10 Februari 2022, 09:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gema Membelah Gema 19 (Gabungan Persatuan Penulis Malaysia, 2021), Citra Kebenaran (Karya Warisan Ledang, Komuniti Buku Pengkarya Johor dan Warung Buku, 2021), Kuala Kangsar Bandar Diraja (Persatuan Karyawan Perak, 2016), dan Antologi Puisi Pangkor 5 (Kampung Karyawan Malim, 2015) merupakan antara antologi puisi bersama yang diterbitkan dengan dana penerbitnya. Justeru diterbitkan tanpa memohon bayaran daripada penyair terbabit. Adakah semua karya yang terpilih bermutu? Raja Yusoff Ariffin terpanggil bertanya sedemikian kerana penyair terkenal kelahiran Kuala Kangsar, Ijamala MN menerusi akaun Facebooknya pada 24 Januari 2021 lalu mengatakan puisi yang terbit dalam antologi bersama secara berbayar sebagai tidak bermutu. Beliau meminta pandangan beberapa orang rakan penyair mengenainya untuk berlaku adil.

Hal ini lebih bersifat subjektif.

Memiliki buku atau antologi puisi, sama ada bersama apatah lagi berseorangan menjadi idaman setiap penulis puisi. Namun demikian, perkara tersebut diharapkan tidak terlalu menekan jiwa kerana ada penulis yang telah lama berkarya pun belum mempunyai buku. Jadi, penulis baharu jangan terlalu ghairah mahu menerbitkan puisi mereka dalam buku.

Walaupun telah lama dilakukan, tetapi sejak akhir-akhir ini, trend menerbitkan antologi puisi bersama dengan kos penerbitannya ditanggung oleh para penulis terlibat semakin rancak.

Mengapa Ijamala MN mengatakan puisi yang terbit dalam antologi bersama secara berbayar sebagai tidak bermutu? Begitu pun, agak ramai yang membidas penyair tersebut dalam ruangan komen akaun Facebooknya.

Walau bagaimanapun, saya tidak mahu mengambil semua pendapat tersebut kerana ingin meminta terus pandangan para penyair lain menerusi talian.

Saya tidak menyokong atau menentang sesiapa. Cuma, saya fikir penulis/penyair yang terlibat yang perlu dibayar hasil daripada penerbitan antologi itu, bukan membayar. Hal ini dikatakan sedemikian kerana tidak mudah menulis puisi dan disebabkan usaha menulisnya umpama satu pekerjaan juga, penulis/penyair perlu mendapat imbalan jasa.

Seorang penyair era 1980-an yang enggan namanya disiarkan, secara peribadi tidak bersetuju dengan kenyataan Ijamala itu walaupun benar ditujukan kepada “anak didiknya”. Bagi beliau, kenyataan itu agak mengguris perasaan penulis-penulis baharu seperti yang terpapar dalam media sosial seperti ruangan komen Facebook dan juga kumpulan WhatsApp.

Bukan sahaja penulis baharu/muda/pemula, malah ada penulis ternama yang turut terkesan/prihatin dan bertindak membela para penulis antologi puisi berbayar. Namun begitu, beliau bersangka baik kerana mungkin Ijamala “tersilap” dalam meluahkan rasa terkilan kepada “anak didiknya”.

Walau bagaimanapun, penyair itu berpendapat kalau kenyataan tersebut datang daripada Sasterawan Negara (SN), atau penulis mapan yang lebih terkenal, mungkin keadaannya berbeza.

“Bukanlah bererti kenyataan SN diterima bulat-bulat kerana pasti ada juga yang membantah, tetapi mungkin tindak balasnya tidak seperti yang Ijamala terima,” tambahnya. Beliau mengakui bahawa kesilapan dalam kalangan penulis kerap berlaku sehingga menjadi isu, dipanaskan, dan kemudian reda, tetapi kekal membekas di hati mereka yang terguris.

Penyair itu mengakui beliau tidak berhak menilai karya penulis lain sebagai “rendah” tanpa mengira yang dimuatkan dalam antologi, di media cetak/elektronik, dan sebagainya. Tentu para sarjana/ilmuwan yang arif dalam bidang sastera, tambahnya, yang berhak menilai.

“Siapalah kita yang sekadar memiliki sebuah dua atau sekian jumlah antologi puisi, mengatakan karya dalam antologi berbayar sebagai belum hebat atau tidak hebat,” katanya lagi.

Ihsan Noorzali pula mengatakan, hal ini bergantung pada kesungguhan penyelenggara untuk memilih karya yang bermutu. Katanya, sama ada Ijamala berpendapat atau menyindir, bermutu atau tidak puisi dalam antologi berbayar, hal ini lebih bersifat subjektif.

“Saya tidak pasti kenyataan Ijamala itu secara menyeluruh atau terhadap seseorang atau sesebuah antologi. Bagi saya, penyair pemula pasti gembira dengan peluang penerbitan, dan kerana itu mereka rela membayar,” tambah Timbalan Pengarah (Media), Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris tersebut.

Sekarang, katanya, memang zaman sukar untuk penulis memperoleh royalti daripada penerbit.

“Hal ini memang mencabar. Apa-apa pun, kita wajar meraikan semua medium yang ada, termasuk melalui media sosial demi dunia kesusasteraan agar ia tidak terus dipinggirkan,” kata Ihsan, atau nama sebenarnya, Ghazali Din.

Kita, tambah beliau, perlu mencari jalan mengukuhkan sastera di tanah air seperti pengukuhan subjek sastera di sekolah, dana penerbitan oleh kerajaan, hadiah sastera negeri, kriteria penerima Anugerah Sastera Negara, dan hal-hal lain pada masa depan, demi manfaat semua penulis secara holistik.

Penyair yang kini menetap di Johor Bahru, Ria Asmira, tidak menganggap isu ini sebagai serius. Katanya, ada baik dan buruknya. Begitu pun, beliau menjangka Ijamala mengatakan sedemikian kepada anak didiknya yang tidak mengenang budi, serta cepat bangga dan lupa diri.

“Apa yang penting ialah menghasilkan puisi terbaik biarpun kita tidak wajar menilai karya sendiri kerana itu ‘tugas’ orang lain, seperti panel penilai dan penyunting,” tegas Ria yang sebenarnya telah lama terlibat dengan penerbitan antologi puisi berbayar ini.

Sambil mengatakan beliau tidak menyebelahi sesiapa, Ria yang juga kelahiran Kedah turut menasihati penulis puisi muda agar jangan terlalu ghairah mahu cepat dikenali. Pesanan Ria itu berasas kerana ada penulis lama yang masih belum memiliki buku sendiri.

Sementara itu, penyair Solihin Osman tidak mahu mengulas panjang lebar. Beliau sebaliknya menyatakan secara umum, dan lebih keras. Katanya, bukan puisi dalam antologi berbayar itu tidak bermutu, tetapi ada penulis puisi itu sendiri tidak bermutu. Oleh sebab itu, dengan sendirinya karya terbabit tidak bermutu.

Ijamala dalam ulasan balasnya antara lain bersetuju dengan pendapat bahawa antologi berbayar boleh mendorong dan membuka peluang penulisan untuk para pengkarya pemula. Namun begitu, beliau bersuara sedemikian kerana kadang-kadang penulis pemula hanya sekadar “hangat-hangat tahi ayam” sahaja apabila menulis.

“Mereka tidak serius dan enggan menerima nasihat apabila ditegur. Saya juga kesal terdapat dalam kalangan para pemula itu menyangka puisi mereka terlalu baik dan hebat kerana terbit dalam banyak antologi, yang kebanyakannya secara berbayar,” tegas beliau.

Ijamala dikatakan suka mencari kesalahan orang lain. Walau bagaimanapun, beliau menafikan hal ini kerana perkara yang dibantah ialah sikap “kacang lupakan kulit” penulis baharu atau pemula.

Akhir sekali, Ijamala turut berpesan kepada para penulis baharu/pemula agar tidak menjadikan penulis mapan atau mampan sebagai “batu loncatan”, serta beraksi mencolok mata di pentas puisi untuk cepat terkenal.

_________________________

Raja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!