Oleh Firdaus Mul
9 Mei 2022, 07:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firdaus Mul memberikan reaksi terhadap kekeliruan segolongan karyawan seni dan sastera tentang hakikat ciri satira yang sebenar.

Satira bukanlah suatu pemikiran atau alat penghasilan karya yang boleh digunakan sesuka hati untuk melanggar etika. Walaupun secara asas pembinaan konseptualnya, pengkarya diberikan kebebasan untuk berkarya, namun terdapat beberapa had keterbatasan yang perlu diperakui.

Sastera dan seni mempunyai takrifan yang pelbagai. Takrifan ini boleh dilihat daripada pandangan sarjana Barat mahupun sarjana tempatan. Menariknya, kedua-dua medan ini berkongsi satu matlamat yang sama, yakni untuk mencapai keadaan estetik yang sekali gus berupaya menyampaikan pemikiran dan mesej dalam bentuk tulisan dan hasil seni. Perkembangan hasil kesusasteraan dan seni dilihat melalui pelbagai asimilasi, lebih-lebih lagi apabila pelbagai aliran pemikiran mula menyusup masuk ke dalamnya. Hal ini membawa kepada pembinaan isi kandungan yang tertentu dalam penghasilan karya, baik karya dalam bentuk teks sastera mahupun karya dalam bentuk seni lukisan, pementasan, perfileman, ataupun yang seangkatan dengannya. Salah satu aliran pemikiran yang pernah menyusup masuk ke dalam kesemua genre karya yang dinyatakan tadi ialah pemikiran satira.

Satira selalunya tampil sebagai karya yang dihasilkan dengan penyampaian sindiran atau kritikan, secara terus-terang atau berlapik. Menurut Kamus Dewan (2005), satira ialah perkataan yang membawa maksud karya (prosa atau puisi) yang mempersendakan atau menyindir orang. Menurut takrifan ini, penulis cuba menyimpulkan secara ringkas dan konseptual bahawa setiap karya sastera atau seni yang disampaikan secara mempersendakan atau menyindir (atau yang seangkatan dengannya) bolehlah diklasfikasikan sebagai karya yang bercorak satira, selagi tidak bertentangan dengan ciri-ciri lazim yang sepatutnya. Dalam pada itu, penyampaian secara terus-terang atau berlapik bergantung pada tafsiran ataupun dapatan seseorang yang menilai hasil karya tersebut.

Dalam hal ini, penilaian terhadap satira selalunya disalahertikan dalam karya sastera dan seni. Satira bukanlah suatu pemikiran atau alat penghasilan karya yang boleh digunakan sesuka hati untuk melanggar etika. Walaupun secara asas pembinaan konseptualnya, pengkarya diberikan kebebasan untuk berkarya, namun terdapat beberapa had keterbatasan yang perlu diperakui. Dalam hal ini, mereka yang lahir daripada rahim karya indie, pasti akan meratib pandangan Adnan dan Kamaliah (2000) yang dicatatkan oleh Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi (Dewan Sastera Bil.12/2020) yang berbunyi:

Hampir semua penerbitan karya indie sama ada fiksyen dan bukan fiksyen mempunyai unsur pemikiran yang ketara meskipun ia bukan sebuah karya satira (sastera) secara khusus. Ini adalah kerana, memang sifat penerbitan karya-karya indie yang memperjuang sesuatu pemikiran yang bersifat anti-establishment, kebebasan berfikir, idea yang tidak dikawal, tanpa ikatan peraturan, lepas-bebas dari sebarang hukum-hakam penerbitan atau norma hidup.

Penulis sendiri mengakui, dunia sastera dan seni mempunyai kebebasan, tetapi penting untuk diingati dan diketahui bahawa budaya dan pengamalan masyarakat di negara ini mempunyai satu garis keterbatasan yang jelas, yang disebut sebagai kesantunan berbahasa (adab dan penghormatan). Seperti yang pernah diutarakan oleh Awang Sariyan, “kesantunan berbahasa secara umumnya merujuk penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan.” Memang tidak ada sekatan dalam bersatira, tetapi ada garis keterbatasan yang perlu dipatuhi, selari dengan penerapan dan pengamalan prinsip di negara ini. Bahkan umum mengetahui bahawa setiap penulis, pelukis ataupun pengkarya mempunyai hak untuk menyampaikan sesuatu yang diinginkan, mengikut gaya dan cara mereka masing-masing.

Namun berdasarkan penelitian penulis, saban hari kebebasan ini sudah lari daripada landasannya. Satira yang cuba diangkat dan diperjuangkan, bukan lagi menampilkan pemikiran, gaya atau pengisian yang boleh dijadikan renungan dan pengasah akal fikiran. Kecenderungan ini dilihat dalam konteks sebahagian penulis, pelukis dan pengkarya yang semakin membarah dengan mempamerkan bahasa atau hasil karya yang terlalu “jijik” dan keterlaluan untuk disajikan kepada masyarakat, lalu kemudian disebut sebagai “satira” dalam karya. Hal yang mendukacitakan lagi, sebilangan karya yang didakwa menganuti “satira” ini penuh dengan rempah provokasi dan fitnah. Disiplin ilmu kesusasteraan mengakui, setiap patah perkataan dalam prosa ataupun puisi membawa takrifan konotatif dan denotatif yang pelbagai, sementara dalam masa yang sama dunia kesenian juga mempunyai terjemahan yang beraneka ragam dalam penghasilan karya. Namun sekali lagi, apabila karyanya terhasil dalam bentuk yang keterlaluan dan melanggar etika (hilang adab dan penghormatan) daripada pengamatan penulis, karya itu sudah hilang serinya. Bukan lagi menjadi penawar kepada masyarakat, tetapi menjadi racun yang perlahan-lahan melunturkan prinsip adab dan penghormatan. Seperti yang dinyatakan oleh Abdul Aziz Suaidi (2022) dalam eDewan Sastera bulan Februari lalu, tanpa budi bahasa, sudah pasti tiada kehalusan dalam hidup bermasyarakat. Maka inilah penekanan yang membuktikan betapa pentingnya pengaplikasian berbahasa dalam berkarya, yang menekuni budi bahasa sekalipun hasilnya sebuah karya satira bercorak tulisan ataupun kesenian.

Negara Malaysia terbina dengan Rukun Negara. Salah satunya rakyat di negara ini berikrar pada prinsip kesopanan dan kesusilaan. Apabila ikrar ini dilafazkan, secara tidak langsung seluruh rakyat Malaysia mempersetujui dan mengakui bahawa negara kita ini tidak ada ruang untuk menjunjung kebiadaban. Rakyat di negara ini hidup penuh dengan pedoman, yang saling menjaga kesopanan dan kesusilaan. Dalam masa yang sama, bahasa rasmi negara kita terjunjung dengan akal dan budi pekerti – bahasa jiwa bangsa. Akan tetapi, atas dasar memperjuang “satira” dalam penulisan prosa, puisi dan karya seni, maka sebilangan pengkarya cuba untuk menghalalkan matlamat dan syahwat yang sesat dalam berkarya. Akhirnya, mereka mengambil jalan yang mudah sehingga mengetepikan semua yang sepatutnya ditekuni dan diperakui. Apabila kritikan diketengahkan kepada penganut “satira”, terutamanya satira berintikan isu politik, kelompok ini akan melenting. Dakwanya, pemikiran kritikan itu sesuatu yang ketinggalan, lidah dan pena pengkritik membeku takut pada kebenaran dan kebebasan, hatta yang paling memilukan lagi, pengkritik didakwa sebagai tunggangan “lasykar siber” pimpinan kerajaan. Walhal, hakikat yang nyata dan utama “satira” ini dikritik kerana sudah keterlaluan dan sewajarnya dinoktahkan. Hasil karyanya sudah hilang kiblat kesopanan dan kesusilaan, seperti yang diikrarkan bersama dalam perkara kelima Rukun Negara.

Hari ini juga masyarakat dapat melihat ada penggiat satira yang menggunakan “satira” dalam hasil lukisan seninya. Kononnya berjuang untuk menyuburkan demokrasi dengan angan-angan untuk merobah keadaan negara ke arah yang lebih cemerlang. Satu langkah yang kreatif tetapi tidak efektif. Sebermula karya “satira” itu dipersembahkan kepada golongan sasar, apakah hasilnya? Sampai hari ini, menerusi pengamatan, hasilnya tetap menjadi sesuatu yang sia-sia. Hal ini kerana “satira” yang dipraktikkan itu bukanlah satira sebenar, seperti yang pernah menyusup masuk dalam pemikiran/pendekatan karya sastera dan seni suatu ketika dahulu. Karya “satira” itu sudah terlihat sebagai satu karya bermotif semata-mata untuk memburuk-burukkan, menghina dan menjatuhkan air muka, sekali gus menerapkan bahasa kesat dalam penghasilan karyanya. Jasadnya “satira”, tetapi “roh” di dalam jasadnya ialah hasutan, kebencian dan kemarahan yang memecahbelahkan, sekali gus mencemarkan kehormatan terhadap prinsip kesopanan dan kesusilaan.

Akan tetapi, atas dasar kebebasan bersuara dan dakwaan penerapan “satira”, akhirnya seni satira itu terus ditunggang dan dipraktikkan. Hal ini yang merisaukan, kerana kesopanan dan kesusilaan dalam penerapan persembahan karya “satira” ini sudah gagal secara total. Seiring dengan pengamatan yang diutarakan oleh Salmah Jan Noor Muhammad dalam “Adab dalam Berbahasa: Amalan Masyarakat Ortodoks?”, jelas merangkumkan krisis adab dalam berbahasa semakin membimbangkan kerana generasi kini lebih cenderung untuk memilih dan menggunakan perkataan yang tidak melambangkan perkataan jati diri bangsa yang unggul dan tulen bagi mencerminkan keagungan bangsa dan negaranya. Salmah Jan dalam tulisan tersebut menampilkan satu insiden yang menggemparkan berlaku pada tahun 2020 apabila terbitnya lukisan mural gambar Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Ketua Pengarah Kesihatan, dan pemimpin lain yang diterjemahkan dalam karya seni dengan kata-kata kesat, yang menunjukkan hilangnya adab berbahasa kepada pemimpin. Inilah salah satu bukti pengukuhan satira yang semakin disalahertikan oleh pengkarya.

Dari segi pencemaran “satira” dalam karya kesusasteraan, kita dapat lihat menerusi penyataan yang dikeluarkan oleh Aida Aziz pada 2 Disember 2017 dalam laman Astro Awani bertajuk “Babi, Laknat dan Lucah, Benarkah Novel Indie Semakin Kasar dan Celopar?”. Menurut Aida Aziz, sesetengah karya indie dalam bentuk novel dibimbangi boleh mengancam dan merosakkan pemikiran anak muda lantaran penggunaan bahasanya yang bersifat bebas serta kasar dan adakalanya berbaur lucah. Beliau turut memetik beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Maskiah Masrom, pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim yang menyatakan bahawa penulis novel indie hanya menulis sekadar memenuhi keperluan ataupun syarat yang telah ditetapkan oleh syarikat penerbit indie, tanpa memikirkan tanggungjawab sosial untuk mengangkat martabat kesusasteraan Melayu. Bahkan yang lebih memilukan menurut Dr. Maskiah Masrom, penulisan karya indie dewasa ini mencemarkan kemapanan penggunaan bahasa Melayu, dengan mengekalkan gaya sekerat ular sekerat belut dalam penulisannya.

Arah dan matlamat perjuangan satira setakat ini juga tidak jelas. Tidak ada satu pun daripada karya-karya “satira” ini yang berupaya menyumbang kepada pembangunan individu, masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Adakah gaya dan cara ini yang hendak diwariskan kepada generasi akan datang? Setakat ini, pemikiran atau pendekatan “satira” tersebut hanya menerapkan penghinaan, makian dan menjatuhkan air muka seseorang. Hal ini secara tidak langsung sudah bercanggah dengan norma hidup masyarakat negara ini yang menekankan adab dan penghormatan. Penyataan ini turut diperkukuhkan dengan kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman dalam liputan bertajuk “Karya Satira Takebeer: Satu Tindakan Bertentangan dengan Islam”. Menurut beliau, karya satira yang dihasilkan jelas membuktikan suatu penghasilan karya yang sememangnya bertentangan dengan Islam.

Penulis sekali lagi menekankan, konsep satira yang sesuai dengan ruang pengalaman tempatan cukup menjunjung tinggi adab dan penghormatan. Setelah memahami hal ini, barulah kita berganjak meneladani garis batasan, yakni menghitung antara parameter kebebasan berkarya dengan parameter adab dan penghormatan dalam menghasilkan karya. Sastera dan seni ibarat sebuah kapal layar, manakala bahasa, adab dan penghormatan ialah layarnya. Tanpa layar, kapal akan berlayar tanpa arah tuju di tengah lautan. Kalau kail panjang sejengkal tidak terduga dengan lautan dalam, bagaimana dapat kapal layar merentasi ombak dan angin kencang di tengah lautan dalam? Bukan sekadar hanyut dan hilang arahnya, bahkan nakhoda dan anak kapal boleh karam dalam diam, tanpa disedarinya.

Jangan hanya disebabkan oleh pengkarya yang terikut-ikut dengan acuan Barat, sehingga acuan sendiri kehilangan identiti. Sebab itulah untuk menjadi seorang penulis atau pengkarya satira memerlukan kebijaksanaan, ketelitian, ilmu, dan kecekapan. Seperti yang pernah ditegaskan dalam novel Semenanjung Menangis (ITBM, 2014) karya Ariff Mohamad:

Dengan harapan kita dapat memperbetul keadaan, sesekali kita perlu kembali kepada asas kebenaran. Banyak perkara yang menuntut kebijaksanaan semua pihak, dari peringkat tertinggi dalam pemerintahan negara hingga ke kampung terpencil merentasi laut, gunung lurah dan denai.

Oleh hal yang demikian, kemahiran dan kekreatifan tidak mencukupi untuk mengangkat pemikiran atau pendekatan yang berkaitan dengan satira. Hal ini kerana, kemuncak pada perjuangan pemikiran satira adalah untuk memberikan renungan, penilaian, perbincangan, dan penyelesaian terhadap sesuatu perkara ataupun isu yang cuba diketengahkan. Dalam masa yang sama, penyampaian karya satira yang baik masih memenuhi etika (adab dan penghormatan) apabila disampaikan kepada golongan sasaran. Barulah hasilnya menjadi satu penawar dan pengasah minda yang sesuai dengan penghasilannya. Hujah dan pengamatan penulis dalam perbincangan ini bukanlah satu bentuk diskriminasi terhadap karya-karya yang bertentangan dengan garis panduan arus perdana. Akan tetapi, keutamaannya adalah untuk meneliti dan memperhalus inti pati pemikiran/pendekatan satira yang selalu disalahertikan sebagai perencah dalam proses berkarya.

Konklusinya, pemikiran satira ialah salah satu pemikiran atau pendekatan yang unik untuk dipraktikkan dalam penghasilan karya. Penerapannya membuktikan bahawa dunia kesusasteraan dan seni terus berkembang meraikan kepelbagaian pemikiran dan pendekatan. Dalam masa yang sama, pengkarya juga menikmati percanggahan pendapat dalam proses penghasilan karya, sekali gus membuktikan sesungguhnya generasi pengkarya hari ini masih ada yang mendukung aspek keintelektualan.

Namun begitu, penting untuk diingati bahawa setiap karya yang terhasil tidak boleh bertentangan dengan norma hidup yang diamalkan di negara ini. Pengkarya susastera dan seni perlu memahami hakikat dan tanggungjawab mereka sebagai pengkarya dan bukan berkarya seperti mencurahkan garam ke laut. Pengamatan dan pesan ini selari dengan pendapat yang diketengahkan oleh Kamariah Kamarudin (2021), “tanggungjawab yang tergalas di pundak seseorang pengarang amat besar kerana hasil karyanya nanti akan ditelaah oleh ramai orang. Apatah lagi jika karyanya kelak akan dibaca oleh generasi muda yang memerlukan sumber inspirasi dan semangat dalam menelusuri kehidupan”.

Hasil karya sastera dan seni akan terus menjadi hidangan dan santapan masyarakat, sama ada untuk generasi hari ini ataupun yang akan datang. Maka, beberapa keperluan perlu ditekuni dan dilaksanakan. Perbincangan ini diakhiri dengan memetik beberapa baris pesan daripada Sajak-sajak Sejarah Melayu (1992) yang pernah dititipkan oleh Sasterawan Negara Prof. Muhammad Haji Salleh:

Kau orang muda terlalu cepat menghukum,
Terlalu suka menuduh,
Sabar dulu, sehelai halaman kitab tidak menjadikan ulama,
Walaupun kau menghunus keris dan memaksa,
Sekampung manusia memanggilmu demikian,
Hidup perlukan usia,
Jangan terlalu tau di waktu kau belum faham.

Kredit Foto: Roman Skrypnyk/Unsplash

_________________________

Firdaus Mul ialah nama pena Ahmad Firdaus bin Mul. Beliau lahir di Lahad Datu pada 28 Februari 1996 dan berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Kesusasteraan Melayu) dari Universiti Putra Malaysia. Beliau merupakan penulis yang lahir daripada Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sesi tahun 2018. Kebanyakan hasil penulisannya tersiar dalam majalah keluaran DBP, khususnya dalam Tunas Cipta.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!