Oleh Roslan Jomel
20 April 2022, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Roslan Jomel dengan gaya khas dan tersendiri menyelongkar kembali batin seseorang penulis dengan menglontarkan persoalan asas, iaitu “Mengapa menulis?”.

Babak seterusnya lebih menjelaskan sisi gelap moral sebahagian penulis dalam pekerjaan kreatifnya. Jangan menjadi penyair jika kamu bersikap hipokrit, demikian pesan Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh. Apakah yang penyair arif tentang suka dan duka kehidupan nelayan andai memegang dayung pun tidak pernah? Apatah lagi berhujan dan berpanas atas perahu di pinggir laut menaikkan pukat tanpa sebarang hasil?

Apakah yang melemahkan keghairahan seseorang penulis dalam meneruskan kerja kepengarangannya? Adakah kerana tidak menyertai persatuan penulis yang kononnya dapat meninggikan pengetahuan agar lebih luas dan berwawasan? Mengarut. Ini era internet dan membeli buku melalui Shopee, bahkan dalam dokumentari The Social Dilemma dipertunjukkan pengaruh media sosial dalam mengawal dan memperhambakan penggunanya yang ketagih dengannya. Inilah dunia yang didiami oleh manusia sekarang. Saya mengenali beberapa orang penulis tempatan dan luar negara yang membesar tanpa berebut jawatan dalam persatuan penulis. Rosak dan mereputnya seseorang penulis berpunca dari dalam dirinya, sama ada dibius oleh ganjaran hadiah dan dengki atau terlantar di sofa menonton saluran Netflix dari pagi hingga lewat malam. Anda hanya duduk di atas busut bawah rumah tetapi berkobar-kobar ingin menawan puncak Everest.

Stephen Byrne kebuntuan di hadapan manuskripnya. Dia merupakan penulis elit yang mendiami rumah agam di pinggir sungai. Status sosialnya tinggi dan tidak merempat sebagaimana sebahagian penulis zaman sekarang. Melihatkan situasi Stephen Bryne yang longlai dan tidak bersemangat, jirannya yang baharu meletakkan cangkul selepas berkebun menganjurkannya untuk menerapkan unsur-unsur sensual ke dalam manuskrip. Siapa tahu bakal mengundang perhatian pihak penerbit? Cerita sudah tentu membosankan, kaku dan suram kalau persoalan utamanya terlalu serius. Penulis itu tersengih, bagaikan tidak mengambil peduli petua penulisan yang disampaikan oleh jirannya. Apakah kelayakan estetika wanita penyibuk itu dalam urusan kesusasteraan?

Emily, pembantu rumah, masih muda dan kelaknya nanti menggoncang naluri kelakian Stephen Byrne muncul membawa sampul surat berisi manuskrip. Manuskrip Stephen Bryne dikembalikan, mundar-mandir bak dihanyutkan air pasang dan surut di sungai. Hal tersebut benar-benar melemaskan moral penulis. Namun ada sesuatu yang bergelora dalam jiwa Stephen Bryne. Manuskrip yang dihantar kembali oleh penerbit tidak sepenuhnya melemahkan kelakiannya. Penulis itu bahkan mula terpancing kepada susuk tubuh pembantu rumahnya. Matanya bernyala nafsu tatkala merenung lenggok punggung Emily. Dunia tidak sepenuhnya gelap bagi penulis itu. Entah siapalah yang percaya dengan mitos ‘writer’s block’. Wajarkah Stephen Bryne mengunjungi bengkel-bengkel penulisan berbayar di luar sana?

Ada banyak cerita di luar sana. Tetapi segala-galanya perlu bermula dari dalam diri seseorang penulis itu. Jika Stephen Bryner hidup pada masa kini, dia mungkin boleh mendapat motivasi daripada Profesor Richard Feyman melalui status tulisan di Twitter. Manuskrip terbaharunya telah dipulangkan. Apakah yang hendak dituliskan sekarang? Ilham memang hal ‘mujarad’. Penulis yang ketandusan idea itu menggarap naskhah asmaranya bersama-sama dengan Emily di dalam rumah. Emily menyemarakkan semangatnya untuk mencuba sesuatu yang berlainan baik kepada gelora seksualnya mahu pun buat mencambahkan sesuatu kepada manuskripnya nanti. Sungguh bertuah Stephen Bryne pada hari itu. Isterinya tiada di rumah. Sementara iblis mengajaknya untuk mendekati pembantu rumah muda itu. Ah, Lelaki!

Cadangan daripada Puan Ambrose bukan omong kosong. Nakalnya jiran itu. Kononnya dengan adanya kisah asmara sebegitu akan mendorong lonjakan jualan di pasaran dan memberikan keuntungan material buat penulis. Teori penulisan Puan Ambrose ternyata alamiah dan tidak dituntut dari mana-mana universiti. Kemudian, untuk dijadikan cerita, Stephen Bryne tertelan cadangan daripada jirannya. Entah apa yang merasuk kalbu penulis itu, setelah meneguk minuman (bukan teh tarik, sudah tentunya), dia melihat dengan berahi paha Emily yang terdedah ketika menuruni tangga dari tingkat atas rumahnya. Penulis yang dicengkam nafsu itu tanpa berlengah-lengah menerkam ke arah Emily yang masih muda dan menawan pula paras rupanya. Tatkala asyik melampiaskan kehendak libido, Stephen Bryne tanpa sengaja mencekik Emily kerana tiba-tiba abangnya muncul secara mengejut dan meninjau dari luar tingkap. Emily sudah pun mati tergeletak atas lantai. Apakah helah yang perlu dilakukan untuk menyembunyikan perbuatan dan juga imej terhormatnya sebagai penulis?

Babak seterusnya lebih menjelaskan sisi gelap moral sebahagian penulis dalam pekerjaan kreatifnya. Jangan menjadi penyair jika kamu bersikap hipokrit, demikian pesan Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh. Apakah yang penyair arif tentang suka dan duka kehidupan nelayan andai memegang dayung pun tidak pernah? Apatah lagi berhujan dan berpanas atas perahu di pinggir laut menaikkan pukat tanpa sebarang hasil? Segala-galanya begitu puitis atas teks sajaknya yang dikarang dari dalam bilik berpenghawa dingin. Bertambah jijik lagi andai populariti yang diraih hasil daripada perbuatan memplagiat. Bukan sahaja karya itu palsu dan tidak berjiwa, “pemplagiat” yang berasakan sudah setaraf dengan pujangga besar itu tidak sewajarnya dianggap sebagai penulis dalam mana-mana ranah kesusasteraan. Perompak sebegitu seumpama ahli politik yang kerap berpenampilan nirmala ketika berkempen demi kerusinya.

Stephen Bryne mengecapi kejayaannya dan mula menyedari teka-teki dalam bidang penulisan kreatif. Seperangkat imaginasi sahaja belum menjamin keutuhan manuskrip. Sebagai individu yang bergantung sepenuhnya sumber pencarian dengan penulisan, Stephen Bryne mahu merasai sendiri pengalamannya secara zahir dan batin supaya kualiti penulisannya lebih realistik, meyakinkan dan bukan semata-mata kesan artifisial. Kulit tubuh dan rasanya perlu bersentuhan secara intim dengan subjek yang ingin diangkatnya ke dalam naskhah. Inilah hal yang paling ekstrem dalam kerjaya seseorang penulis. Demikianlah kata-kata yang diungkap oleh penulis itu pada sesi menandatangani buku-buku. Penulis menemui sensasi setelah melaluinya sendiri, baharulah ketulenan sesebuah karya itu mencapai kepiawaian mutu yang sebenar. Stephen Bryne membunuh dan terus membunuh demi melaksanakan misi fiksyennya. Adakah itu yang digelar lesen kreatif? Selepas abangnya yang hidup lebih beradab “dikambinghitam” kerana perbuatan jenayah, mahu tidak mahu, isterinya perlu dikorbankan sebagai melengkapkan rantaian tragedi.

Perwatakan Stephen Bryne dibentuk oleh pengarah filem House by The River, Fritz Lang yang ditayangkan pada tahun 1950. Filem ini benar-benar menggoncang perspektif kehidupan golongan penulis yang kononnya dianggap sebagai agen intelektual masyarakat. Ada banyak filem yang menyoroti keperibadian beberapa orang pengarang hebat, terpinggir, kontroversi, tulen atau palsu, dan menemui nasib sedihnya. Misalnya, dalam The Life of Emily Zola, setelah kegemukan kerana dikurniakan kemewahan, akhirnya Emily sedar bahawa tugas sebagai penulis tidak sepatutnya dimabukkan oleh anugerah, dipangku oleh pemerintah, dahagakan pingat kebesaran dan udang kara sebesar betis. Siapa sahaja yang tidak mahu kaya? Siapa sahaja yang menolak untuk dikalungkan sebagai sasterawan besar negara dan gelaran dari kerajaan?

Sebagaimana medium seni yang lain, filem menjadi hiburan, kiasan, rakaman autobiografi, dokumen sejarah, kehancuran akhlak masyarakat, dan seterusnya pukulan psikologi kepada kenyataan yang melingkari kehidupan di luar sana. Tetapi untuk apakah semua hasil seni jika dunia kian compang-camping di sana sini? Mengapa Edward Sheffield perlu mengarang manuskrip dan menyerahkannya kepada bekas isterinya? Tidakkah perbuatannya itu memperdalamkan kelemahan sendiri di mata pembaca? Aneh sungguh fikiran insan kreatif. Semakin hal-hal privasi didedah, bertambah puas pula orgasma seninya. Segala yang tampak indah memang kadang-kadang menyakitkan dari dalam. Hal itulah yang menyeksa batin pelukis bernama Richard Wanley, profesor dan pelukis yang terlibat dengan jenayah pembunuhan, walaupun kejadian itu hanyalah mimpi belaka. Tentu ramai seniman genius yang menderita dalam hidup nyata tetapi tidak diceritakan dalam wayang gambar.

Helah dan penipuan ada tempoh tarikh luputnya. Walaupun dipertahankan dengan kekuasaan, kedudukan dan kabel sakti, hukum alam selalunya berkuasa daripada agenda manusia. Stephen Bryne menemui keaibannya. Sewaktu menuruni tangga, angin yang bertiup pada malam itu menerbangkan langsir yang membelit leher penulis dahsyat itu. Bayangan Emily bekas pembantu rumah muncul untuk mengingatkan kelakuannya di belakang isteri. Stephen Bryne terhempas ke lantai dan mati serta-merta ditolak dosa perbuatan sendiri. Filem arahan Fritz Lang itu diangkat daripada naskhah novel tulisan A. P Herbert. Wajar sahaja cara pembalasan kepada watak utama itu disengajakan sekejam yang boleh. Biar penulis itu menanggung penghinaan setelah terlepas daripada undang-undang dunia.

Watak-watak dalam karya kreatif selalunya dianggap rekaan semata-mata oleh empunya naskhah. Benarkah begitu? Ia penafian paling halus oleh golongan penulis. Manusia-manusia yang dihidupkan dalam karya fiksyen, sebahagiannya ternyata memang wujud di luar sana. Duduk di kafe dengan pakaian berjenama. Mereka manusia fizikal yang menunggu masa dicairkan ke dalam alam fiksyen. Sama ada diangkut oleh penulis itu sendiri, atau orang lain yang pernah dikenalinya. Tiada sempadan yang membezakan fiksyen dan peristiwa sebenar. Begitu juga tiada peranti khusus bagi menentukan sasterawan tulen atau jadi-jadian. Namun sastera menambahkan aksesori khasnya yang telah lama berperanan mengindahkan sesebuah naskhah, sementelah karya-karya ciplak boleh dicantikkan dengan kepintaran penulisnya tanpa sekelumit rasa berkhianat kepada penulis-penulis yang dieksploitasinya.

Apakah sesungguhnya yang dimahukan oleh Stephen Bryne dalam pekerjaannya sebagai penulis fiksyen? Kemasyhuran peribadi? Adakah kelebihannya selaku penulis ternama membolehkan Stephen Bryne mengambil kesempatan lalu menggunakan tipu daya untuk menyelamatkan reputasi? Tidakkah dia maklum, perbuatan menciplak juga boleh menaikkan namanya andai menemui penghujung jalan dalam pengkaryaan. Sebagai penulis, dia pasti tahu duit belum mencukupi untuk memenuhi obsesinya. Dalam beberapa kes, memang benar, fiksyen merupakan cara untuk mendedahkan kebenaran. Stephen Bryne pernah melontarkan kenyataan tersebut kepada jirannya yang penyibuk dan merungut tentang bau kotor yang dibawa air pasang di depan sungai rumah mewah mereka. “Sepatutnya manusialah yang dipersalahkan kerana merosakkan ekosistem alam,” kata Stephen Bryne. Ironinya, kata-kata hikmah itu datang daripada manusia penulis yang tidak bermaruah.

Apakah sebenarnya yang diinginkan oleh segolongan penulis di luar sana?  Jangan sampai tragedi Oedipus Rex yang menimpa Stephen Bryne berpindah kepada anda atas nama lesen kreatif. Tidak semua karya yang dihasilkan sasterawan-sasterawan “besar” dianggap adikarya, malahan dianggap terlalu esoterik persoalannya dan hanya dibicarakan oleh rakan-rakan secara berulang-ulang saban tahun seolah-olah karya penulis kontemporari tidak layak untuk diperkatakan. Sungguhpun demikian, tidak semua karya angkatan “pembaharu” benar-benar ampuh sebagai sebuah naskhah. Hal ini kerana mereka perlukan masa, kedewasaan dan sudah tentu muatan ilmu agar kekal sebagai penulis yang berkeupayaan menyatakan permasalahan manusia, bukan lagi bereksperimen yang kian menjauhkan pemahaman pembaca. Itulah beban kepada golongan penulis yang berusaha mencipta dunia lain. Mengikut arus utama atau mengemudi penulisan dengan ekspresi peribadi. Suatu jenis konflik dalaman yang barangkali menghasut Stephen Bryne bertindak di luar batas norma. Entahlah.

Kredit Foto: Ben Sweet/Unsplash

_________________________

Roslan Jomel berasal dari Kuching dan kini menulis di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur untuk mengenali lebih dekat lagi permasalahan masyarakat Malaywood di samping mengembangkan imaginasinya yang tidak seberapa. Tumpuan penulisannya ialah dalam genre cerpen, sajak serta esei.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.