2 Jun 2022, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Kisah Pemuda Gua (ashabul kahfi) amat popular dalam tradisi lisan, khususnya dalam sejarah ketamadunan agama Islam dan Kristian. Kisah ini berasal daripada catatan bertulis dalam beberapa sumber Islam dan Kristian. Mengikut kefahaman Kristian, peristiwa ini berlaku di Ephesus yang terletak di Turki pada abad ketiga Masihi semasa pemerintahan Maharaja Rom Decius (249-51M). Maharaja tersebut terkenal dengan kezalimannya.

Penyelidik Bersekutu di Jabatan Sejarah Seni dan Arkeologi, SOAS, Universiti London, Dr. Farouk Yahya selaku pembentang pada Siri 3/2022 Diskusi Manuskrip Melayu berkata, kisah tujuh orang pemuda yang dikenali sebagai Pemuda Gua ini telah dikarang dalam Memra (sebuah teks manuskrip agama Kristian) pada abad kelima dan keenam Masihi oleh Jacob of Serugh (521M). Manakala pada abad yang sama juga kisah ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Gregory of Tours (594M) yang dikenali sebagai manuskrip Passio Septem Dormientum. Nama tujuh orang pemuda tersebut mengikut tradisi Kristian ialah Maximilianos (Ketua), Lamblichos (pemuda yang keluar membeli makanan), Martinos, Dionysios, Loannis, Exakoustodianos/Konstantinos dan Antoninos.

Jelas beliau lagi, kisah ini juga boleh dijumpai dalam surah al-Kahf. Dalam surah ini tidak disebutkan nama tujuh orang pemuda tersebut.

Perbezaan utama penceritaan kisah ini dalam tradisi Islam dan Kristian ialah adanya seekor anjing sebagai peneman dan lokasi gua yang dikatakan terletak di Turki, Afghanistan dan Jordan.

Kisah ini juga ada ditulis dalam tafsir sejarah dunia seperti Jami’ al-Tawarikh oleh Rashid al-Din. Selain itu, dalam tafsir al-Qur’an al-‘Azim yang ditulis oleh Ibn Kathir meriwayatkan tentang faedah membaca surah al-Kahf. Sebagai contoh faedahnya ialah “barang siapa yang membaca al-Kahf pada hari Jumaat akan dilindungi selama lapan hari dari sebarang kesusahan dan terpelihara daripada godaan dajal”.

Kisah Pemuda Gua juga turut dibincangkan dalam kitab Khazinat al-Asrar yang dikarang oleh Al-Nazili (1884M) pada abad ke-19. Teks tersebut menyatakan bahawa nama Ashabul Kahfi sesuai digunakan dalam konteks mencari sesuatu, menyelamatkan diri dan memadamkan api. Nama-nama tersebut hendaklah ditulis di atas kain dan dilemparkan ke dalam api.

Bagi menghentikan tangisan kanak-kanak, nama-nama tersebut ditulis di atas kain, kemudian diletakkan di bawah kepala kanak-kanak itu di dalam buaian. Manakala bagi untuk memudahkan golongan wanita bersalin, ia perlu diikat di sebelah paha kiri. Tindakan yang sama juga boleh digunakan untuk faedah lain seperti perlindungan semasa pelayaran, pembajakan dan melarikan diri daripada dibunuh.

Penggunaan nama Ashabul Kahfi boleh dijumpai pada azimat dan objek seperti batu akik, dulang dari Mesir dan gelang pada zaman Uthmaniyyah.

Nama Ashabul Kahfi juga disebut dalam beberapa buah manuskrip Melayu di Asia Tenggara. Antaranya ialah manuskrip tafsir al-Quran surah al-Kahf, Tarjuman Mustafid oleh Syakh Abdul Rauf al-Singkel, Qisas al-Anbiya (bahasa Melayu/Jawi) di Lingga pada abad ke-19 (Koleksi Perpustakaan Nasional Republik Indonesia, W97), Serat Tapel Adam (bahasa Jawa) 1913 (Koleksi Perpustakaan Universitas Indonesia), Hikayat Tamlikha (bahasa Aceh), dan Al-Durr al-Basim fi Ashab al-Kahf wa al-Raqim (kisah cerita Ashabul Kahfi) oleh Muhammad b. Ismail Daud al-Fatani (Mekah, 1310/1892).

Ujar beliau lagi, azimat nama-nama Ashabul Kahfi juga turut dijumpai pada ukiran pintu kayu rumah di Kelantan pada 1333H/1914M, dinding Masjid Bukit Bayas, Terengganu pada awal abad ke-20, dan mihrab Masjid Agung Surakarta pada abad ke-18. Selain itu, corak penggunaan nama tersebut juga boleh dijumpai pada objek Pending (Koleksi Muzium Terengganu) pada abad ke-19.

Seterusnya, corak tersebut juga terdapat pada kain batik berayat dari Cirebon awal abad ke-20 yang disimpan di Muzium Kesenian Islam Malaysia. Pada kain ini terdapat empat bentuk sayap di tepi berserta nama-nama malaikat dan khalifah al-Rasyidin serta dipenuhi dengan teks berilustrasi rajah Ashabul Kahfi. Seterusnya ialah kaligrafi berbentuk kapal yang terdapat nama-nama tersebut supaya dapat mengelakkannya dari tenggelam.

Amalan menulis nama anjing Ashabul Kahfi iaitu Qitmir juga dapat dijumpai di sampul dan surat dalam masyarakat Melayu. Penulisan nama tersebut bertujuan supaya surat selamat sampai ke tempat yang sepatutnya. Antara contoh tulisan nama ialah sampul surat dari Imam Muscat, 1820 (koleksi British Library, Add. 21954) dan surat dengan nama Qitmir dan Ma’ruf al-Karkhi dari Sultan Ahmad Zainuddin, Jambi, 1888 (Koleksi Leiden, Museum Volkenkunde, 03-243(7), (Gallop, 2010).

Oleh itu, Dr. Farouk merumuskan bahawa penemuan nama Ashabul Kahfi dalam pelbagai objek dan medium telah menunjukkan bahawa hubungan dan pengaruh yang kuat antara Uthmaniyyah dengan alam Melayu daripada segi kesusasteraan, keagamaan, kesenian, dan kebudayaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!