Oleh Nor Asiya Nasir
3 Februari 2022, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia atau PEMUISI akan menyokong segala aktiviti memerangi rasuah dengan cara PEMUISI. Sesuai dengan visi PEMUISI ‘Suara Kemanusiaan Sejagat’, PEMUISI akan memerangi rasuah dengan bait-bait puisi menyedarkan masyarakat bahawa rasuah itu perosak masyarakat, hina dan harus dibasmikan. Demikian ditegaskan Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim ketika berucap di dalam program Baca Puisi Anti Rasuah PEMUISI @KARANGKRAF di sini pada petang 30 Januari 2022 yang lalu.

Menurutnya, program anjuran PEMUISI dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf itu amat tepat pada masanya, di tengah-tengah gelodak rasuah yang kian dirasakan di Malaysia yang melibatkan para pemimpin utama dan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan dihadapkan ke Mahkamah, serta indeks rasuah negara yang menunjukkan kadar peningkatan yang semakin tinggi.

Dalam keadaan ini maka wajarnya kita bangkit ‘menyatakan tidak’ kepada rasuah. Rasuah itu umpama api dalam sekam dan kanser yang menular di dalam diri yang kelak akan merosakkan seluruh sistem kehidupan.

Dato’ Dr. Radzuan seterusnya menggesa semua rakyat menyatakan tidak kepada rasuah dan kerajaan harus bertindak tegas kepada perasuah.

“Jangan hendaknya ada penyiasatan dan pendakwaan terpilih. Kita harus tegas dalam mendukung undang-undang yang sedia ada. Tidak ada pilih kasih dalam tindakan. Jika ada, kita semestinya tentang tidak kira di Mahligai Kayangan atau di tepi jalan. Undang-undang harus ditakrifkan secara adil dan sama rata. Jangan sesekali ada emas di dulang atau rumput di jalanan” tambahnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Dato’ Mohd Nasir Hamzah yang turut berucap di majlis yang sama, mengalu-alukan kehadiran PEMUISI dan bekerjasama dalam menganjurkan program tersebut. Dato’ Mohd Nasir menyatakan:

Kami di Kumpulan Media Karangkraf sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan PEMUISI dalam menganjurkan program di sini. Saya ingin tegaskan jika permohonan dibuat semalam, semalam juga permohonan tersebut akan kami luluskan, dengan syarat program yang berfaedah dan tidak melanggar undang-undang negara.

Mengenai program tersebut, Datuk Muhammad Nasir percaya mesej yang ingin disampaikan melalui program tersebut akan dihayati oleh masyarakat sekali gus memastikan rasuah dapat diperangi.

“Gejala rasuah kini berada pada tahap membimbangkan dan memerlukan pelbagai pendekatan untuk mengelakkan rasuah terus berlaku. Jadi saya seru semua masyarakat untuk kita bersama-sama menentang rasuah demi masa depan negara yang lebih baik” ujarnya lagi.

Seramai 37 orang pemuisi telah mengambil bahagian dan mempersembahkan bacaan puisi, syair, pantun, dekon dan lagu puisi. Antara yang turut hadir membacakan puisi pada program berkenaan adalah Pengerusi BERNAMA, Datuk Ras Adiba Radzi, penasihat PEMUISI Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, Naib Canselor ke lapan Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hashim Yaacob, Pendakwah Terkenal Datuk Ustaz Kazim Elias, Penyanyi lagu-lagu puisi Siso Kopratasa, Adiwangsa Sukma, Profesor Madya Dr. Norhayati Ab Rahman, Cikgu Badrul Hisham Abd Hamid, Ijamala MN, Marzelan Perindu Seni, Ezad SS, Dani, dan Johan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia 2021, Muhamad Hakimi Rejab.

 

Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Pengerusi BERNAMA.

Pengerusi BERNAMA, Senator Datuk Ras Adiba Radzi ketika ditemui semasa program itu berlangsung melahirkan rasa gembira dengan penganjuran program yang bermanfaat seperti itu. Menurutnya, program yang menyebarkan mesej anti rasuah melalui media sosial perlu diperhebatkan oleh semua pengamal media sebagai usaha menarik minat masyarakat.

 

Penganjuran program baca puisi anti rasuah seperti ini dapat memudahkan golongan muda memahami mesej yang hendak disampaikan. Kita boleh sebarkan mesej secara sastera dalam media sosial. Sudah tentu pendekatan ini akan menarik minat anak muda sekali gus mengingatkan mereka betapa kejamnya rasuah.

katanya.

Datuk Ras Adiba Radzi seterusnya menyatakan keyakinannya bahawa mesej yang disampaikan menerusi puisi akan memberi kesan yang lebih di kalangan anak muda sekiranya dibuat dengan cara yang berbeza daripada biasa.

“Kalau kita buat dengan genre dan tema yang berlainan dan mengajak mereka untuk bersama-sama sampaikan puisi, sudah pasti akan lebih berkesan” katanya lagi.

Program yang berlangsung selama dua jam setengah itu juga mendapat kerjasama daripada Rasuah Busters dan dikendalikan dua orang pengacara PEMUISI, Ain Bunga Merah dan Zaleena E-naa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!