Oleh Harlym Yeo
15 Mac 2022, 12:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) akan menganjurkan program “Interaksi Pemuisi Sedunia” bersempena Hari Puisi Antarabangsa secara dalam talian pada Ahad, 20 Mac, 9.00 malam. Acara ini melibatkan penganjur bersama dari tiga negara Nusantara, iaitu asyikasyik.com dari Indonesia, Putra Seni dari Brunei Darussalam dan Pantunism dari Singapura. Program akan disiarkan menerusi aplikasi Zoom dan dipancarkan secara langsung ke Facebook Pemuisi Berkarya.

Hari Puisi Dunia diasaskan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak tahun 1999. Menurut Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, sudah terdapat pelbagai aktiviti yang mengangkat puisi sebagai salah satu medium bagi meningkatkan lagi daya pemikiran dan tamadun manusia diraikan di negara Barat bersempena Hari Puisi Dunia.

“Tidak kurang juga kegiatan kepenyairan tanah air dihidupkan oleh para aktivis seni dan budaya yang menyambut perayaan ini dalam keadaan yang sederhana,” kata Dr. Radzuan.

“Sebagai pembawa misi ‘Suara Kemanusiaan Sejagat’, sekali gus menyahut seruan kerajaan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa, PEMUISI bersama-sama rakan strategik di peringkat Nusantara turut meraikan sambutan Hari Puisi Antarabangsa dengan tema ‘Pembangunan Bangsa melalui Bahasa dan Budaya’,” jelas beliau.

Dr. Radzuan menyeru kepada khalayak peminat seni puisi Melayu untuk turut bergabung dan semarakkan acara ini bersama para peserta dari 10 negara yang akan membuat persembahan deklamasi puisi tradisional dan moden, tayangan filem pendek, puisidra (puisi-drama), lagu puisi, dan seumpamanya.

“Seramai 30 orang peserta dijangka akan mengambil bahagian dalam program ini. Selain Malaysia, negara-negara yang turut terlibat ialah Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand, China, Rusia, Korea, dan lain-lain lagi.”

“Peserta dari Malaysia termasuk Sasterawan Negara, iaitu Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, dan Tokoh Budaya Malaysia dan Naib Canselor Universiti Malaya ke-8, Kepten Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.