Oleh Awang Sariyan
28 Oktober 2021, 11:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

(Penghargaan kepada SN Kemala)

Benar kandil itu telah padam
tiada menyinar lagi
tiada memberikan suluh lagi
tiada lagi memberikan cahaya
pada gelap yang pekat
demikian suratan hakikat
kerana tabii makhluk ada hujung hayatnya
Kullu nafsin zaiqatul maut

Lamun ketika kandil itu dahulu bersinar
banyak sudut yang diteranginya
sudut redaksi
Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, jurnal Perisa
sudut susastera
lewat puisi santapan rohani
puisi kemanusiaan dan perjuangan watan
dan buah tangan karya genre lain
sudut pimpinan badan persuratan
selaku nakhoda PENA
Persatuan Sastera Bandingan
dan teraju NUMERA
yang sinar kandilnya melimpah
di alam Melayu raya
mempersatukan sasterawan
di luar batas geopolitik buatan
dan lewat Pertemuan Puisi Dunia Kuala Lumpur
serta bakti lain
yang tak terungkapkan
telah dipenuhinya
amanah sebagai kandil gemerlap
Semoga pemilik hakikinya
menghitung segala baktinya
sebagai amal kebajikan

Awang Sariyan Kembara Bahasa
28 Oktober 2021

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.