1 Mac 2022, 08:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah menganjurkan Bengkel Intensif Menulis Pantun dan Program Baca Sajak Naskhah Hayat yang diadakan di Dewan Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah pada 26 Februari lalu.

Program yang diadakan selama dua jam secara hibrid (secara dalam talian dan bersemuka) itu dibimbing oleh Ibnu Din Assingkiri dan terbuka kepada semua ahli ASASI.

Ibnu Din Assingkiri dalam pembentangan kertas kerjanya memberitahu bahawa pantun ialah puisi asli tradisi lisan Melayu yang dipercayai berasal dari Kepulauan Nusantara.

Pantun digunakan sebagai lirik lagu, joget, dondang sayang, boria, selain lagu dodoi (nina bobo) si ibu untuk menidurkan anak. Pantun juga dilagukan dalam persembahan wayang kulit, dikir barat, serta persembahan panggung yang lain. Pantun turut dilantunkan semasa majlis peminangan dan majlis-majlis rasmi yang lain.

Menurutnya, untuk menulis pantun, seseorang itu perlu mempunyai Kamus Dewan, kamus rima, rampai sari pantun, dan kamus peribahasa. Dengan adanya kamus-kamus ini akan memudahkan seseorang itu mengarang pantun dengan lebih baik lagi.

Ibnu Din turut menjelaskan bahawa untuk menulis pantun, seseorang itu perlu memahami dan menghayati dengan sebaiknya tentang pantun. Tambahnya, pantun yang baik dan sempurna ialah pantun yang mempunyai maksud serta pembayang yang betul.

“Tulislah pantun dengan sebaik-baiknya dan jangan sesekali menulis pantun yang tidak membawa apa-apa maksud yang sebenarnya,” ujarnya.

Sempena majlis itu juga, turut diadakan program baca sajak Naskhah Hayat. Antara ahli ASASI yang ikut serta ialah Ketua Dua ASASI Putraery Ussin, Rosnani Ahmad, Ibnu Din Assingkiri, Wadiassofi Jaafar, Azmi Rahman, Amelia Hashim, Pena Berdarah, dan Hamizun Syah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.