29 Mac 2022, 08:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rentetan pendapat kolumnis yang menyatakan sebab pertama mentaliti negatif sastera ialah amalan pendidikan sastera semasa, dalam Sekilas kali ini, Muhammad Lutfi Ishak memajukan faktor kedua mentaliti negatif sastera: pendidikan terpisah.

Pendidikan terpisah merujuk sistem pendidikan formal semasa yang tidak bersepadu.

Sepasang suami isteri minum air di sebuah kedai. Tidak lama kemudian, sang suami jatuh lalu meninggal dunia. Melihatkan keadaan isteri yang terkejut dan terpinga-pinga, si penjual berkata, “Aku memasukkan racun ke dalam minumannya.”

Sang isteri membalas penjelasan itu dengan menyatakan bahawa dia akan membuat laporan. “Pihak berkuasa menyatakan falsafah menjual minuman di negara kita adalah dengan menjual minuman yang bersih dan selamat!”

Penjual air terus meningkah, “Merekalah yang menugaskan aku membunuh suamimu.” Jawapan tersebut bukan sahaja tidak meredakan keadaan, malah pertikaian menjadi lebih hangat. Beberapa pengunjung kemudiannya turut masuk campur dan berpendapat jika betul itu ialah arahan pihak berkuasa, fakta tersebut tetap menyalahi falsafah menjual minuman.

Sudah tentu, ini suatu anekdot. Dalam kehidupan ini, tidak ada orang yang akan memperkatakan falsafah menjual minuman biarpun hal itu difahami oleh para penjual air. Tetapi, sebagai suatu anekdot, cerita ini sengaja diangkat kerana amat berkaitan dengan apa yang ingin ditekankan dalam perbincangan kali ini.

Dalam Sekilas yang lepas, telah dijelaskan secara ringkas punca pertama mentaliti negatif sastera, iaitu amalan sastera semasa. Bahagian ini akan menumpukan pula sebab kedua iaitu pendidikan terpisah. Tiga perkara akan diberikan fokus, iaitu (1) gambaran umum pendidikan terpisah, (2) punca kelahiran pendidikan terpisah dan (3) kaitannya dengan kelahiran mentaliti negatif sastera.

Secara umum, pendidikan terpisah merujuk sistem pendidikan formal semasa yang tidak bersepadu. Keadaan itu wujud disebabkan oleh percanggahan antara falsafah pendidikan yang termaktub dengan pelbagai amalan dan pelaksanaan semasa dalam sistem pendidikan. Akibat daripada percanggahan tersebut, wujudlah pendidikan terpisah pada pelbagai peringkat pelaksanaan.

Dalam konteks Malaysia, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dengan jelas menggariskan tujuan pendidikan Malaysia adalah untuk “melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani yang berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.”

Dalam menentukan tujuan akhir pendidikan, terdapat dua aliran yang utama. Aliran pertama menyatakan pendidikan bertujuan untuk melahirkan warganegara yang sempurna. Aliran kedua pula menyatakan insan yang baik ialah tujuan sebenar pendidikan.

Setiap aliran bertolak daripada kerangka dan perbahasan yang rencam sebelum sampai kepada kesimpulan masing-masing. Para pembaca budiman bolehlah merujuk bahan bacaan daripada ilmuwan berwibawa bagi memahami letak duduk penjelasan kedua-dua aliran tersebut. Antara yang dirujuk sebagai pijakan dalam konteks ini ialah huraian dua ilmuwan berwibawa dalam bidang pendidikan, iaitu Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan muridnya, Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud.

Apa-apa pun, dalam konteks ini, jika ditelusuri alur mantik dan denai sejarah FPK, kita akan tiba pada kesimpulan bahawa tujuannya adalah untuk melahirkan insan yang baik. Oleh sebab ruang yang terhad, hal ini tidak dihujahkan sekarang. Huraian kepada ketibaan kesimpulan tersebut akan dijelaskan dalam tulisan yang akan datang.

Apakah kaitannya antara sistem pendidikan terpisah sehingga menjadi punca utama kepada kelahiran mentaliti negatif sastera?

Insan yang baik sebagai matlamat FPK sepatutnya dihayati oleh semua pihak yang terlibat dalam pendidikan di Malaysia, lebih-lebih lagi kepada pihak yang diberikan kuasa untuk mengatur dan mencapainya. Namun, hal inilah yang membangkitkan satu persoalan lain memandangkan Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai misi yang tampaknya sukar untuk dipertahankan sebagai selari dengan FPK.

Hal ini kerana, KPM dengan jelas menyatakan misi mereka adalah “untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara”. Dengan kenyataan seperti itu, kelihatannya sebahagian misi tersebut memang menyambut hasrat FPK, iaitu “membangunkan potensi individu”. Kenyataan selebihnya, iaitu “memenuhi aspirasi negara” tidak menggambarkan hasrat FPK.

Di sinilah percanggahan utama yang membuka pintu kepada berlakunya lebih banyak percanggahan pada setiap peringkat dalam sistem pendidikan di Malaysia. Keadaan ini tidak ubah dengan anekdot yang diangkat sebentar tadi kerana daripada percanggahan utama itulah wujud lebih banyak percanggahan. Percanggahan-percanggahan itulah yang menyebabkan wujudnya sistem pendidikan terpisah.

Sebab itu, keadaan akan sebaliknya jika misi utama diselarikan dengan hasrat FPK, bukannya aspirasi negara. Maksudnya, jika terma aspirasi negara digantikan dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan, maka, hubungan antara FPK dengan KPM akan jelas.

Justeru, apakah kaitannya antara sistem pendidikan terpisah sehingga menjadi punca utama kepada kelahiran mentaliti negatif sastera? Jawapannya terkait rapat dengan aspirasi negara yang menjadi sebab untuk membangunkan potensi individu. Maksudnya, aspirasi negara kini menentukan potensi dan bentuk individu yang ingin dibangunkan dan dikembangkan.

Dalam erti kata yang lebih tegas, KPM boleh sahaja menghapuskan atau melaksanakan suatu tindakan yang dilihat tidak lagi memenuhi aspirasi negara, biarpun tindakannya itu menyebabkan terencatnya potensi individu dalam pengertian insan yang baik.

Sudah tentu ada pihak yang berhujah bahawa aspirasi negara tidak sahaja merangkumi aspek warganegara yang sempurna tetapi melahirkan insan yang baik. Namun, hujah ini amat sukar dipertahankan secara ilmiah. Malah, jika ditelusuri perkembangan pendidikan kita beberapa puluh tahun belakangan, beberapa fakta dapat diutarakan dengan mudah bagi mematikan hujah tersebut.

Sebagai contoh, Akta Pendidikan 1996, yang berpijak pada hasrat FPK menyatakan dengan jelas bahawa bahasa Melayu perlu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan di Malaysia. Namun, beberapa tahun setelah akta itu diwartakan, PPSMI dilaksanakan. Beberapa kajian yang lengkap kemudiannya mendapati PPSMI bukan sahaja tidak berjaya malah membunuh potensi pelajar.

Keadaan ini jika dilihat dalam konteks anekdot tadi, boleh disimpulkan sebagai “tujuan menjual minuman ditentukan oleh arahan yang diberikan kepada penjual minuman.” Maksudnya, perkembangan pendidikan dan pelaksanaannya tidak ditentukan oleh FPK tetapi oleh aspirasi negara.

Sebab keperluan dan cabaran negara sentiasa dikaitkan dengan masalah ekonomi dan teknologi, maka, aspirasi negara dengan sendirinya ditafsirkan sendeng menuruti cabaran tersebut. Dalam konteks inilah munculnya pembahagian aliran di sekolah menengah kepada aliran sains dan sastera. Beberapa tahun belakangan, diperkenalkan pula aliran teknikal/vokasional di kolej tertentu dengan penekanan kepada STEM.

Strategi ini melorongkan hampir semua pelajar cemerlang ke aliran sains manakala yang tidak layak untuk memasuki aliran sains akan masuk ke aliran sastera tanpa mata pelajaran sastera. Selebihnya, akan memilih kolej teknik dan vokasional, manakala yang berbaki akan memasuki aliran sastera dengan mata pelajaran elektif sastera jika memang aliran itu ada di sekolah tempat mereka belajar. Melalui keadaan inilah, memunculkan mentaliti negatif sastera.

Mungkin ada yang berhujah bahawa sastera tetap didedahkan kepada semua pelajar di sekolah menengah melalui KOMSAS. Namun, teks KOMSAS itu tidak mencukupi untuk memberikan gambaran yang baik kepada sastera berbahasa Melayu. Hal ini kerana beberapa sebab.

Pertama, KOMSAS bukan sahaja tidak dipersembahkan selari amalan sebenar tamadun di Kepulauan Melayu-Indonesia, malah teks yang dipilih juga belum teruji masa dan zaman.

Kedua, KOMSAS juga bukanlah bertujuan untuk memperkenalkan sastera, sebaliknya sekadar memenuhi keperluan keindahan dan kesenian bahasa dalam subjek Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikatif. Isi pembelajarannya pula berfokuskan sastera yang bersifat struktural.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, akibat ruang dan masa yang terhad, sastera yang struktural itu kemudiannya ditanggapi oleh pelajar secara pragmatik, iaitu bertindak menghafal aspek-aspek tertentu daripada buku-buku rujukan untuk memenuhi keperluan peperiksaan.

Sebab itu, pendekatan KOMSAS ialah sebahagian daripada proses pembentukan mentaliti negatif sastera kerana karya yang dipilih dan kaedah pembelajaran tidak akan mampu menggambarkan wajah sebenar sastera dan persuratan kita.

Kemudian, mereka yang cemerlang tadi akan meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di universiti dengan membawa mentaliti yang salah terhadap sastera. Sikap memandang rendah terhadap pelajar sastera yang sudah tersemai pada peringkat sekolah menengah akan dikukuhkan kerana amalan sastera di universiti juga tidaklah banyak berbeza. Jadi, universiti menjadi tempat golongan ini mengukuhkan mentaliti negatif sastera.

Hal ini sangat merugikan. Merekalah golongan paling penting dan berpengaruh dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar-dasar utama kerajaan kelak. Peranan dan pengaruh mereka dalam bidang swasta dan masyarakat juga sangat besar.

Pandangan mereka yang negatif terhadap sastera dan orang-orangnya serta pengetahuan mereka yang tidak menyeluruh akibat gambaran yang salah dalam fikiran tentang amalan sebenar sastera ini akan memainkan peranan utama untuk meneruskan kelangsungan ini.

Manakala golongan yang telah mengambil sastera sebagai pengkhususan pada peringkat sekolah menengah dan seterusnya menyambung ke peringkat yang lebih tinggi di universiti, mereka juga menjadi sebahagian daripada permasalahan, bukannya penyelesaian. Mereka yang tidak mendapat gambaran yang sempurna dan menyeluruh tentang wajah sebenar sastera seperti yang berkembang dalam sejarah, juga menjadi sebahagian daripada putaran ganas mentaliti negatif sastera.

Cuma yang membezakannya, mereka menjadi golongan yang mengukuhkan gambaran yang telah diterima tadi. Jika mereka terlibat dengan institusi dan dunia kesusasteraan seperti menyumbang karangan, mereka menjadi sebahagian daripada golongan yang mengukuhkan dan memperjuang amalan sastera dan persuratan yang tidak mewakili wajah sastera yang sebenar.

Oleh sebab itu, tidaklah menghairankan jika mereka kadangkala bersifat anti-ilmu, suka memukul rata setiap karangan sastera dan persuratan, dan membayangkan dualisme, yakni memisahkan dunia sastera sebagai suatu dunia yang berbeza daripada dunia ilmu.

Ketika mentaliti negatif sastera lepasan sains menyebabkan sastera menjadi satu pulau, orang sastera pula membina tembok dan memastikan pulau itu betul-betul terasing. Sebab itu, antara kedua-dua kelompok ini, kita akan mendengar tuduhan bahawa sastera tidak menawarkan apa-apa selain khayalan oleh kaum sains, dan daripada kalangan orang sastera pula, mereka mengangkat tinggi nilai khayal dan mengehendaki orang luar masuk ke dalam dunia sastera dengan menanggalkan jubah cendekiawan.

Apa-apa pun, tidak dapat dinafikan mentaliti negatif sastera diakibatkan juga oleh hal-hal luaran sistem pendidikan. Misalnya, mereka yang dipandu oleh faham kegunaan dan kebendaan, akan tetap melihat sastera dan persuratan tidak begitu bermanfaat dalam keadaan sekarang biarpun sastera yang diajarkan itu benar-benar mewakili wajah sebenar sastera dan persuratan kita. Namun hal itu merupakan faktor luaran yang akan dibincangkan apabila tiba masanya.

Wallahualam.

Kredit Gambar: Birmingham Museums Trust/Unsplash

_________________________

Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.