih-lebih lagi kerana masalah kadar tukaran wang asing agak rendah, baginya, dan beliau harus sangat menjimatkan setiap helai dan nilai wang.

Kami, tergenang air mata.

Barangkali, beliau sendiri pun sukar menetapkan dan menjelaskan dirinya – antara belah bagi liku-liku hidup dengan dunia yang sedang didepaninya.

Novelis ini yang dapat dikagumi kreativitinya sudah berjaya menghasilkan sebanyak enam buah novel dan tiga buah buku lain terdiri daripada kumpulan cerpen serta buku hasil penyelidikan. Beliau begitu prolifik, di samping beberapa buah buku sebagai karangan bersama itu.

Senarai lengkap buku beliau yang sudah diterbitkan, sehingga kini ialah:

NOVEL:

  1. Laskar Cinta (PTS, 2010). Kemudian diterbitkan semula dengan judul Anak-anak Karen (Dubook Press: 2017).
  2. Ratu-ratu Patani (ITBM, 2015).
  3. Republik Sungai Golok (Dubook Press, 2016).
  4. Nakhara: Api Cinta di Patani (bersama Zulfikri Ibrahim, Deleted Books, 2017).
  5. Sawasdee Bangkok (KEA Darul Falah, 2019).
  6. Perang Patani–Singgora (KEA Darul Falah, 2019).

KUMPULAN CERPEN:

  1. Cerpen-cerpen Bangsa Patani (Thukul Cetak, 2017).

KAJIAN:

  1. Orang Patani di Malaysia (KEA Darul Falah, 2021).
  2. Syeikh Ismail Lutfi: Penyebar Salam dari Patani (bersama Suraiya Chapakiya, Ilham Books, 2021).

Juga menariknya, keseluruhan buku karya beliau diterbitkan di Malaysia. Salah sebuah novel sejarah karangannya yang berjudul Ratu-ratu Patani turut diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Isma Ae sebagai pengarang sastera kreatif, Dahri Zakaria menerangkan, mempunyai pembaca yang amat berminat dengan karyanya di Malaysia.

Sesetengah awam mungkin berprasangka, novel dan cerpen daripada kreativiti Isma Ae Mohamad, menghala kepada meniupkan semangat pemberontakan atau penentangan oleh segelintir golongan pejuang selatan Thailand. Namun, setepatnya bukan demikian. Kreativiti beliau tidak menyimpan motif utama untuk mengisi matlamat tersebut. Menurut Dahri, karya Isma Ae berfokuskan kehidupan sosiobudaya masyarakat Melayu Patani yang berlangsung pada tiga tempat, iaitu Patani, Bangkok dan Malaysia.

Namun demikian, sebuah novel beliau yang berjudul Laskar Cinta (atau judul baharunya, Anak-anak Karen) memberikan kelainan fokus. Novel tersebut mengisahkan minoriti anak-anak etnik Karen dalam sosiobudaya masyarakat di Myanmar yang mempunyai kaitannya dengan minoriti Melayu–Patani di selatan Thailand.

Salah sebuah novel karya Isma Ae pernah dikupas oleh Johan Radzi, tersiar dalam Dewan Sastera beberapa tahun lalu. Saya tidak dapat mengingat dengan tepat, judul esei dan tahunan keluaran majalah itu. Namun, seingat saya, suatu penelitian yang cukup menarik.

Terbaharu lagi, terdapat suatu usaha penelitian yang cukup menarik, iaitu esei kajian bertajuk “Strategi Naratif dalam Novel Sejarah: Menjalin Fakta dengan Fiksyen oleh Mohamed Nazreen Shahul Hamid, tersiar sebanyak dua siri dalam Dewan Sastera MeiJun tahun ini. Esei ini berfokuskan novel sejarah Ratu-ratu Patani karya novelis Melayu–Thailand terkenal ini.

Sementara itu, beberapa buah cerpennya terpilih khusus sebagai kajian penting dalam makalah Penghijrahan Pencarian Identiti Melayu Patani Diaspora dalam Cerpen-cerpen Isma Ae Mohamad oleh Mohamed Nazreen, Mohammad Izaat Md Isa dan Md. Salleh Yaapar. Ketiga-tiga pengkaji tersebut dari Universiti Sains Malaysia (USM). Makalah ini berasaskan Geran RUI (USM) bertajuk Warisan Patani dalam Sastera, Budaya dan Media (2012–2015) yang diketuai oleh Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar.

Banyak perkara kami bersembang dengan beliau, sehingga hujung senja. Latar belakang diri dan hidupnya, perjalanan penggatihan itu, kreativiti, malah suka duka hidupnya. Beliau berperibadi mesra, malah kerap berselang tawa juga. Justeru, matahari sudah hampir jatuh, kami sudah harus meninggalkan meja luar, depan restoran.

Pertemuan dan sembang mesra terasa cepat benar berlalu. Kami bersalaman dan tentu sahaja berharap dapat bertemu lagi. Beliau singgah menginap di rumah ibunya yang kini masih menetap Kampung Teliar itu, sebelum sehari dua nanti akan pulang semula ke Bangkok.

Menurut Isma Ae, sebelum pandemik COVID-19, beliau selalu pulang menemui ibunya, setiap dua atau tiga bulan sekali. Namun, menaiki kereta api. “Bukan menggatih,” ujarnya, tertawa.

Sebelum berpisah, saya sempat mendengar, Dahri sebagai sahabat baik dan akrabnya menasihati agar Isma Ae menaiki kereta api sahaja untuk pulang. Basikal boleh ditinggalkan dahulu di kediaman ibunya. Saya dan Hafiz juga bersetuju pada saranan itu. “Tidak usahlah menggatih,” pesan Dahri sebagai hujung katanya.

Kami berharap beliau akan memperoleh cetusan idea bagi apa-apa hasil kreativiti daripada pengalaman jalan kembara penggatihannya.

“Ya,mudah-mudahan. Insya-Allah,” beliau mengangguk dengan wajah ceria yang turut menyimpan harapan yang sama. Meski, bukan tujuan itu beliau menggatih datang.

Pada sebelah malam, rupa-rupanya Dahri Zakaria menyelidik jarak di antara Bangkok–Kota Bahru–Kuantan. “Lebih 2 ribu kilometer,” ujarnya kepada saya melalui telefon. Masya-Allah. Sejauh itu perjalanannya menggatih datang. Tentu sahaja akan lebih 4 ribu kilometer beliau menggatih datang dan pulang, semata-mata untuk menziarahi ibu dan adik perempuannya itu.

Tentang Isma Ae Mohamad, sejenak jauh malam, saya merenung dan memikirkan – benarkah bahawa beliau dapat dianggap sebagai pengarang Patani – seperti yang dilabelkan oleh kebanyakan sarjana dan pengkaji?

Justeru:

  1. Benar, beliau dilahirkan di Patani, tetapi pada usianya “merah bayi” 40 hari, dibawa pulang ke kampung asal ibunya di Kelantan.
  2. Membesar dan berpendidikan di Kelantan. Sama sekali bukan di Patani.
  3. Tidak mempunyai apa-apa latar pengalaman hidup yang besar dan sepenuhnya di Patani. Latar penuh dan pengalaman besar hidupnya adalah di Kelantan.
  4. Malah, kini beliau sedang menempatkan dirinya di Bangkok, bukan di Patani.
  5. Hanya karyanya bertitik tolak pada fokus Patani dan Thailand umumnya.

Namun, hal ini soal pemikiran, sebagaimana sesiapa pun boleh bebas menumpukan pemikiran tentang apa-apa perkara pun. Oleh itu, ini bukan soal penempatan dirinya di Patani.

Sekadar menungan, saya tidak berhasrat dan berminat untuk membahas tanggapan label oleh sarjana dan pengkaji terhadap Isma Ae Mohamad.

Isma Ae Mohamad

Barangkali, beliau sendiri pun sukar menetapkan dan menjelaskan dirinya – antara belah bagi liku-liku hidup dengan dunia yang sedang didepaninya: Malaysia–Thailand. Inilah seorang pengarang yang cukup menyayat hati dengan liku-liku suka duka hidupnya kepada kita. Namun, beliau menyembunyikan kesedihan dan tangis hidupnya. Dalam kreativitinya, beliau menulis tentang orang lain – masyarakat dan bangsa yang sedang diamatinya dan diselaminya dengan cukup mendalam.

Moga-moga Allah SWT mengasihi dan merahmati beliau. Selamat dalam perjalanannya menggatih pulang. Amin. Namun, saya dan Hafiz berharap, moga-moga Isma Ae Mohamad akur pada saranan dan nasihat daripada sahabat akrabnya, Dahri, agar berkereta api untuk pulang ke Bangkok – meski kami merenung, sama ada berbasikal atau berkereta api, jalan pulangnya masih tetap jauh ke sana.

Kredit Foto: Dahri Zakaria

_________________________

Rosli K. Matari atau nama sebenarnya Mohd Rosli bin Nik Mat tinggal di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!