14 September 2021, 08:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penulis pemula sering kali menghadapi masalah untuk menyusun dan mengolah idea daripada kisah yang mahu diangkat dalam penulisannya. Kesukaran ini berlaku disebabkan oleh kurangnya pengetahuan mengenal pasti bentuk penulisan yang mahu diterokainya. Kerja menulis mempunyai aturan dan tertibnya yang tertentu, tertakluk pada jenis penulisan. Apabila penulis kurang memahami jenis-jenis penulisan, penulisan akan jadi kurang berkesan dan hal ini amat merugikan.

Menyedari hakikat ini, siaran Secangkir Kopi Jam Sepuluh musim keempat dalam episod empat berusaha untuk memberikan pencerahan. Dengan judul “Mahu Tulis Kisah Benar atau Cerpen?”, perbincangan dimulakan dengan sesi perkongsian pengalaman penulis, Azian Mohamed Isa yang terlibat dalam beberapa projek penulisan antologi kisah benar yang dibimbing oleh penulis buku motivasi laris, Bonda Nor.

“Setiap projek penulisan mempunyai tema tersendiri untuk menjadi pedoman dan panduan kepada kumpulan penulis yang terlibat. Kami dibimbing untuk mengolah kisah berdasarkan tema dan mesej yang mahu disampaikan,” jelas Azian.

Hal ini disokong oleh Rozninah Abd. Azib, mantan editor Dewan Sastera yang turut mengikuti bengkel kisah hidup bimbingan Sri Diah, penulis terkenal tanah air. Menerusi tema mengenang jasa ayah dan ibu, penulis dapat memilih sebahagian kisah hidup yang merakamkan kenangan tersebut dan dituliskan kisahnya mengikut aturan dan tertib yang betul.

Menurut Rozninah, terdapat tujuh panduan menulis kisah benar. Pertama, penulis sudah bersedia untuk berkongsi kisahnya. Hal ini amat penting kerana kisah benar penulis bukan lagi milik peribadi, malah sudah menjadi tatapan umum. Penulis sudah mengetepikan perasaan malu, sedih dan sebal apabila mahu berkongsi kisah benarnya kepada khalayak.

Penulis juga tidak dipengaruhi oleh anasir kurang baik, seperti mahu membalas dendam atau memalukan watak yang diceritakan dalam kisah benar tersebut. Tujuan penulis adalah untuk berkongsi iktibar semata-mata dan hal ini merupakan panduan yang kedua.

Panduan yang ketiga, apabila menuliskan kisah benar itu, ia perlu terbit dari hati. Rozninah menjelaskan, penulisan dari hati akan sampai ke hati pembaca. Penulisan sebenarnya mewakili suara hati penulis yang terpendam. Penulis mungkin mahu merawat kesedihan dan kedukaannya lalu menjadikan penulisan kisah benar sebagai terapi diri.

Panduan mengumpul fakta berdasarkan Formula 5W 1H.

Panduan yang keempat ialah penulisan kisah benar mesti bebas daripada kandungan yang boleh membawa penulis dikenakan tindakan undang-undang, seperti disaman. Rozninah mengambil contoh novel tulisannya, Sekali Melangkah berdasarkan kisah benar. Namun, terdapat sebahagiannya yang bersifat peribadi dan tidak perlu untuk ditonjolkan dalam penceritaan. Penulis perlu cermat dan berhati-hati agar jangan sampai membuka aib diri sendiri dan watak yang diceritakan sehingga menimbulkan fitnah dan tindakan mahkamah.

Penulisan yang baik dan berkesan sudah tentu mempunyai alur cerita yang mengalir dengan baik, dari permulaan hingga akhir cerita. Dalam usaha menulis kisah benar, plot cerita perlu kemas. Sekalipun penceritaan melibatkan data dan fakta, penulis perlu bijak menggarap maklumat dan mengolah idea dengan memasukkan unsur dramatik dan saspens. Inilah yang dijelaskan dalam panduan yang kelima untuk penulisan kisah benar.

Hal ini juga turut mendapat perhatian Nisah Haron yang mendapati kebanyakan penulis pemula bimbingannya dalam bengkel-bengkel penulisan kreatif sering terperangkap dengan kisah yang mahu diolah. Apabila beliau mencadangkan untuk mengubah jalan cerita, peserta keberatan kerana hal ini dianggap akan menukar seluruh jalan cerita. Oleh sebab itu, beliau dengan tegas akan menyoal, “Sekarang ini mahu tulis kisah benar atau cerpen?”

Panduan yang keenam dan ketujuh untuk penulis yang mahu meneroka penulisan kisah benar ialah penulis tidak boleh mengada-adakan watak atau menambahkan watak dalam kisah yang mahu dibawa. Penulisan kisah benar berdasarkan fakta sebenar yang dirakam pada masa dan tempat yang sahih. Maka, rakaman tempat dan masa juga harus benar dan bukan rekaan. Penulis perlu bertanggungjawab dengan penulisannya. Memilih untuk mengada-adakan cerita dengan tujuan untuk menyedapkan cerita ialah amalan yang tidak berintegriti.

Rumusan tujuh tip menulis kisah benar daripada Rozninah.

Penulisan yang baik dan berkesan bermula dengan tujuan yang jelas. Penulis yang baik akan mencermati penulisannya dengan aturan dan tertib yang digariskan. Muatan cerita yang dibawa juga sarat dengan mesej dan iktibar yang baik untuk pembaca. Cerita yang patuh konvensi namun tiada isi pula akan hilang maknanya. Begitu juga halnya apabila kita terlalu celaru dengan idea, penulisan akan jadi merapu, pembaca akan terkeliru dan hal ini amat merugikan.

Untuk menonton episod “Mahu Tulis Kisah Benar atau Cerpen?” boleh tekan pautan ini.

Pelayar juga boleh terus ke halaman Secangkir Kopi Jam Sepuluh di Facebook untuk menonton episod terdahulu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.