Oleh Karmila Azmi
7 Januari 2022, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Novelis terkemuka Filipina, Francisco Sionil Jose, meninggal dunia semalam pada usia 97 tahun di Makati Medical Center, Manila, lokasi beliau dijadualkan menjalani prosedur angioplasti pada 7 Januari.

Pemergiannya itu disahkan oleh Philippine Center of International Poets, Essayists, Novelists (PEN) dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Jose dilahirkan pada 3 Disember 1924 di Pangasinan, wilayah miskin di utara Filipina ketika negara itu dijajah Amerika. Bapanya bertugas di gereja, manakala ibunya tukang jahit. Sebagai penulis, Jose dikatakan sangat dipengaruhi Jose Rizal. Hal itu mungkin memberikan inspirasi terbesar dalam kepengarangannya apabila kebanyakan karya beliau berkisar mengenai pengalaman menyakitkan dan ketidakadilan yang dialami oleh negara-negara Asia Tenggara pada era kolonialisme.

Sehingga kematiannya, karya Jose sudah diterjemahkan ke dalam lebih 20 bahasa dan merupakan pengarang Filipina yang karyanya paling banyak diterjemahkan.

Jose, bekas wartawan Manila Times pernah bertugas di majalah Asia yang berpangkalan di Hong Kong sekitar 1960 sebelum kembali ke Filipina dan membuka kedai buku, Solidaridad. Kedai itu merupakan lokasi kelompok penulis berkumpul dan berbincang mengenai isu sosial. Malah, selepas tertubuhnya PEN International Filipina, Solidaridad dijadikan sebagai ibu pejabat.

Sepanjang kerjaya penulisannya, Jose menghasilkan sedozen novel selain beberapa koleksi cerpen dan esei.

Di negara asalnya, Jose dikenali dengan nama “Manong Frankie” atau “Old Man Frankie”. Beliau kerap dikritik kerana sikapnya yang berterus-terang, mencemuh dan mencarut. Malah pada tahun 2015, Jose dicap rasis dan fanatik selepas mengeluarkan kenyataan penduduk etnik Cina Filipina tidak boleh dipercayai jika konflik meletus dengan Beijing.

Beliau dinamakan sebagai Seniman Kebangsaan untuk Kesusasteraan pada tahun 2001, anugerah tertinggi yang diberikan oleh kerajaan Filipina kepada penulisnya. Sebelum itu pada tahun 1980, Jose memenangi Anugerah Ramon Magsaysay yang setara dengan Hadiah Nobel di rantau Asia – namun enggan menerimanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.