24 Mei 2022, 18:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu  Editor berperanan sebagai “penjaga” kepada penulis dalam menghubungkan sesebuah karya dengan masyarakat. Selain berperanan dalam hal tersebut, editor juga bertanggungjawab mengawal, menyelia, dan merancang setiap kandungan karya, terutamanya yang berkaitan dengan penerbitan majalah.

Dalam urusan pemilihan karya pula, tidak ada istilah “pilih kasih” atau amalan kronisme yang berlaku. Setiap karya yang dihantar khususnya kepada majalah terbitan DBP diadili sama rata dan penuh cermat.

Kami melihat karya semata-mata dan pembaharuan yang diutarakan penulis. Karya konvensional disampaikan dengan gaya menarik, naratif yang baharu dan konflik yang berbeza tetap diterima. Sastera ialah falsafah rakyat. Oleh itu, tidak semestinya karya eksperimental sahaja yang menjadi pilihan editor

Petikan tersebut dituturkan oleh Fadhli al-Akiti, Editor Dewan Sastera dalam program “Bicara Editor bersama-sama Editor Dewan Sastera” anjuran Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) yang diadakan di Perpustakaan Az-Zahra Kota Bharu, Kelantan. Program dipengerusikan oleh Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kechik, ahli jawatankuasa GEMA.

Editor Dewan Sastera, Fadhli al-Akiti.

Editor Dewan Sastera dalam talian (Jendela DBP), Sayuti Yusob pula menekankan bahawa seseorang editor memerlukan karya yang memaparkan pemikiran atau gaya penulisan baharu dalam semua genre. Setiap penulis mempunyai identitinya yang tersendiri dan perkara baharu yang digarap oleh penulis memang sentiasa ditunggu-tunggu oleh editor.

Sekiranya penulisan memaparkan isu yang sama dan pernah didengar berulang kali, kupasannya mesti lebih menyeluruh dan kemas atau sekurang-kurangnya ada perbandingan dengan tulisan orang lain. Idea, pemikiran dan gaya penulisan menjadi perhatian dan keutamaan editor supaya bahan yang disiarkan dapat menarik minat pembaca. Tulisan yang baik akan memanggil pembaca atau penulis lain untuk memberikan komentar dan seterusnya menyambung lagi perbincangan tentang perkara yang terdapat dalam tulisan tersebut

Editor Dewan Sastera dalam talian, Sayuti Yusob.

Selain itu, Fadhli juga menyarankan agar penulis berani dan keluar daripada kepompong biasa supaya karya sentiasa tampil segar dan berbeza dengan sebelumnya. Seterusnya, beliau menyentuh tentang ciri khas yang terdapat dalam karya yang dihasilkan oleh penulis negeri tertentu, khususnya penulis dari negeri Kelantan.

Penguasaan bahasa penulis dari Kelantan memuaskan. Setiap perkataan dan istilah yang berkaitan dengan dialek Kelantan yang dilontarkan penulis meneguhkan dan menyimpan makna tertentu

Berdasarkan pengamatannya, pengarang Kelantan begitu menjaga aspek penggunaan bahasa dan hal inilah yang merupakan ciri pengarang yang harus dipertahankan. Selain daripada gaya bahasa yang khas tersebut, Sayuti pula lebih tertarik dengan karya bersifat setempat yang menitikberatkan isu dan permasalahan tempatan. Isu dan permasalahan sosial di sempadan antara Kelantan dengan Thailand misalnya sangat menarik dan boleh dizahirkan dalam karya kreatif.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.