Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPemergian Allahyarham Kemala amat mengejutkan banyak pihak termasuklah Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan yang begitu akrab dengan beliau sewaktu mereka bersama-sama bertugas sebagai pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Walaupun saya dapat berita bahawa kesihatannya tidak berapa memuaskan, namun tidak menyangka keadaannya begitu serius yang membawa pada pemergiannya untuk selama-lamanya.
Demikian luahan hati Dato’ Dr. Anwar Ridhwan sewaktu diwawancara oleh sidang editor Bahagian Majalah DBP baru-baru ini.
Menurut Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, selain menghasilkan karya terutamanya puisi berunsur Islam, Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala banyak memberikan sumbangan dalam penerbitan majalah dan melahirkan para penyair tanah air.
Dato’ Ahmad Kamal lebih pada penerbitan majalah dan banyak isu majalah yang menarik yang telah beliau angkat, begitu juga dengan membimbing penulis-penulis muda khususnya dalam bidang puisi. Saya kira ini jasa Dato’ Ahmad Kamal yang sangat besar, iaitu sebagai pembimbing, sebagai mentor kepada penyair-penyair muda yang sekarang ini telah menjadi penyair terkenal.
Yang pasti, setelah menghembuskan nafasnya yang terakhir, bermakna tinta pena Kemala juga terhenti dalam memberikan sumbangan karya kepada dunia sastera. Namun demikian, hasil karya nukilan Kemala pastinya akan terus “hidup” untuk tatapan generasi hari ini dan akan datang serta akan terus bersemarak dalam dunia kesusasteraan tanah air, sepertimana semaraknya semangat Kemala dalam berkarya semasa hayatnya.
Semoga Allahyarham Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang soleh.