19 November 2021, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan Sastera telah menganjurkan Program Syarahan Keris Mas 2021 pada 10 November 2021. Syarahan Keris Mas ini diadakan telah disiarkan secara langsung di media sosial DBP.

Syarahan Keris Mas yang julung kali diadakan ini bersifat tahunan bagi memperkatakan hal kesusasteraan kebangsaan atau kesusasteraan dunia dari sudut pandangan dan ilmu tokoh tersebut sama ada dalam bidang kejuruteraan, sains, perubatan, matematik dan bidang-bidang lain. Tokoh atau individu yang menyampaikan syarahan dalam program syarahan ini terdiri daripada mereka yang berlatarbelakangkan pelbagai ilmu pendidikan bagi menunjukkan bahawa ilmu kesusasteraan itu mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan turut mendapat tempat dalam kalangan profesional pelbagai bidang.

Program ini mengabadikan nama Penerima Anugerah Sastera Negara yang pertama, iaitu Kamaludin Mohamad atau lebih dikenali sebagai Keris Mas bagi menghargai dan mengingati perjuangan sepanjang hayat SN Keris Mas dalam bidang kesusasteraan dan bahasa.

Pemilihan nama Keris Mas sebagai nama syarahan ini juga berdasarkan ketokohan dan perjuangan berterusan Sasterawan Negara Keris Mas dalam mengangkat harkat Sastera Kebangsaan di Malaysia ke arah yang dibanggakan sehingga beliau digelar pembaharu kesusasteraan Melayu Moden dalam Ucapan Pemidato Umum Penganugerahan Sasterawan Negara di Dewan Bankuasi, Bangunan Parlimen Malaysia pada 26 April 1981.

Majlis Syarahan Keris Mas yang pertama ini dikendalikan oleh Dr. Shamsudin Othman sebagai moderator. Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta bin Shaharom telah dilantik untuk menjadi pewacana yang pertama dalam Syarahan Keris Mas ini. Ketokohan beliau sebagai seorang ahli perubatan dan juga individu yang mempunyai kebolehan dalam bidang persuratan mewajarkan beliau dipilih sebagai pewacana yang pertama untuk program ini.

Dalam Syarahan tersebut beliau telah menyampaikan kertas kajiannya yang berjudul “Sastera Tanpa Sains Tiada Kemajuan, Sains Tanpa Sastera Tiada Keanggunan”.

Kajian beliau membincangkan unsur sains dalam sastera, serta hubungan sains dengan sastera dalam menyentuh istilah, bahasa, falsafah, dan bangsa. Beliau turut membincangkan beberapa persoalan yang menyentuh kedua-dua bidang ilmu ini melalui topik yang telah disusun, iaitu prasangka bahasa; rasisme di Malaysia; altruisme rakyat Malaysia; jurnal dalam bahasa Melayu; falsafah dan sains; kata bestari; nikmat berkenalan dan kesihatan; bahasa rahmat Tuhan; sastera dan sains; empat ranah hayat; ilmu sains dalam al-Quran; kefahaman tentang akal, qalbu dan jiwa insan; perubatan tradisional dan sastera Melayu; bahasa saintifik dan bahasa sastera; sulaman unsur sains dalam tapestri sastera; alegori keris sebagai jalinan sastera dengan sains; dan sastera tanpa sains dan sains tanpa sastera.

Dalam syarahannya, beliau turut mengiktiraf dan menyanjung keupayaan para sasterawan dalam usaha mereka untuk berkarya. Menurut beliau, tanpa sasterawan, banyak pengalaman hayat yang canggih dan rumit tidak dapat dilakarkan dengan cemerlang sehingga dapat menjadi iktibar. Pewacana juga memberikan pandangan bahawa orang bahasa dan sastera perlu menguasai pelbagai bidang sains asas supaya kefahaman serta karyanya lebih “kaya”.

Begitu juga sebaliknya, orang sains yang tidak dapat menguasai bahasa serta sastera tidak dapat maju dengan keanggunan bahasa, sastera dan seni. Pandangan beliau ini menunjukkan bahawa ada hubungan timbal balik antara sains dengan sastera. Kerjasama antara kelompok sastera dengan kumpulan sains akan dapat menghasilkan karya sastera-sains yang kaya untuk kemajuan serta memakmurkan sikap keinsanan manusia.

Penganjur, iaitu Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan menyasarkan bahawa objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memperkasakan kesusasteraan kebangsaan melalui weltanschauung ataupun pandangan menyeluruh, terutama bagi individu atau tokoh dalam bidang lain terhadap kesusasteraan Malaysia. Di samping itu juga, hasil kajian melalui syarahan ini turut menjadi korpus sastera yang boleh dijadikan kajian lanjutan atau bahan rujukan oleh sasterawan, penulis, ahli akademik, pendidik, mahasiswa, pelajar, dan aktivis sastera.

Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, iaitu Encik Saifullizan Yahaya berkata bahawa program yang dirangka ini juga bertujuan untuk memperbanyak wacana ilmiah dalam bidang kesusasteraan supaya masyarakat sentiasa mendapat ilmu dan maklumat tentang kesusasteraan tanah air. Perkara ini terdapat dalam Pelan Strategik DBP 2021-2025 di bawah Teras Strategik Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu.

Bahagian Penyelidikan Sastera akan menampilkan tokoh-tokoh lain yang berwibawa dalam bidang sains, teknologi, perubatan, dan pelbagai bidang lain lagi yang akan menjadi pewacana pada siri Syarahan Keris Mas yang akan datang. Matlamat Bahagian Penyelidikan Sastera adalah untuk membuktikan bahawa sastera bukan dimiliki oleh orang bahasa dan sastera sahaja, tetapi juga dimiliki oleh semua orang, tanpa mengira bidang yang diceburinya.

Tonton program penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.