Oleh Orked Una
7 April 2022, 11:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Singapura – “Sastera kanak-kanak wajar diberikan penekanan seperti sastera umum yang lain. Sastera kanak-kanak bukan sahaja membawa keseronokan tetapi juga menyampaikan falsafah yang mendalam,” ujar Dr. Kartini Anwar, pensyarah Bahasa dan Kebudayaan Asian (ALC) dari Institut Pendidikan Nasional (NIE) Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam acara Bicara Karya, “Ada Apa Dengan Sastera Kanak- Kanak?” yang dibawakan oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) melalui pelantar Zoom.

Dr. Kartini Anwar

Fungsi sastera kanak-kanak sama ada dalam bentuk fiksyen, bukan fiksyen, puisi atau prosa adalah untuk memberikan manfaat kepada pembentukan keperibadian dari sudut moral dan psikososial. Sastera kanak-kanak mampu membantu kanak-kanak memahami dan memberi persediaan terhadap realiti kehidupan.

Menyentuh perkembangan karya sastera kanak-kanak di Singapura, bermula pada tahun 1980-an lagi penulis Singapura menulis novel siri pengembaraan, misteri dan penyiasatan. Bermula pada tahun 2001, penelitian dan penerbitan sastera kanak-kanak mula dibuat di Institut Pendidikan Nasional (NIE) dan giat dibicarakan pada peringkat lebih tinggi. Karya yang dihasilkan oleh pelajar dalam kursus di NIE berjaya diterbitkan di bawah rumah penerbitan Pustaka Nasional. Pengarang dan penerbit tempatan juga aktif menerbitkan karya baharu. Buku dwibahasa juga diterbitkan supaya pembaca yang hanya mahir dalam satu bahasa sama ada bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dapat meningkatkan penguasaan bahasa mereka.

Saranan bacaan tentang sastera kanak-kanak.

Menurut beliau lagi, dalam penghasilan karya sastera kanak-kanak, karya yang dihasilkan hendaklah dipersembahkan sesuai dengan kategori pembaca sasaran. Ibu bapa juga turut berperanan dalam hal ini dengan bertindak aktif membudayakan pembacaan buku secara santai. Gaya bacaan santai membuka perspektif dan memastikan falsafah yang terkandung dalam karya dapat difahami.

Penulis yang berkualiti sudah tentu mempunyai keupayaan meneroka tema serius serta menyampaikannya selaras dengan kategori pembaca sasaran tanpa bersifat didaktik. Pemilihan gaya ilustrasi juga amat penting bagi sesuatu cerita kerana gabungan teks dan ilustrasi yang baik membantu literasi kritis kanak-kanak.

“Jika sebuah cerita itu datang kepada anda, sampaikanlah cerita tersebut dengan baik. Cerita dapat membentuk angan-angan yang berubah menjadi impian. Impian pula tercapai dalam cita-cita yang boleh memupuk keyakinan serta seterusnya membawa kejayaan,” ujar beliau.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.