17 Februari 2022, 08:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Abdul Aziz Suaidi menyingkap kedalaman falsafah dan pengajaran yang masih tekal berguna dalam pantun Melayu lama.

Pantun umpama sebuah ensiklopedia atau ‘buku’ adab dan tradisi yang tiada tolok bandingnya.

Menurut Cho Min Sung dan Mat Zaid Hussein (2020), pantun merupakan karangan berangkap yang mendukung keindahan dan kehalusan yang menjelmakan gagasan idea yang mantap dan berpengaruh. Kehalusan seni ini menggambarkan kehalusan budi pekerti seseorang dalam sebuah masyarakat. Tanpa budi bahasa, sudah pasti tiada kehalusan dalam budaya hidup bermasyarakat. Oleh itu, budi bahasa sangat ditekankan dalam masyarakat zaman dahulu. Bahkan sebelum menuntut ilmu, anak muda perlu mempelajari nilai adab sebagai mukadimah pembelajaran. Kekayaan adab dilihat pada zaman dahulu sebagai suatu pengerat silaturahim. Hakikatnya, mempunyai budi bahasa akan lebih mendekatkan masyarakat dengan orang sekeliling, seperti yang diungkapkan dalam pantun di bawah:

Burung serindit terbang melayang,
     Mari hinggap di ranting mati;
Bukan ringgit dipandang orang,
     Budi bahasa rangkaian hati.

Berdasarkan rangkap pantun di atas, masyarakat Melayu menggambarkan kepentingan budi bahasa dalam hati seseorang sebagai perangkai hati masyarakat yang sebenar, dan bukannya perolehan (atau pertunjukan) material. Jelas di sini, fungsi pantun di atas adalah untuk mendidik masyarakat tentang perkara yang lebih penting dalam hal kemasyarakatan. Perbuatan burung serindit menjadi pembayang menampilkan bagaimana sia-sianya perbuatan hinggap di ranting mati yang tiada faedahnya. Selain itu, pantun ini juga boleh dikatakan berfungsi sebagai sindiran kepada masyarakat yang menganggap hal material sebagai segala-galanya, walhal tanpa budi bahasa, seseorang itu tidak dipandang apatah lagi dihormati oleh masyarakat sekeliling. Dalam hal ini, pemikiran orang Melayu boleh dilihat dalam usaha menyedarkan masyarakat tentang kepentingan budi bahasa daripada wang ringgit.

Selain mementingkan budi bahasa dan adab, masyarakat Melayu zaman dahulu juga cintakan ilmu, terutamanya yang melibatkan nukilan pantun. Pernah dalam Mingguan Malaysia (19 Jun 2011), Profesor Diraja Ungku Aziz berhujah bahawa orang Melayu pada zaman dahulu sudah menghafal pelbagai jenis pantun kerana ketika itu, minda mereka tidak berkeladak dengan perkara lain. Bahkan, masyarakat Melayu zaman dahulu sememangnya bersungguh-sungguh mencari guru untuk mempelajari sesuatu, terutama apabila melibatkan hal agama.

Bintang tujuh sinar berseri,
     Bulan purnama datang menerpa;
Ajaran guru hendak dicari,
     Mana yang dapat janganlah lupa.

Rangkap pantun di atas menggambarkan masyarakat yang sepatutnya bertebaran di atas muka bumi ini mencari jalan keluar daripada kebodohan dan bukannya mengharapkan sang guru yang datang kepada kita. Guru diibaratkan sebagai penyuluh jalan yang menerangi masyarakat yang gelap.

Kita juga boleh kaitkan rangkap kedua pantun di atas dengan pantun yang dinukilkan oleh pejuang sastera tanah air, Sasterawan Negara A. Samad Said dalam sebuah puisi yang termaktub dalam Dewan Sastera (Ogos 2004). Pada rangkap pertama lagi, A. Samad Said menekankan kepentingan menuntut ilmu kerana dengan ilmu, kita boleh sampai ke mercu kejayaan. Koherennya di sini ialah guru ibarat buku bergerak yang menyampaikan ilmu kepada anak didik. Jadi, fungsi rangkap ini sangat jelas untuk menuntut masyarakat agar sentiasa berdamping dengan guru agar ilmu itu kekal dalam ingatan kerana benda yang tidak diulang akan cenderung dilupai, seiring dengan peredaran masa.

Selain aspek tuntutan ilmu, pernyataan dalam puisi A. Samad Said tentang kebenaran juga penting terhadap kesedaran masyarakat. Pernyataan ini dinyatakan secara ringkas dan padat dengan isi yang terkadang manis, masin, masam, bahkan pahit untuk ditelan. Namun begitu, hal ini perlu dinyatakan juga tentang hakikat sebenar sebagai buah fikiran. Masyarakat perlu diberikan kesedaran dan bermuhasabah akan hakikat diri mereka yang sebenar melalui sindiran atau pernyataan fakta tentang kitaran kehidupan. Masyarakat perlu disedarkan betapa nilai kemandirian dan akhlak yang mulia begitu penting dalam usaha memapan ranjau duri cabaran.

Buat bangsal di Pulau Daik,
     Menahan taut sambil mengilau;
Kalau asal benih yang baik,
     Jatuh ke laut menjadi pulau.

Rangkap pantun di atas sangat bertepatan dengan hakikat dunia yang sebenar. Fungsi pantun ini sudah pasti bertujuan untuk menyatakan akan hakikat kemandirian seseorang itu apabila terbiasa dengan jiwa berdikari atau jiwa yang bersih. Pantun ini merupakan peringatan buat masyarakat yang hidup mengharapkan orang tua sahaja sehingga perkara kecil tidak mampu dilaksanakan sendiri. Natijahnya, pada kemudian hari akan mendatangkan masalah kepada anak muda untuk menyelesaikan masalah. Tuntasnya, pantun ini sangat penting sebagai panduan masa depan masyarakat Melayu zaman dahulu untuk sentiasa berdikari dan menjaga tindak-tanduk dalam kehidupan seharian kerana kekentalan itulah yang memandu kehidupan anak muda untuk terus maju ke hadapan.

Budak-budak bermain tombak,
     Tombak diikat dengan rantai;
Kalau takut dilambung ombak,
     Jangan berumah di tepi pantai.

Rangkap pantun di atas berfungsi sebagai sindiran kepada masyarakat akan hakikat kehidupan ini. Pembayangnya menggambarkan manusia sebagai budak-budak yang khuatir akan risiko yang dihadapi, sehinggakan tombak yang dimainkan diikat dengan rantai kerana khuatir terlepas daripada genggaman. Hal ini membawa masyarakat untuk berfikir bahawa untuk cekap dan maju ke hadapan, masyarakat perlu sanggup menghadapi risiko besar biarpun pasti akan mendapat “kecederaan”. Kecederaan yang sedikit itu akan terbalas dengan hasil yang boleh mengangkat seseorang menjadi insan yang terbaik dari sudut fizikal dan mental.

Pantun ini juga dapat menguji minda masyarakat untuk berfikir sewarasnya. Untuk berjaya, seseorang tidak boleh berasa terlalu selesa dan tidak inginkan cabaran. Tanpa cabaran, masyarakat tidak akan ke mana-mana. Jadi, amat penting sekali rangkap pantun ini menjalankan fungsi sindirannya yang halus menusuk kalbu demi menyedarkan masyarakat Melayu yang inginkan kesenangan mudah tanpa berbuat apa-apa. Sepatutnya, masyarakat berfikir tentang cara untuk berhadapan dengan masalah, bahkan perlu berani menghadapi rintangan kehidupan.

Kalau tuan pergi ke Kelang,
     Belikan saya semangkuk rojak;
Jangan diturut resmi kiambang,
     Sungguhpun hijau akar tak jejak.

Menurut Siti Hajar Che Man (2013), keupayaan mengawal emosi juga bermakna keupayaan melawan nafsu. Menurutnya lagi, dalam budaya Melayu, rasa dan nafsu selalu dilihat sebagai punca kejatuhan martabat manusia. Rangkap pantun di atas berfungsi sebagai amaran kepada masyarakat agar kehendak nafsu jangan diturut kerana kelak akan membinasakan manusia. Nafsu tidak boleh dibiarkan menjadi raja dalam segala hal kerana pasti menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan.

Kesimpulannya, pantun-pantun yang dibincangkan mempunyai pelbagai fungsi yang berguna dalam menyampaikan pengajaran kepada masyarakat Melayu zaman dahulu. Pantun umpama sebuah ensiklopedia atau “buku” adab dan tradisi yang tiada tolok bandingnya. Perincian dalam pantun sememangnya suatu cerminan rencah dan leluhur bangsa dulu, kini dan selamanya (Siti Hajar Che Man, 2013). Pantun-pantun zaman dahulu sepatutnya terus dikaji dan dihayati supaya masyarakat zaman moden cakna akan hakikat peredaran zaman yang berlaku dari dulu sampai sekarang. Anak muda juga boleh mempelajari kesenian dan kehalusan budi bahasa dan keilmuan orang tua zaman dahulu apabila memberi nasihat dalam bentuk yang halus dan sampai ke hati dan akal masyarakatnya. Untuk itu, pantun yang diangkat sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan oleh UNESCO perlu dipelihara fungsinya, agar dapat dimanfaatkan semaksimum yang mungkin dan kekal relevan sampai bila-bila.

Beli buku Khazanah Pantun Melayu Riau di sini.

RUJUKAN

A. Samad Said. “Merindui Buku” dlm. Dewan Sastera, hlm. 50, Ogos 2004.

Cho Min Sun dan Mat Zaid Hussein, “Fungsi Pantun Melayu Tradisional Dilihat dari Perspektif Budaya dan Alam Pemikiran Masyarakat Melayu” dlm. Jurnal Puitika 16:1, hlm. 1-28, 2020.

Harun Mat Piah, 1989. Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ku Seman Ku Hussain dan Hafizahril Hamid. “Ungku Aziz – Saya Bangga sebagai Melayu” dlm. Mingguan Malaysia, 19 Jun 2011.

Noriah Taslim. “Pantun dan Pembudayaan Bangsa” dlm. Dewan Sastera, hlm. 81-84, Ogos 2007.

Rogayah A. Hamid. “Ragam dan Pola Pembayang dalam Pantun Melayu” dlm. Dewan Sastera, hlm. 28-32, Mei 2009.

Siti Hajar Che Man, “Kelestarian Pantun: Rencah dan Leluhur Bangsa Dulu, Kini dan Selamanya” dlm. International Journal of the Malay World and Civilisation 1:1, hlm. 75-81, 2013.

_________________________

Abdul Aziz Suaidi menetap di Kanowit, Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.