22 Disember 2021, 09:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nik Hazlina Nik Hussain, seorang insan dari dunia perubatan dan pengajian perubatan, mengongsi pengalaman menulis novel dan cerpen.

Sebagai doktor perubatan, kami juga insan biasa yang tidak dapat lari daripada masalah diri dan keluarga, yang diuji Allah menghidap penyakit yang tidak siapa pun ingini.

Mampukah doktor perubatan bergelar cerpenis dan novelis? Tidak masuk akal kot!’ Itulah persoalan yang bertubi-tubi mengasak minda saya. Sungguh saya tidak ada keyakinan diri pada mulanya untuk menjebakkan diri ke dalam dunia penulisan kreatif. Namun begitu, berpandukan ungkapan, “menulislah dari hati, biar sampai ke hati,” saya berpegang teguh dan yakin, penulisan karya dalam bentuk cerpen dan novel merupakan kaedah yang lebih berkesan dan berjiwa untuk menyampaikan mesej, terutamanya mesej ilmu dan maklumat perubatan kepada masyarakat, dengan mengadunkan bahasa dan sastera Melayu sebagai alat penyampaian yang berkesan.

Desakan naluri untuk menulis novel, ditambah pula dengan tujuan utama penulisan karya kreatif ini untuk menyebarluaskan maklumat dengan cara “santai tetapi sampai”, supaya mudah difahami, terutama kepada golongan masyarakat awam. Harapan saya dengan penulisan saya dalam bidang cerpen dan novel ini, maklumat perubatan dan kesihatan akan sampai kepada masyarakat bawahan secara sahih dari segi faktanya.

Hasratnya tinggi membara, namun begitu, saya pula tidak tahu bagaimana harus bermula. Walaupun saya berjaya menulis lebih daripada 30 judul buku umum dan beberapa judul buku ilmiah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan beberapa judul buku yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Sains Malaysia serta Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, kekuatan saya untuk menulis bidang kreatif tidak ada.

Bukanlah mudah untuk menulis novel. Tidak mudah memerah buah fikiran untuk merangka plot dan subplot sesebuah cerita dan menimbulkan konflik. Untuk mengatur ayat, menulis perbualan, menceritakan watak, menghidupkan suasana dalam cerita dan membuatkan emosi pembaca menaik dan menurun agar meruntun jiwa, lebih lagilah rumitnya. Hal ini penting untuk melonjakkan perasaan pembaca semasa menghayati sesebuah karya sastera, sama ada cerpen atau novel. Lantaran itu, menulis cerpen atau novel jauh lebih besar cabarannya, kerana kekuatan karya bukan semata-mata bergantung pada fakta yang kita kuasai, tetapi memerlukan kekuatan imaginasi dan fantasi untuk kreatif dalam penulisan.

Penulis perlu kreatif membawa pembaca merasai jalur cerita. Dengan itu, pembaca tidak bosan. Bermakna penulis perlu menulis seolah-olah pembaca dapat melihat, mendengar, menghayati dengan emosi sesebuah cerita yang ingin disampaikan. Di samping itu, perlu dimasukkan fakta tambahan dalam ilmu perubatan dan kesihatan sebagai menepati cerpen atau novel yang berkonsepkan tema perubatan.

Ya, amatlah sukar untuk mendapat ilham bagi menulis plot dan subplot sesebuah cerita. Bagi menghasilkan sesebuah cerpen dan novel adalah amat berbeza dan bukannya mudah. Diri ini bukanlah orang seni. Kami orang sains dan kebiasaannya menulis mengikut fakta, pemikiran kami lurus. Untuk menulis cerita fantasi amat sukar sekali.

Berpegang pada pepatah orang tua-tua, “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, usaha yang bersungguh-sungguh perlu jika kita ingin berjaya. “Kita perlu yakin Yang Maha Esa akan menganugerahkannya.” Itu juga jalan kekuatan yang saya selalu bina, berkata-kata begitu kepada diri sendiri. Saya sedar minat menulis amat penting jika ingin menjadi seorang penulis. Minat perlu digandingkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Sebenarnya, bakat menulis karya kreatif boleh diasah dan dikembangkan. Namun begitu, masa perlu dicari. Disiplin diri juga perlu diperkasakan.

Saya telah diamanahkan untuk mengetuai projek penulisan buku antara DBP dengan Universiti Sains Malaysia (USM) sejak tahun 2008. Kami telah didedahkan dengan taklimat perolehan, penulisan dan pemurnian buku umum dan ilmiah. Seterusnya pada tahun 2012, kami dibimbing pula bagi penulisan artikel. Hasil daripada bengkel-bengkel tersebut, penulis di Kampus Kesihatan berjaya menerbitkan buku umum, ilmiah dan juga menyumbangkan artikel perubatan dan kesihatan yang diterbitkan oleh majalah DBP.

Rentetan daripada kejayaan tersebut, pada akhir tahun 2012, saya telah menghubungi Datin Hajijah Jais yang ketika itu merupakan Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, menyatakan hasrat penulis kami untuk menulis karya kreatif pula. Syukur! Rupa-rupanya kami tidak bertepuk sebelah tangan. Pihak Bahagian Buku Sastera DBP menyambut hasrat kami dan telah mengadakan bengkel penulisan kreatif di Kampus Kesihatan USM. Jadi, bengkel Penulisan dan Pemurnian Karya Kreatif mula diadakan pada awal tahun 2013. Kami dibimbing oleh novelis tersohor tanah air, iaitu Puan Nisah Haron dan Cik Salina Ibrahim.

“Ibarat orang mengantuk, disorongkan bantal”, memang peluang itulah yang kami nanti-nantikan. Saya dan rakan-rakan penulis berkesempatan mengikuti bengkel tersebut. Seterusnya, kami berjaya mengadakan beberapa bengkel Penulisan dan Pemurnian Karya Kreatif di Kampus Kesihatan anjuran bersama DBP. Pada tahun 2016 dan 2018, kami dibimbing dalam bengkel Penulisan Karya Kreatif secara lebih intensif dan bersistematik sehingga kami berjaya menghasilkan antologi cerpen Isteriku 46XY.

Berbekalkan ilmu hasil bimbingan Puan Nisah dan Cik Salina sebagai asas bagi penulisan novel, kami diajar untuk “mereka” atau menggambarkan cerita dan memasukkan maklumat perubatan dalam novel dengan berpandukan pengetahuan dan pengalaman semasa merawat pesakit. Maka, kami mula menulis kisah benar tetapi kemudiannya difiksyenkan, sejajar dengan diri dan jiwa sendiri.

Semoga hasil karya ini juga menjadi iktibar kepada pembaca melalui kisah hidup masyarakat dan kekeluargaan yang menghadapi penyakit dan berjuang melawan penyakit.

Dalam hal ini, saya akan kongsikan berkenaan dua buah novel hasil tulisan saya, iaitu Cinta In Vitro dan Cinta Nan Bersemi Kembali. Cinta In Vitro terbitan DBP (2019) merungkaikan kisah sepasang suami isteri yang belum direzekikan zuriat sehingga terpaksa bergelut mencari kesempurnaan hidup berumah tangga. Mereka perlu melalui pelbagai cara rawatan infertiliti, sama ada kaedah tradisional mahupun moden dan akhirnya berhasil mendapat zuriat melalui rawatan infertiliti bayi tabung uji, atau dikenali sebagai persenyawaan in vitro (in vitro fertilisation-IVF).

Novel ini telah terpilih bagi program pembinaan bakat siswa penulisan ilmiah tahun 2019 anjuran DBP dan Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia pada Februari 2019. Pengkaji (Hadijah Johari dan Nor Shahida Mohd. Shaker dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kedah) mendapati bahawa wujudnya ketujuh-tujuh prinsip teori Takmilah dan dikategorikan sebagai hasil karya sastera Islam. Terdapat elemen tauhid, maqasid syariah, akhlak, ilmu kesihatan, dan perubatan. Banyak pengajaran dan input dakwah Islamiah yang dijadikan cerita dan alur cerita dalam novel ini.

Ilmu bantu berkenaan infertiliti, iaitu masalah infertiliti dan rawatannya, iaitu pengambilan ubat hormon, permanian beradas, persenyawaan in vitro, dan penyusuan anak angkat telah diolah berdasarkan konflik dalam karya.

Pengkaji juga berjaya menerbitkan hasil kajian mereka, “Rawatan Infertiliti Patuh Maqasid Shariah dalam Novel Cinta In Vitro Karya Nik Hazlina Nik Hussain Berdasarkan Teori Takmilah” dalam Asean Journal of Management and Business Studies 1:1 2019. Alhamdulillah, terima kasih Nor Shahida dan Hadijah Johari atas pengkajian tersebut.

Sebagai perawat, kami cuba memberikan rawatan yang terbaik kepada pesakit-pesakit kami. Apatah lagi apabila melihat di depan mata kegagalan yang dialami oleh pesakit untuk mendapat zuriat walaupun telah menjalani cubaan demi cubaan. Sebagai hamba-Nya, dugaan ini menguatkan lagi keyakinan diri kepada Allah SWT. Kami para doktor mempunyai kepakaran bidang tetapi yang menjayakan usaha dan hasrat hanyalah Yang Maha Esa. Kesemua perkara berlaku adalah atas kehendak Allah SWT. Kita perlu sentiasa menaruh sangkaan yang baik kepada-Nya.

Karya sebegini juga mempunyai nilai motivasi yang tinggi, terutamanya kepada pasangan yang mengalami masalah infertiliti atau pasangan yang telah lama mendirikan rumah tangga tetapi belum dikurniakan zuriat supaya tidak mengenal erti putus asa, tidak pernah jemu berusaha, sabar, toleransi, dan komitmen tinggi antara pasangan suami isteri.

Novel Cinta Nan Bersemi Kembali pula menyentuh masalah kewanitaan atau penyakit wanita pertengahan umur yang menghidap ketumbuhan fibroid. Jalur ceritanya tetap mempunyai pelbagai konflik dan sentuhan emosi antara setiap watak, terutamanya melibatkan perhubungan suami dan isteri yang berada di ambang usia menopaus dan andropaus. Si isteri terpaksa menjalani pembedahan pembuangan rahim (histerektomi) kerana masalah fibroid yang mengakibatkannya mengalami komplikasi pendarahan yang teruk (menoragia), malah hampir meragut nyawanya kerana rawatan secara ubat-ubatan sudah tidak berkesan kepadanya. Pemaparan konflik pasangan suami isteri dengan asbab penyakit menyebabkan hubungan suami isteri diuji dengan kegoyahan dan kesetiaan.

Karya ini terpilih bagi Kajian Unsur Sains Moden dalam Sastera bertajuk “Alat Sains Perubatan, Kaedah Rawatan, dan Jenis Ubat dalam Cinta Nan Bersemi Kembali karya Nik Hazlina Nik Hussain” oleh Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP. Karya ini juga akan dikaji dari sudut lain, iaitu kajian sastera merentas disiplin ilmu. Kertas kerjanya pula berjudul, “Aplikasi Konsep Dharuriyyat, Hajiyyat dan Tahsiniyyat dalam Rawatan Fibroid dan Menoragia”. Sebagai penulis, perkara ini amat menggembirakan!

Saya kongsikan pula secara ringkas perihal antologi cerpen Isteriku 46XY. Karya ini ditulis oleh doktor pakar perubatan, pensyarah, juruteknologi makmal perubatan, dan seorang guru bahasa. Antologi cerpen Isteriku 46XY yang bertemakan perubatan dan kesihatan memuatkan 23 cerpen, ditulis oleh 17 orang penulis yang membawa pelbagai persoalan dan kisah hidup masyarakat. Alhamdulillah, antologi ini telah dicetak ulang pada Februari 2020 kerana sambutan yang amat memberangsangkan!

Sebagai doktor perubatan, kami juga insan biasa yang tidak dapat lari daripada masalah diri dan keluarga, yang diuji Allah menghidap penyakit yang tidak siapa pun ingini. Sebagaimana kami perlu kuat semangat untuk memberikan nasihat kepada pesakit, begitu jualah kami perlu lebih bersemangat untuk memotivasikan diri dan keluarga kami sendiri, apabila kami yang merupakan perawat pula ditimpa musibah menghidap sesuatu penyakit.

Hasil karya kami membawa pelbagai persoalan dan kisah hidup masyarakat yang kami garapkan daripada pengalaman merawat pesakit, bahkan ada juga hasil karya ini berdasarkan kisah benar kami sendiri.

Mesej utama karya adalah untuk menyampaikan maklumat, ilmu pengetahuan dan fakta berkaitan perubatan, kesihatan dan pergigian dengan betul dan tepat. Karya-karya yang berbentuk novel dan cerpen yang ditulis oleh doktor-doktor pakar merupakan karya yang dihasilkan oleh mereka yang ahli dalam bidang masing-masing. Oleh sebab itu, ilmu serta fakta perubatan tidak diragui. Hasil karya juga, telah disemak akan kesahihan fakta. Maka, hasil karya perubatan yang diterbitkan akan sentiasa mengangkat isu semasa, yang semestinya istimewa, berkelainan, sahih, relevan, dan tahan uji.

Kami juga berharap agar pembaca yang terdiri daripada pesakit, keluarga pesakit, perawat yakni doktor termasuk bakal doktor, dan masyarakat umum, dapat mengetahui kaedah dan cara menangani kes pesakit, iaitu cara mencegah, mengawal, merawat, memaklumkan prognosis atau ramalan tentang penyembuhan sesuatu penyakit dan proses pemulihan.

Semoga hasil karya ini juga menjadi iktibar kepada pembaca melalui kisah hidup masyarakat dan kekeluargaan yang menghadapi penyakit dan berjuang melawan penyakit. Justeru, dapat menjadi panduan, semangat, motivasi, dan inspirasi bagi membolehkan pesakit meneruskan kehidupan ini secara positif dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Daripada kisah tersebut, pesakit dapat mengadaptasikan kehidupan baharu, setelah berkongsi pengalaman membaca karya kreatif hasil nukilan doktor perubatan, yang kebanyakannya berdasarkan kisah benar, sama ada sebagai perawat pesakit atau sebagai pesakit.

Semoga segala hasil penulisan yang saya dan rakan-rakan penulis di Kampus Kesihatan USM usahakan ini dapat dijadikan sedekah ilmu yang berpanjangan hendaknya. Itulah niat utama kami!

Rupa-rupanya, menulis karya kreatif ini memberikan lebih kepuasan yang tidak dapat diungkapkan. Semoga hasil karya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai. Adalah menjadi harapan saya juga agar cerpen dan novel bertemakan perubatan, kesihatan dan pergigian ini diadaptasikan dalam bentuk drama atau filem pula. Hasil karya ini mempunyai nilai murni yang perlu dibudayakan oleh orang ramai.

Sememangnya, kejayaan ahli perubatan Kampus Kesihatan USM menghasilkan antologi cerpen Isteriku 46XY telah menaikkan semangat dan menguja rakan-rakan penulis pemula daripada bidang perubatan, kesihatan dan juga pergigian untuk turut serta dalam penulisan karya kreatif. Alhamdulillah dengan izin-Nya, tiga buah lagi antologi cerpen yang berjudul Suamiku 47XXY, Konspirasi Covid Rasukan SARS-CoV-2 dan Mustajabnya Tahajud Cinta berjaya dihasilkan.

Ternyata projek ini mendapat sambutan yang baik daripada pihak kakitangan USM, khususnya golongan profesional.

Sebagai kesimpulan, dapat saya rumuskan bahawa menulis cerpen dan novel lebih menyeronokkan. Penulis dapat “mereka” dan membawa alur cerita yang ingin disampaikan mengikut naluri sendiri. Bagi saya, saya lebih suka mengakhiri sesebuah cerita dengan peristiwa yang menggembirakan. Pada pendapat saya, penutup yang sedih membuatkan emosi pembaca merudum. Namun begitu, ada juga penulis menamatkan cerita dengan kisah yang tergantung kerana bercadang untuk meneruskan penulisan bagi judul seterusnya.

Semoga segala hasil penulisan yang saya dan rakan-rakan penulis di Kampus Kesihatan USM usahakan ini dapat dijadikan sedekah ilmu yang berpanjangan hendaknya. Itulah niat utama kami! Berbekalkan minat dan usaha yang gigih, kami “mencari dan mencuri” masa kami yang tidak pernah berbaki untuk mencungkil bakat, sememangnya mempunyai minat dan bakat dalam bidang penulisan yang bukan hanya semestinya dikuasai oleh mereka yang berada dalam bidang bahasa dan kesusasteraan sahaja. Justeru, jadikanlah penulisan sebagai sebahagian daripada gaya hidup. Tulislah yang baik-baik, semoga yang baik-baik akan kembali kepada kita jua. Oleh itu, DBP juga dalam hal ini, telah berjaya melaksanakan peranannya dan matlamatnya “membina bakat penulis”.

Beli novel Cinta In Vitro dan Cinta Nan Bersemi Kembali.

_________________________

Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan. Beliau bertugas di Universiti Sains Malaysia (USM) sejak tahun 1990. Beliau bukan sahaja seorang pensyarah perubatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan USM, malah beliau juga Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi. Beliau memegang jawatan sebagai Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita di PPSP sejak awal tahun 2010.

Secara peribadinya, Nik Hazlina telah menerbitkan lebih daripada 30 buah buku umum berkaitan kesihatan wanita dan lelaki, dua buah buku ilmiah dan novel bertemakan perubatan dan kesihatan yang berjudul Memori Cinta Medik (bersama Azidah Abdul Kadir), Mengejar Zuriat (bersama Samhani Ismail), Cinta In Vitro dan Cinta Nan Bersemi Kembali. Atas sumbangan besar dalam penerbitan buku, beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2017 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan Tokoh Pendidikan Wanita Kelantan 2019, iaitu Tokoh Sayyidatina Aisyah Abu Bakar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.