20 September 2021, 13:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Roslan Madun ialah nama yang cukup dikenali dalam persada seni lagu rakyat Malaysia. Lebih 40 tahun beliau berjuang, bergulat dan menggenggam kukuh kesenian tradisi ini tanpa rasa jemu. Roslan tetap setia membawa genre yang tidak popular ini meskipun melalui fasa gembira, sunyi, kelam dan adakalanya disinari cahaya terang. Beliau tidak pernah berasa malu mempersembahkan dan memperdengarkan lagu-lagu rakyat kepada sesiapa sahaja kerana menyedari nilai warisan bangsa yang amat wajar dilestarikan.

Kegiatan seni budaya dan sastera ialah sumber ekonomi kendiri. Meskipun Roslan berlakon, mengarah teater, mengarah drama televisyen, dan adakalanya menjadi pengacara bagi rancangan tertentu, namun beliau tidak meninggalkan lagu rakyat. Inilah kecintaan murninya terhadap seni tradisi warisan bangsa. Beliau tetap setia menulis meskipun sudah berhenti daripada bidang kewartawanan, kerana sastera ialah kecintaan yang terpupuk lebih awal, iaitu sejak zaman persekolahannya.

Kata Roslan Madun, “Saya berpegang pada tiga prinsip, iaitu seni sebagai jambatan silaturahim, seni ialah zat yang menyuburkan jiwa manusiawi, dan seni ialah anugerah yang tinggi nilainya, kurniaan Allah SWT.

“Saya terus mengembara dalam bidang seni dengan meneroka pelbagai cabang lagi. Di samping lagu rakyat, saya juga menyantuni puisi-puisi tradisional lain, terutamanya irama syair Melayu. Saya turut melibatkan generasi muda bersama, yang meliputi negara-negara serumpun juga.”

Pada awal pembabitannya dalam lagu rakyat, Roslan Madun bergerak tanpa curiga bahkan kuat bersemangat. Terdapat juga insan yang menyuntik semangat perjuangan kepadanya, antaranya termasuk Allahyarham Tan Sri S.M. Salim yang pernah sepentas dengan beliau. Pesanan Allahyarham Tan Sri S.M. Salim tersemat kukuh di hatinya dan masih kekal diingati hingga kini.

“Beliau berpesan agar saya terus melestarikan lagu rakyat, kerana katanya, tidak ramai yang mahu bangkit dengan genre yang kurang mendapat perhatian ini,” ujarnya.

Pengalaman bergulat selama kurang lebih 40 tahun menyaksikan betapa lagu-lagu rakyat telah diterima baik, meskipun tidak sepopular lagu kontemporari. Jiwa yang tepu dengan irama tradisional menarik langkah beliau untuk mendekati irama syair Melayu di Nusantara, yang bermula sekitar tahun 2005. Selepas itu, dijadikan lagu-lagu rakyat sebagai rakan karibnya pula. Kedua-dua genre ini – syair dan lagu rakyat – begitu serasi digandingkan bersama, malah mampu menjadi irama malar segar yang dapat menyemarakkan Alam Melayu.

“Syair pada masa ini agak menonjol, namun saya tidak pernah menyisihkan lagu rakyat yang terlebih dahulu menyerap dalam jiwa. Perkembangan ini telah memberi inspirasi kepada banyak komuniti yang diterajui oleh anak-anak muda di Indonesia, Brunei, Singapura dan di Malaysia.

“Selain radio Malaysia, syair dan lagu rakyat berkumandang di Radio Republik Indonesia (RRI) di Sumatera terutamanya. Malah, ada beberapa lagu rakyat daripada album saya telah dirakamkan semula oleh penyanyi di Dumai, Riau,” jelas Roslan.

Kata Roslan lagi, Festival dan pertandingan yang memberi keutamaan pada lagu rakyat dan syair membuktikan bidang ini tidak lagi terpinggir. Malah, irama tradisi ini menjadi sangat indah jika diberikan pendekatan yang lebih kreatif. Buktinya, pertandingan dendangan syair sudah meluas pada peringkat sekolah, institut pendidikan guru, universiti dan juga secara umum. Pertandingan peringkat antarabangsa pula sudah memasuki tahun keempat pada tahun 2021. Hal ini menunjukkan kesenian tradisi tetap mempunyai masa depan.

Sebagai pengamal dan penyelidik, Roslan tidak pernah lelah memperjuangkan genre ini dan sentiasa bersifat versatil dengan apa-apa jua pendekatan dalam persembahannya. Penggunaan alat muzik moden misalnya, atau apa-apa jua elemen yang dirasakan sesuai dengan kemajuan teknologi dimanfaatkan sebaiknya. Bahkan, inilah tirai inovasi cetusan beliau dalam menyantuni pelbagai pendekatan secara relevan dengan situasi yang ditanggapi.

Lagu rakyat bukan sekadar sebuah nyanyian, tetapi mengandungi ciri-ciri kekuatan rohaniah yang mendekati kebenaran hakiki dalam liriknya.

Roslan Madun ialah penerima anugerah Diploma Laureate of the II Degree dalam The International Contest of Folk Song Artists Voices of Ancient Cities, di Ryazan, Rusia pada bulan Ogos lalu. Beliau turut diundang sebagai wakil Malaysia ke Konsert Gala Ryazan Regional Philharmonic Hall pada 25 September ini. Namun untuk memenuhi undangan tersebut, hal itu tetap bergantung pada peraturan kesihatan (SOP), kerana segala yang dirancang boleh sahaja berubah pada saat akhir, memandangkan dunia masih berada dalam suasana pandemik.

“Saya mula merakamkan lagu rakyat ke dalam format cakera padat pada tahun 2002, diikuti dengan album-album lain, dan sehingga kini telah terbit 15 buah album. Sebelum itu, saya membuat persembahan dengan menepuk rebana secara tradisi. Lagu rakyat dipersembahkan di Singapura seawal tahun 1982 dalam program pertukaran belia Malaysia, Singapura.

“Kemudian pada tahun 1989 saya membuat persembahan ketika menjadi peserta The International Youth Village di Fukuoka, Jepun. Seterusnya di Riau, Indonesia pada tahun 1991, diikuti pada tahun 1993, saya membuat persembahan di Teajon dan Seoul, Korea Selatan.

“Setelah rakaman album, lagu rakyat semakin mendapat tempat di radio, seperti Radio Klasik FM dan THR Gegar Pantai Timur. Lagu Lemak Manis masih dimainkan di radio, sudah hampir 20 tahun. Lagu Seloka Pak Kaduk pernah menduduki tempat keempat dalam Carta THR Gegar dan bertahan dalam carta itu hampir satu tahun,” jelasnya.

Roslan telah berusaha memanfaatkan teknologi instrumen moden dan ternyata, lagu rakyat mula digemari oleh golongan muda. Pembabitan mereka begitu ketara, terutamanya dalam lagu yang lebih santai.

Lagu Lemak Manis sangat digemari dan dinyanyikan oleh banyak golongan. Bahkan, menjadi fenomena kepada para buskers membuat persembahan di tempat-tempat terbuka. Sambutan daripada orang ramai juga amat memberangsangkan. Ternyata lagu ini telah memancing jiwa rakyat dan berjaya merakyatkan hampir kesemua lapisan masyarakat sehingga kanak-kanak juga, hanya kerana Lemak Manis sering dinyanyikan di majlis-majlis tertentu.

Inilah usaha berterusan yang dilakukan oleh Roslan Madun untuk memasyarakatkan irama tradisi, yang secara tidak langsung telah memupuk minat dan kecintaan kepada generasi muda terhadap dunia sastera. Hal ini demikian kerana lirik-lirik lagu rakyat amat dipengaruhi oleh karya-karya sastera. Penggunaan pantun terutamanya, begitu ketara dan memberi kesan emosi yang meresap ke dalam jiwa masyarakat dengan irama, lirik dan nilai sasteranya yang indah lagi segar.

Penyebaran lagu rakyat dalam media sosial seperti Facebook, YouTube, Instagram, dan Tik Tok telah merancakkan perkembangan industri lagu rakyat. Kini, lagu-lagu ini dapat dinikmati oleh semua penonton dan peminat tempatan, malah boleh diakses dengan begitu mudah oleh negara jiran dan serata dunia.

“Saya sendiri tidak menduga bahawa lagu rakyat saya mendapat perhatian daripada pihak penganjur The International Contest of Folk Song Artists Voices of Ancient Cities dari Rusia. Seorang kawan di Moscow, Dr. Victor A. Pogadaev telah mencadangkan nama saya untuk dicalonkan mewakili Malaysia ke pertandingan tersebut.

“Melalui undangan rasmi dari kedutaan Rusia di Kuala Lumpur, saya menyahut cabaran tersebut. Pertandingan itu sempena sidang keempat, International Forum of Ancient Cities, UNESCO,” jelas beliau.

Kata beliau lagi, Diploma Laureate of the II Degree yang dianugerahkan kepadanya sudah tentu memberikan inspirasi kepadanya agar lebih tekun mengangkat lagu-lagu rakyat ke peringkat antarabangsa. Besar harapan beliau agar kemenangan ini dapat dikongsi bersama, terutama kepada anak-anak didik dan pengamal lagu-lagu tradisional yang lain. Semoga menjadi pemugar semangat generasi muda yang ingin bergiat dalam bidang ini, sekali gus memberikan satu apresiasi kepada pencinta sastera.

Beliau juga menegaskan bahawa kemenangan yang diperoleh bukanlah satu noktah terhadap perjuangannya, sebaliknya menjadi perjuangan identiti bangsa yang sentiasa mekar dan perlu diusahakan. Hal ini demikian kerana dalam lagu rakyat, ada pengukuhan sejarah, tamsil ibarat dan yang lebih penting, ada nilai agama yang mendasari hidup beliau secara peribadi. Beliau tetap bertekad akan meneruskan perjuangannya selagi mampu kerana beliau percaya, lagu-lagu rakyat dapat membentuk jati diri dan pekerti mulia generasinya.

Jelas Roslan lagi, “Saya sedar betapa sukarnya lagu rakyat untuk bertapak kukuh, terutama di jiwa generasi muda. Namun ia ada kaitan dengan roh lagu rakyat itu sendiri yang sangat complicated dan sukar dihayati.

“Lagu rakyat bukan sekadar sebuah nyanyian, tetapi mengandungi ciri-ciri kekuatan rohaniah yang mendekati kebenaran hakiki dalam liriknya. Gagasan dalam lirik lagu rakyat sebenarnya sangat serius untuk membina modal insan dan tamadun bangsa.

“Saya tidak menafikan ada lagu rakyat bersifat romantik dan santai, seperti lagu Lemak Manis. Mungkin penggunaan pantun kasih sayang dalam lagu itu yang menjadikannya bersifat demikian. Sewaktu awal-awal saya mempersembahkan lagu itu, saya telah menggunakan pelbagai tema pantun. Hanya dalam rakaman album, saya memetik tiga buah pantun karya Allahyarham T. Alias Taib yang sangat indah itu. Sehingga sekarang, jika saya menyanyikan lagu itu di depan khalayak, saya akan menukarkannya dengan pantun-pantun yang sesuai dengan audiens.”

“Lagu-lagu rakyat Melayu mempunyai dinamika berunsur sastera yang sangat ketara. Contohnya, lagu Indong-indong yang bercerita tentang kehebatan keris. Jika ditikam dan kesan jejaknya di tanah, maka orang itu akan mati juga walaupun sudah tiada di tempat itu. Setitik darah jatuh ke darat maka setahun padi tak menjadi, jika setitik darah jatuh ke laut, setahun ikan tak bermain. Metafora yang bersifat personifikasi dalam lirik lagu itu menjamin kelangsungan sastera rakyat yang sememangnya penuh dengan nilai artistiknya,” tambah beliau.

Kata beliau lagi, lagu rakyat juga sangat berkait dengan emosi. Tidak semua lagu rakyat boleh didendangkan secara santai. Misalnya, lagu Wanangseri yang mengisahkan sejarah seorang puteri Pahang bernama Wanangseri, yang berlindung diri di Jeram Ampai kerana diburu oleh hulubalang Melaka untuk dikahwinkan dengan Raja Melaka. Lagu tersebut akan menjadi hambar dan tawar jika dinyanyikan tanpa menyelami perasaan sang puteri.

Ada juga lagu bersifat spiritual seperti Ulik Mayang, namun tetap indah dan lunak didengari kerana nilai budaya dan elemen hiburan yang diserapkan ke dalamnya, sekali gus mengangkat nilai sastera dan sosiobudaya masyarakat yang saling melengkapi dan mewarnai seni warisan Melayu.

“Saya tetap berasa bertuah kerana dari 53 buah negara yang menyertai pertandingan ini, Malaysia telah mendapat second degree. Hal ini memberi inspirasi kepada saya untuk terus melestarikan lagu rakyat terutamanya di Pahang.

“Lagu rakyat ada komunitinya yang tersendiri. Mereka sentiasa menantikan lagu-lagu baru untuk dinikmati. Saya tidak boleh menghampakan mereka yang selama ini menyokong saya, sekali gus menyokong perkembangan lagu rakyat sehingga keberadaannya sekarang,” ujar Roslan mengakhiri bicaranya.

Ikuti laman rasmi Roslan Madun, Raja Syair Nusantara di sini.

_________________________

Sidang editorial Dewan Sastera mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan Roslan Madun mengharumkan nama Malaysia dengan pengurniaan Diploma Laureate of the II Degree dari Rusia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.