21 Oktober 2021, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Miri – Pada 21 Oktober 2021, Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPSAR) mengadakan Kolokium 40 Tahun PUTERA dan Majlis Pelancaran Buku Penulis PUTERA.

Kolokium ini berlangsung di Hotel Mega, Miri dan dirasmikan oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. Turut hadir sebagai tetamu undangan ialah YBrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBPSAR.

Antara pengisian acara ialah pembentangan oleh ahli panel yang terdiri daripada Tuan Haji Jeli Bohari Biha, Encik William Chan, Encik Zainal Abidin Suhaili, Encik Abang Median Abang Said dan Encik Poul Nanggang.

Dalam majlis ini turut diadakan majlis pelancaran 10 buah buku ahli PUTERA, iaitu:

  1. Wayang Sang Petualang, Antologi Sajak 40 Tahun PUTERA;
  2. Delusi Cotard di Daerah Susastera, Antologi Cerpen 40 Tahun PUTERA;
  3. Cinta Si Pengukir Kata, Kumpulan Sajak Abizai;
  4. Tiba-tiba Ayahnya Bertukar Menjadi Ular Sawa, Kumpulan Cerpen Abang Median Abang Said;
  5. Lian, Novel Abang Median Abang Said;
  6. Warna Sebenar Tak Dapat Disukat, Kumpulan Sajak Basri Abdullah;
  7. Kisah Sarawak, Kumpulan Pantun Maliah Adenan;
  8. Luka Merpati, Kumpulan Sajak Sriwati Labot;
  9. Fajar Bersinar di Victoria Mesa, Novel Haji Haziq Ahmad Zaki; dan
  10. Fantasia Wangsa Istimewa, Kumpulan Cerpen, Haji Haziq Ahmad Zaki.
Wacana Pemikiran Sasterawan Negeri Sarawak 2021 di Hotel Imperial, Miri.

Manakala sehari sebelumnya, iaitu pada 20 Oktober 2021 bersempena dengan Program Sua Bitara, DBPSAR turut menganjurkan Wacana Pemikiran Sasterawan Negeri Sarawak 2021 di Hotel Imperial, Miri. Sepanjang penganjurannya sejak tahun 1994, negeri Sarawak telah melahirkan lima orang Sasterawan Negeri Sarawak (SNS). Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri Sarawak telah menganugerahkan Encik Zainal Abidin Suhaili sebagai Sasterawan Negeri Sarawak yang ke-5 dalam Majlis Penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sarawak ke-10. Oleh itu, rakaman dan catatan sebegini perlu diabadikan dalam konteks kewajaran beliau yang berada pada kedudukan tersebut sebagai satu kajian, rujukan dan pembuktian kewibawaannya sebagai Sasterawan Negeri Sarawak ke-5.

Wacana dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBPSAR dalam majlis yang dirasmikan oleh Yang Berusaha Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka pada sebelah paginya, dan disusuli dengan pelancaran dua  buah buku hasil nukilan Abizai, iaitu Kumpulan Sajak “Memandang Cangkerang” dan Kumpulan Esei Kritikan “Alam Hakiki dalam Puisi Penyair Sarawak”.

Selepas upacara perasmian, majlis diteruskan dengan ucap utama yang disampaikan oleh Encik Zainal Abidin Suhaili. Kemudian, disusuli dengan sesi pembentangan kertas dasar oleh Dr. Jeniri Amir dan Dr. Hazami Jahari selaku panel penilai Anugerah Sastera Negeri Sarawak ke-10.

Manakala pada sebelah petangnya diteruskan dengan pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh Encik Abang Median Abang Said, Encik Poul Nanggang dan Encik Dilah Tuah. Majlis turut dihadiri oleh 100 orang peserta wacana yang terdiri daripada para karyawan, ahli persatuan penulis, kakitangan jabatan kerajaan dan swasta.

Kunjungan hormat Pengarah DBPSAR bertemu Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak, Miri.

Pada pukul 11.00 pagi turut diadakan kunjungan hormat Pengarah DBPSAR bertemu Encik Razak Haji Rambili, Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak Miri. Antara agenda yang dibincangkan dalam kunjungan hormat kali ini ialah kerjasama dalam penulisan, penyelidikan dan penerbitan bahan-bahan yang berkaitan dengan kearifan tempatan negeri Sarawak khususnya di Miri.

Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dan Pustaka Negeri Sarawak Miri juga bakal menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha memperkasakan kearifan tempatan negeri Sarawak di Miri.

Pada pukul 2.00 petang pula, turut berlangsung Majlis Penyerahan Piala Pusingan Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Negeri Sarawak dan Peringkat Kebangsaan 2021 kepada Sekolah Menengah Jalan Riam selaku Johan peringkat negeri Sarawak dan Kebangsaan. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi. Piala pusingan Forum Peringkat Negeri Sarawak telah disampaikan oleh YBrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai. Manakala Piala Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Haji Abang Padeli Abang Muhi. Majlis ini turut dihadiri oleh Dr. Pauline Ho, Ketua Pegawai Ekskutif, Encik Richard Liu, Penolong Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Hii Nai Ching, Pengetua Sekolah Menengah Jalan Riam, Miri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.