Oleh Fansurina Ramli
26 Mei 2022, 10:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kemunculan penulis generasi baharu dalam dunia penerbitan buku yang lebih memilih untuk menghasilkan karya dalam genre fiksyen sains menunjukkan bahawa genre ini mempunyai keistimewaan dan kekuatannya yang tersendiri. Antara faktor genre fiksyen sains semakin mendapat tempat dalam kalangan penulis muda termasuklah kepesatan teknologi yang sinonim dalam kehidupan seharian.

“Kita melihat generasi mutakhir ini lebih akrab dengan media sosial dan peranti elektronik baharu yang memberikan mereka akses kepada pelbagai maklumat di luar sana. Selain itu, penghasilan filem bertemakan genre fiksyen sains yang sering mendapat sambutan hangat turut menjadi pemangkin kepada generasi muda untuk mempunyai daya imaginasi yang tinggi,” ujar Lokman Hakim dalam rancangan “Bicara Karyawan” menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP baru-baru ini.

Beliau yang telah menghasilkan puluhan novel fiksyen sains hadir dalam rancangan tersebut bagi membicarakan ‘buah tangan’ terbaharunya, iaitu novel Jaz untuk Dayana. Novel ini mengangkat dunia distopia yang memperlihatkan kepincangan masyarakat seperti ketidakstabilan politik dan ekonomi serta peningkatan jenayah dan kemiskinan.

Penghasilan novel fiksyen sains juga harus mengambil kira refleksi dan persoalan penting bagi masyarakat pada waktu terkini supaya novel itu ada nilai relevannya.

Menyentuh lebih lanjut tentang novel ini, beliau melakukan strategi yang sedikit berbeza apabila mencadangkan judul novel yang lebih bersifat umum dan tidak menggunakan jargon sains untuk menarik perhatian golongan pembaca yang pelbagai. Ulas beliau lagi, judul Jaz untuk Dayana dicadangkan kerana elemen dan komposisi rumit yang terdapat dalam muzik jaz menjadi gagasan kepada pembentukan jalan cerita novel ini.

Sebagai penggemar muzik jaz, saya melihat bagaimana lagu yang sama dirakam berulang kali dengan teknik yang berbeza sehingga mencapai ritma jaz yang sempurna. Begitulah yang digambarkan dalam novel ini apabila eksperimen yang sama dibuat berulang kali untuk mencipta ‘manusia sempurna’ untuk berhadapan dengan makhluk asing

Apabila ditanya tentang mesej yang ingin diketengahkan melalui novel ini, beliau menyatakan bahawa novel ini sebenarnya menekankan kritikan sosial secara tidak langsung. Beliau ingin meninggalkan persoalan kepada pembaca tentang sempadan dan kerangka moral apabila manusia diberikan kuasa dan intelektual untuk mengemudikan teknologi. Di akhir perkongsian, beliau turut menyatakan harapan agar novel ini dapat dihargai di samping merancakkan lagi penerbitan fiksyen sains dalam bahasa Melayu.

Tonton Bicara Karyawan: Jaz untuk Dayana di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.