Oleh Harlym Yeo
5 Februari 2022, 15:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Edisi ke-17 program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan anjuran bersama Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM), Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI) Malaysia, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Malaysia, dan Alumni Bengkel Puisi Merdeka (ALUMNI) berjaya mengumpulkan 26 orang pemuisi dari Malaysia, Indonesia, Thailand, dan Republik Rakyat China dalam misi pengantarabangsaan puisi Melayu ke persada global.

Program penghayatan puisi itu adalah acara bulanan secara dalam talian menerusi Facebook Pemuisi Berkarya dan Pusat Budaya UUM dipancarkan daripada aplikasi Zoom yang menampilkan sasterawan negara, budayawan, penulis, penyair, penggiat seni, guru, pensyarah dan mahasiswa dari Malaysia, Republik Rakyat China, dan Indonesia. Acara itu dilaksanakan dengan sempurna oleh pasangan pengacara Harlym Yeo dan Prof. Madya Dr. Hasimah Ismail serta moderatornya Asmawiza Hj. Hussin yang juga merupakan Pengarah Pusat Budaya Dan Seni, UUM.

Menurut Pengarah Programnya, Harlym Yeo, program kali itu menampilkan Syed Indera Syed Omar atau lebih mesra disapa sebagai Siso Kopratasa sebagai ahli panel bual bicara berkaitan “Lagu Puisi”.

“Topik lagu puisi sangat sinonim dengan Siso Kopratasa yang sememangnya terkenal dengan genre lagu-lagu berunsur puisi seperti ‘Masihkah Kau Ingat’ dan ‘Permata (Untuk Isteriku)’,” kata Harlym.

Menurut Harlym, sebagai pembuka gelanggang persembahan program kali itu memilih karya-karya berbentuk lagu puisi berirama tradisional dan kontemporari. Antaranya adalah puisi karya Dr. Ibrahim Ghaffar yang berjudul “Hari-hari Begini” melalui persembahan lagu keroncong ciptaan Wan Nin, persembahan oleh Exco PEMUISI iaitu Yuz Alang Indera dengan lagu “Malam Bulan Dipagar Bintang”, dan dendangan lagu berirama rap oleh pensyarah dari negara China daripada Universiti Pengajian Antarabangsa Sichuan, Hanna Aleesya dengan persembahan karya beliau sendiri berjudul “Dia Aku”.

Menurut Siso, lagu puisi adalah lagu yang diciptakan berdasar kepada puisi sedia ada yang telah mendapat pengiktirafan sama ada telah diterbitkan dalam bentuk buku, antologi, majalah, akhbar atau seumpamanya. Jelas beliau

Puisi yang terpilih mempunyai ciri-ciri tertentu dari segi tema, bahasa, amanat, dan emosi. Yang terpenting adalah emosi. Lagu puisi dinyanyikan dengan emosi tepat yang tidak dapat didengar dalam bentuk penulisan.

Menurut Siso, cabaran yang indah menghasilkan lagu puisi adalah disiplin dalam penciptaan lagu puisi yang tidak boleh ditokok tambah perkataannya demi menghormati penulis asalnya kecuali tipografinya iaitu visual puisi yang berupa huruf dan baris dalam karya puisi.

Apabila disoal kaedah menarik minat generasi muda meminati genre puisi, Siso berpendapat ia harus dipupuk dalam kalangan pelajar sekolah sehingga ke peringkat universiti, selain sokongan ibu bapa.

Menurut beliau, peranan universiti terutamanya melalui pusat-pusat kebudayaan di universiti wajar membuat sesuatu untuk menyumbang kepada perkembangan lagu puisi di peringkat universiti, sehingga ke tahap nasional dan antarabangsa.

Kita harus sama-sama merancang dan menggerakkan budaya penghayatan puisi dalam kalangan warga universiti melalui acara pertandingan lagu puisi dengan mengetengahkan ciri-ciri tempatan, agar dapat membina nilai jati diri yang diperlukan ke peringkat antarabangsa,

ujarnya.

Selain Siso yang menyatakan perkembangan terkini beliau dalam proses gubahan muzik untuk puisi Kepten Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob bertajuk “Aku Hanya Mahu Ke Sebarang”, Rusdi MN dari Sibu juga menampilkan persembahan istimewa melalui puisi tersebut.

“Saya memulakan usaha dengan mengumpul bahan untuk dimasukkan ke dalam video tersebut seperti gambar-gambar sendiri dan keluarga. Saya juga telah memasukkan gambar yang saya anggap nostalgik untuk diri saya,” jelas Rusdi menyatakan pengalaman dalam persediaan bahan persembahan yang juga melibatkan seisi keluarga beliau.

“Pada saya kegiatan begini sungguh bermanfaat kerana saya boleh melatih anak saya bertanggung jawab dan saling bekerjasama. Sekarang mereka sentiasa tertunggu-tunggu projek rakaman video untuk program ini, termasuklah isteri saya,” ujar Rusdi lagi.

Ketika diminta memberi reaksi terhadap persembahan Rusdi, Dr. Hashim Yaacob berkata, “saya sangat teruja kerana apa yang saya tulis dapat dihayati oleh saudara Rusdi dan dizahirkannya melalui video tersebut. Dia menunjukkan zaman kecilnya yang tidak mewah, tetapi setelah kini dia menjadi manusia berguna kepada diri, keluarga, kawan, bangsa, dan negara. Semua in kerana dia bekerja dan berusaha kuat memperbaiki dirinya”. Dr. Hashim juga turut membuat persembahan dengan membaca sajak beliau berjudul “Dunia yang Sebentar”.

Selain itu, Dr. Lim Swee Tin juga mendendangkan lagu puisi sendiri bertajuk “Selalu” yang dipetik daripada albumnya dengan judul yang sama. Sasterawan Negara wanita pertama, Dato’ Dr. Zurinah Hassan juga tampil dengan persembahan puisi berjudul “Bunga di Kolam”. Dengan semangat padu, Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim juga turut mendeklamasi puisi karya Wanrazuhar bertajuk “Perpaduan Bangsa”. Melalui puisi Latiff Mohidin berjudul “Katakan Padaku”, khalayak penonton dipukau dengan kemerduan suara Galuh Cendra Kirana, selain Siso sendiri mendendangkan lagu puisi karya Adi Syahid dan Alim Gutrah bertajuk “Detik Cinta” dan “Alif” tulisan Alim Gutrah.

Terlibat sama membuat persembahan deklamasi puisi adalah Exco PEMUISI dan juga Pensyarah Kanan, Fakulti Filem Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA, Selangor, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman melalui karya sendiri berjudul “Suara Berbisik”. Manakala Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), Aya Rohaiyah turut terbabit buat julung kalinya dengan membaca puisi sendiri bertajuk “Suara Merdeka”. Selain itu, turut menyemarakkan program itu melalui persembahan menarik “Nazam Kasih Ayah dan Ibu” adalah Adiguru CENDANA yang juga merupakan Dekan Fakulti Tari ASWARA, Zamzuriah Zahari dan pemain seruling Firlany Malik.

Sementara peserta dari Indonesia pula diwakili oleh Ahmad Jami’ul Amil, Emmolia, dan Mulyo Zubir. Dari Republik Rakyat China, program itu menampilkan tiga orang mahasiswa daripada Universiti Pengajian Antarabangsa Sichuan iaitu Wei Mengxue (Hawra), Zheng Yehua (Amsyar), dan Song Yu (Syafiq) yang masing-masing membaca puisi karya sendiri. Peserta tunggal dari Thailand daripada Universiti Walailak ialah Abdulroya Panermalae mempersembahkan karya sendiri berjudul “Pengembara Kehilangan Peta”.

Sebagai tuan rumah, program edisi Februari itu memperkenalkan enam orang mahasiswa UUM berbilang keturunan yang masing-masing menghidangkan persembahan karya sendiri bertemakan kehidupan. Meraka adalah Sitti Sulaiya binti Majhdirol, Boon Kam Yeats, Erna Nurhazwani binti Razali, Nur Nilam Izzati binti Maharuddin, Jemima Ruran Samuel, dan Yong Pei Ling.

Edisi bulan Mac program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 18.0 dijangka akan bersiaran pada 4/3/2022, Jumaat, 9.00 malam. Segmen bual bicara bakal memperlihatkan penampilan Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup Teromba Penglipur Lara, Prof. Madya Dato’ Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin dengan judul “Adat dan Budi dalam Teromba”.

 

Tonton acara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!