18 Mei 2022, 07:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Kuliah Penyelidikan Sastera (KUPAS) Bil. 9/2022 anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera dengan kerjasama Bahagian Multimedia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diadakan pada 11 Mei 2022 yang lalu dengan tajuk “Guru Oh Guru: Penelitian Berdasarkan Teori Dialogisme”. Kuliah tersebut telah disampaikan oleh Prof. Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan, mantan Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya sempena Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei setiap tahun. Program tersebut turut disiarkan menerusi Facebook Langsung DBP pada jam 11.00 pagi.

Program yang disiarkan secara dwimingguan ini telah memfokuskan pada puisi-puisi yang dihasilkan oleh penyair-penyair yang pernah berkhidmat sebagai guru dan puisi-puisi tersebut terdapat dalam antologi Guru Oh Guru terbitan DBP pada tahun 1989 dan diselenggarakan oleh Zam Ismail.

Pada awal kuliahnya, Prof. Dr. Mohamad Mokhtar memperkenalkan serba ringkas teori Dialogisme. Teori tersebut telah diperkenalkan oleh Mikhail Mikhailovich Bakhtin atau lebih dikenali sebagai Mikhail Bakhtin pada tahun 1981. Dialogisme telah dihasilkan berdasarkan reaksi dialog yang berlaku antara satu teks dengan teks-teks yang lain, yang menghubungkan antara teks dalaman dengan teks luaran. Teks dalaman ialah aspek yang berkaitan dengan pembinaan sesebuah karya sastera seperti estetik, imaginatif dan ilusi, manakala teks luaran pula merupakan teks sosial yang paling erat kaitannya dengan pengalaman pengarang, ideologi, sejarah, moral, dan budaya.

Menurut Prof. Dr. Mohamad Mokhtar lagi, proses dialogika dalam teori Dialogisme terbahagi kepada tiga tahap, iaitu (1) proses pembacaan, (2) proses pemahaman dan (3) penilaian dan proses penulisan. Dalam proses pembacaan akan melibatkan beberapa hal seperti fikiran, ingatan, perasaan dan hal lain yang akan segera timbul dan bersatu dalam diri pembaca. Proses pemahaman dan penilaian pula akan mengaitkan proses melihat aspek pemaknaan dan interpretasi dalam diri pembaca. Lebih bermakna lagi jika peristiwa-peristiwa yang dilibatkan berkaitan rapat dengan pengalaman pembaca. Dalam proses yang ketiga, berlangsung kegiatan panjang dalam usaha mendapatkan idea, persediaan dan pengumpulan bahan sehingga karya itu siap dihasilkan. Pengalaman, latar dan sosialisasi pengarang ialah teks luaran yang berdialog atau menyerap ke dalam teks yang dihasilkan.

Menarik untuk dilihat dengan lebih teliti dalam antologi Guru oh Guru ialah cara para penyair memberikan pentafsiran tugas dan tanggungjawab guru melalui pemilihan diksi, seperti melukiskan guru sebagai kandil dalam sajak “Kandil” karya Hasbima, guru “Manatang pelita hidup bercahaya” dalam sajak “Kepada Guruku” karya Masuri S.N., guru diibaratkan “Pelita Sebuah” dalam karya Ami Masra, guru “adalah lilin yang rela membakar dirinya” dalam sajak “Sejambak Bakti” karya Rahimi WS, dan guru “seperti lilin sewaktu waktu akan cair” dalam sajak “Guruku Obor Hidupku” karya Zam Ismail.

Dalam kuliahnya selama satu jam tersebut, Prof. Dr. Mohamad Mokhtar memberi tumpuan pada puisi-puisi yang dihasilkan oleh penyair yang juga pernah berkhidmat sebagai guru, antaranya termasuklah “Kubakar Diri Saban Hari” karya Adi BadiozamanTuah, “Demi Bintang-bintang” karya Mahaya Mohd. Yassin, “Sajak dari Kertas Pengalaman” karya Awang Abdullah, “Dalam Kembara” karya Naapie Mat, “Abadi Dalam Harum Nama” karya Ismala, dan “Mercu Kepuasan” karya A.R. Naida.

Menurut Prof. Mokhtar, penyair telah menjelmakan kembali pengalaman mereka sebagai guru dalam penghasilan karya puisi mereka itu. Dalam pada itu, penyair tidak lupa mencurahkan segala harapannya terhadap anak-anak yang dididiknya demi bangsa dan negara.

KUPAS kali ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Azhar Hj. Wahid.

Tonton kuliah penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.