Oleh Nur Adilla
2 September 2021, 23:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tulisan ini berdasarkan perkongsian Nur Adilla dalam Forum Menganyam Nusa: Sastera, Kemerdekaan dan Identiti Kebangsaan anjuran Kawah Buku dan Institut Nyala pada 30 Ogos 2021.

Dalam karya sastera terkini yang wujud dalam format yang lebih bendalir rentetan kemajuan media sosial, kita semakin menemui sastera yang digunakan sebagai ruang bebas untuk menyinggung pelbagai isu masyarakat moden …

Umum mengetahui tentang peranan dan karakter sastera dalam memugarkan gelora perjuangan merintis kemerdekaan. Pada tahun-tahun menjelang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, banyak penggiat sastera yang terlibat dalam membangkitkan semangat nasionalisme, anti-British, dan melacak persoalan kebudayaan bangsa. Namun, perbincangan tentang sastera dan kemerdekaan kerap terhenti setakat itu sahaja. Kini, setelah lebih daripada separuh abad Malaysia mencapai kemerdekaan, kita harus persoalkan pula peranan sastera dalam mengisi kemerdekaan negara kita. Dalam sejarah negara ini, sastera kita boleh dikira dinamik dalam memainkan peran yang mempengaruhi atau terpengaruh dengan pelbagai dimensi kemerdekaan, yang merangkumi sosial, politik, emosi dan undang-undang negara.

Kemerdekaan Paradigma

Sesungguhnya sejarah kesusasteraan moden kita adalah sejarah kesedaran secara keseluruhan tentang diri, tentang tradisi, tentang masyarakat dan tentang ikatan murni; baik dari segi keagamaan mahupun dari perspektif peradaban

Shahnon Ahmad (1994), Dari Sini Hendak ke Mana?

Setelah kemerdekaan dicapai pada tahun 1957, permasalahan-permasalahan lain mula timbul. Mentadbir sebuah negara yang muda lela bukan kerja mudah. Masyarakat semakin tergumul dengan pelbagai kerenyahan organik atau tatanan politik partisan yang menguntungkan hanya beberapa orang. Interaksi sosial yang acap kali terikat dengan trauma penjajahan memaksa supaya wacana kemerdekaan dan anti-kolonial menjadi semakin mencapah dan menyeluruh.

Sebagai reaksi pada pergelutan masyarakat ini, karya sastera terus digunakan sebagai senjata untuk mempertajam kefahaman masyarakat tentang peri pentingnya pembebasan. Sastera memberi ruang untuk mengungkapkan pengalaman sosial masyarakat secara kreatif, dan lazimnya, realis. Hal ini dapat dilihat melalui ASAS 50, satu gerakan anak muda intelegensia yang begitu tekal berwacana dan menggunakan ketajaman pena untuk memperkasa keyakinan masyarakat ke arah pembebasan daripada kolonialisme.

Sedari sebelum kemerdekaan, penulis dan pemikir yang lahir (atau melahirkan) ASAS 50 terus menulis dan memberikan reaksi terhadap persoalan-persoalan masyarakat, namun tidak terlepas daripada mengkoreksi beberapa sektor sosial yang memerlukan penambahbaikan praksis. Misalnya, pembebasan emansipasi wanita yang dicanang dan dituntut dalam karya sastera beberapa penulis ASAS 50 tidak cukup untuk memperbetul ketidakadilan dan kekangan ruang bagi penulis wanita ketika itu untuk terus berkarya. Salmi Manja adalah antara nama yang selalu disebut-sebut sebagai penulis wanita yang terhimpit oleh kebobrokan budaya patriarki yang tidak sempat dikoreksi dalam ranah kesusasteraan tersebut.

Apabila negara semakin membangun mengikut neraca kapitalisme global, karya-karya sastera, terutamanya mulai dekad 1980-an, mula memugar persoalan hubungan ekonomi dan pembangunan masyarakat. Selain itu, masyarakat Melayu-Islam ketika itu mula melahirkan keresahan terhadap identiti diri dan bangsa yang dirasakan terkesan dengan pengaruh negara Barat, seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang juga merupakan adikuasa dunia. Sastera yang membawa isu pertentangan antara budaya Timur/Islam dengan Barat semakin membugar ketika itu, sehingga melahirkan konsep sastera Islam dalam bahasa Melayu.

Ketika mencapai kemerdekaan, negara kita memiliki aspirasi yang mahu dipenuhi—sebuah masyarakat yang merdeka untuk menentukan hala tujunya sendiri. Namun, tidak mungkin pembebasan masyarakat mampu dicapai jika penindasan-penindasan dalam bentuk baharu, yang muncul selepas merdeka oleh orang kita sendiri tidak dikritik lewat karya sastera. Oleh sebab itu, kesedaran masyarakat terhadap penindasan-penindasan bentuk baharu ini perlu diberikan bahasa untuk memahaminya, supaya dapat dikenali dan dirasakan.

Dalam hal ini, kita jarang-jarang memperkatakan perihal kemerdekaan paradigma dalam kalangan peran-peran penting selain penulis sastera. Antaranya, editor, penterjemah, ahli akademi sastera, pelajar sastera, penerbit, serta pegawai agensi dan kementerian berkaitan sastera seperti di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, dan Kementerian Pelancongan Malaysia. Kesemua peran selain penulis ini juga berperanan dalam memastikan kejayaan sastera untuk sampai, dinikmati atau dimanfaati oleh pembaca kebanyakan. Apa yang bermasalah ialah jika peran ini (i) bukan daripada golongan pembaca dan pemikir tegar; (ii) suka menjajah paradigma penulis dan pembaca; serta (iii) tidak menggunakan kuasa dan sumber yang dipunyai (acap kali didanai oleh wang awam) untuk memenuhi tuntutan pemerkasaan ekosistem yang sihat untuk sastera. Kemerdekaan paradigma peran-peran ini perlu lebih dibahaskan dalam ruang-ruang yang lain.

Dalam karya sastera terkini yang wujud dalam format yang lebih bendalir rentetan kemajuan media sosial, kita semakin menemui sastera yang digunakan sebagai ruang bebas untuk menyinggung pelbagai isu masyarakat moden, seperti kesenjangan ekonomi dan perancangan bandar, ketidakadilan gender, pertentangan modenisasi dengan jati diri, serta mempersoal moraliti budaya Melayu atau Islam yang dicitakan dengan apa yang diamalkan. Dari sudut pandangan makro, sastera acap kali melaksanakan fungsinya untuk merakam dan membahasakan permasalahan masyarakat semasa, bahkan boleh juga dilihat sebagai manifestasi pengisian kemerdekaan paradigma sendiri. Namun begitu, adakah sastera Malaysia sebenarnya adil dalam perjuangan menuju kemerdekaan paradigma yang bebas dalam menyediakan ranah yang selesa bagi para pengkarya dan penikmat sastera?

Sastera: Dipengaruhi atau Mempengaruhi?

Dalam situasi tertentu, pengarang seolah-olah cuba mengelakkan diri daripada memperkatakan isu-isu yang dianggap sebagai tidak sopan, tabu atau bersifat politik subversif. Hal ini dapat dikaitkan dengan situasi sosiobudaya yang melingkungi masyarakat Malaysia.

Norhayati Ab. Rahman (2012), Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia

Kendati sastera betah untuk digunakan sebagai manifestasi kebebasan dan kemerdekaan paradigma, adakah sastera Malaysia benar-benar bebas dan merdeka? Persoalan ini mengingatkan kita pada keterpaksaan para penulis sewaktu zaman penjajah yang perlu menulis dengan pelbagai nama pena untuk melindungi diri daripada dikenal pasti oleh penjajah. Idea yang ditintakan oleh pemikir dan penulis sastera ketika itu dianggap radikal kerana menyemai citra pembebasan fizikal yang dianggap sebagai hasutan oleh para penjajah. Dalam konteks ini, kita jelas dapat melihat bagaimana wahana sastera mempengaruhi pemikiran zaman tetapi pada masa yang sama, cara sastera itu digerakkan pula dipengaruhi oleh undang-undang pentadbiran.

Kini, para penulis sastera tidak perlu berselindung di sebalik nama pena. Dalam dunia yang dipacu medium maya, konsep perlindungan identiti diri hampir hanya wujud sebagai teori semata-mata. Walau bagaimanapun, elemen-elemen yang dilihat mempengaruhi sastera seperti undang-undang rasmi berkaitan kebebasan berekspresi dan undang-undang tidak rasmi seperti budaya dan agama masih menggunakan acuan yang kemungkinan kurang selaras dek perubahan zaman yang pesat. Namun, evolusi persoalan tentang mengapa masih ada penulis pada mana-mana zaman yang memilih untuk menggunakan nama pena perlu juga diteliti. Barangkali penulis mahu membawa isu-isu yang dianggap sensitif, tabu dan sebagainya, tetapi terpaksa berdepan dengan banyak tekanan dari luar jika menggunakan nama sebenar. Perlindungan identiti dan nama pena ini juga boleh bersifat komersial. Contohnya, penulis cerita romantis lelaki biasanya akan menggunakan nama pena perempuan. Dalam kebanyakan kes perlindungan nama pena di Barat seperti J.K. Rowling, beliau memakai nama pena lelaki kerana diskriminasi dan sterotaip yang memberikan impak negatif kepada penulis perempuan sepertinya.

Di Malaysia kini, penulis hanya boleh beriltizam untuk menerbitkan karya di platform perdana dengan idea-idea “radikal”, semacam yang dilakukan pada zaman sebelum kemerdekaan dahulu. Kita maklumi, jika ada karya yang dianggap tidak berbudaya, terlalu sensitif atau tabu, akan awal-awal dicantas di pintu pagar penerbitan. Kayu ukur yang dipakai untuk menapis juga lazimnya subjektif dan tertakluk sepenuhnya pada kearifan penjaga pintu atau editor penerbitan sastera tersebut. Apabila hal ini terjadi berulang-ulang selama beberapa dekad lamanya, wujudlah pula bentuk penjajahan baharu dalam dunia sastera. Penulis yang sepatutnya berani, kreatif dan bebas untuk mengekspresikan seni akan mencantas sendiri karyanya yang kononnya berbaur “isu tabu dan sensitif”. Semakin terbiasa, para pengkarya mencari jalan lebih mudah dan wewenang untuk terus berekspresi, sekali gus kebungkaman dunia sastera menjadi natijah yang tidak dapat dielakkan lagi.

Sebagai contoh, karya subversif seperti SHIT dan Muntah oleh Shahnon Ahmad berjaya menembusi pasaran komersial, antara lain kerana status Shahnon sendiri yang sudah bergelar Sasterawan Negara serta pergolakan politikal masyarakat ketika itu. Oleh sebab keadaan pada hari ini yang lebih sukar untuk mengakomodasi karya-karya sebegini, maka para penulis mula menerbitkan karya secara mandiri (indie). Fenomena ini jugalah yang dapat dideduksikan sebagai cara peran komuniti sastera mengguna pakai ruang kebebasan dalam negara ini untuk terus berkreativiti. Kelahiran sebegitu banyak syarikat mandiri yang menerbitkan karya sastera dengan bonus kejayaan komersial ini juga merupakan respon pada kemahuan untuk membebaskan diri daripada kekakuan dan kebekuan bentuk dan tema sastera yang dituntut oleh pentadbir sastera negara.

Malangnya, perbicaraan mahkamah kedai kopi mengenai fenomena ini merumuskan, ada tuntutan mendesak kepada pentadbir sastera dan pemegang sumber sastera yang didanai wang awam ini untuk lekas berubah. Lantaran kegergasian institusi dan sumber dana yang selalu ada, pentadbir sastera negara mungkin terlalu selesa menangani isu sastera seadanya dan tidak termotivasi untuk melakukan sebarang rombakan pentadbiran. Penerbit karya sastera selepas merdeka yang pada mulanya merupakan agen pembebasan yang kreatif, kini turut terperangkap dan mengalami kerenjungan (ossified) susulan keselesaan ini. Mujur, suara-suara kritis yang dikira “tabu dan sensitif” itu tadi tidak berhenti, bahkan mencari cara baharu untuk menyebarluaskan idea dan ekspresi mereka.

Ketimbang kerenjungan institusi ini, adalah wajar juga untuk kita cuba mewacanakan persoalan ini, yakni tentang kemerdekaan keyakinan diri para pengkarya sastera. Sejauh manakah sastera ditadbir oleh undang-undang formal yang direka sebelum merdeka itu? Adakah keresahan dan kekhuatiran yang dirasai oleh pentadbir sastera terhadap letak duduk elemen “tabu dan sensitif” ini hanyalah ketakutan ilusi yang dibebankan sendiri (self-imposed)? Jika benar, para pentadbir sastera juga perlu menuntut kemerdekaan paradigma sesegeranya.

Misalnya sebelum ini, karya yang memaparkan watak wanita yang terang-terangan “feminis” selalu dipersetan sebagai tidak Islamis atau tidak cocok dengan Melayu lantas harus dicantas sebelum diterbitkan. Hal ini bagaimanapun semakin berubah kerana wacana tentang konsep sains sosial dalam pemerkasaan wanita ini terus diwacanakan dalam komuniti masyarakat sivil Malaysia. Ditambah pula dengan pemilihan Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail sebagai Sasterawan Negara, kedua-dua tokoh sastera penting ini acap kali menyuguh kepentingan pemugaran isu pemerkasaan wanita dalam sastera, sepertimana kita menanggapi isu kemiskinan, pembangunan, ekonomi, ketidakadilan, dan pelbagai isu sosial lain.

Berlainan pula apabila kita melihat keragaman isu yang dibawa dalam sastera bukan bahasa Melayu di Malaysia yang jauh lebih dinamik dan segar untuk dinikmati. Apakah kerencaman pola isu dalam sastera tersebut disebabkan oleh bahasa-bahasa lain seperti bahasa Inggeris tidak terbeban dengan pengawasan rapi sekalian mekanikal negara? Ketidakfasihan pentadbir institusi negara dalam sesuatu bahasa, dalam konteks ini, telah memerdekakan penikmat bahasa tersebut untuk mempengaruhi dan dipengaruhi oleh seni sastera dengan sesungguh-sungguhnya dan semahu-mahunya.

Identiti Kebangsaan

Seperti cinta, terjemahan ada pancarobanya/Like love, translation is a complex challenge …

Lalita Sinha (2020), Other Voices, Other Choices: The challenge of Translating Malay Literature

Pembentukan identiti kebangsaan boleh difahami melalui sorotan karya sastera sedia ada. Sebagai negara yang dimakmurkan oleh pelbagai kaum dan agama, sastera yang ditulis di Malaysia mewah juga bahasanya dengan hasil karya rakyat Malaysia dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Iban, Kayan, Kelabit, Bidayuh, dan pelbagai lagi. Karya sastera bukan dalam bahasa Melayu (lazimnya asli ditulis atau telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris) pula bukan calang-calang dan telah banyak yang sudah menerima pengiktirafan antarabangsa dan diwacanakan oleh orang luar.

Nama-nama seperti Kulleh Grasi, Tash Aw, Tan Twan Eng, Saras Manikam, Hannah Alkaff, Shih-Li Kow, Joshua Kam, dan Ho Sok Fong adalah antara penulis sastera Malaysia yang telah menempa nama di luar negara. Penulisan mereka berkitar pelbagai isu yang rencam konteks berlatarkan Malaysia. Ada juga yang terang-terangan berjujur dengan masalah sosial massa dan menyinggung pelbagai isu yang mungkin dianggap “tabu dan sensitif” tadi. Andai kita menyarung jubah hipotesis ketakutan status quo dalam kalangan pentadbir sastera negara, terdapat kebarangkalian karya-karya tersebut tidak berpeluang atau sukar untuk diterbitkan jika ditulis dalam bahasa Melayu.

Walaupun penulis sastera bukan dalam bahasa Melayu ini merupakan rakyat atau keturunan Malaysia, dilihat adanya keraguan sistemik untuk merangkumkan sastera Malaysia yang ditulis dalam bahasa selain bahasa Melayu sebagai khazanah sastera negara. Kita lazim mendengar keresahan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dan Mandarin misalnya, yang dilihat semakin mendominasi langgam komunikasi generasi yang lebih muda. Isu penggunaan bahasa Inggeris sebenarnya fenomena biasa bagi negara-negara Komanwel pascakolonial. Selain itu, penggunaan sesuatu bahasa seperti bahasa Inggeris dan Mandarin yang makin meluas ini juga disebabkan oleh kuasa ekonomi, politik dan media yang dimiliki oleh Amerika Syarikat dan China, yang juga negara adikuasa di pentas hubungan antarabangsa. Pun begitu, hal ini bukanlah bermaksud kita dengan wewenangnya tidak perlu kritikal terhadap kepolitikan bahasa di negara kita. Tetapi yang lebih penting ialah kesedaran untuk jujur dan ikhlas dalam mengembleng usaha bersama membangunkan identiti kebangsaan melalui sastera.

Memandangkan sastera juga wadah membina imaginasi dan kefahaman rentas masyarakat, adalah penting untuk kerja-kerja terjemahan dan pengiktirafan karya bukan bahasa Melayu sebagai khazanah sastera negara ini disegerakan oleh para pentadbir sastera negara. Kerja terjemahan atau memperkasa sastera penulisan dalam kalangan bukan Melayu dahulunya agak rancak. Dahulu, kita ada Hadiah Cerpen Maybank-DBP melalui siri Mercu yang mempertandingkan tulisan bukan Melayu yang menulis dalam bahasa Melayu. Hadiahnya lumayan dan berprestij bagi menggalakkan penyertaan dan penghasilan karya berkualiti. Baru-baru ini juga mujur, DBP dilihat cuba menghidupkan kembali usaha sebegini. Dari sudut pandang penggubalan dasar, usaha semacam pertandingan atau program eksklusif kepada bukan Melayu inilah sejenis dasar diskriminasi positif yang bertujuan untuk menambah minat dan kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan masyarakat minoriti.

Dalam konteks sastera beridentiti kebangsaan ini, terdapat beberapa isu lain yang perlu difikirkan dengan lebih lanjut. Pertama, komuniti sastera perlu sedar mengenai hubungan tidak seimbang antara satu kelompok masyarakat, lazimnya kelompok terbanyak yang mendominasi satu lagi kelompok masyarakat yang lain. Sebahagian daripada dominasi ini kemudiannya mempengaruhi cara kita melihat dan membentuk identiti kebangsaan negara. Tanpa kesedaran yang jujur oleh kelompok yang mendominasi itu, yang tidak terhad kepada bangsa, agama atau bahasa, sudah pastilah ketidakseimbangan ini boleh merosakkan pembinaan identiti kebangsaan yang adil dan tidak sihat. Sehubungan itu, cara kita menanggapi hal sastera kebangsaan perlu lebih dinamik dan mudah lentur jika kita ikhlas untuk membangun sebagai sebuah negara merdeka.

Menuju ke Hadapan

Bagi mencapai aspirasi kemerdekaan sastera yang dicitakan, berikut merupakan beberapa usaha yang boleh difikirkan bersama:

  1. Pentadbir sastera negara yang digaji oleh dana awam seperti penggubal dasar, penjawat awam di badan bahasa dan sastera, ahli akademik di fakulti bahasa dan sains sosial perlu memerdekakan akalnya dan lebih rajin membaca, mewacanakan dan mempromosi karya-karya sastera Malaysia dalam pelbagai bahasa;
  2. Komuniti sastera harus lebih kritikal mindanya, sensitif terhadap kompleksiti sosial Malaysia, memahami kepentingan representasi politik (diskriminasi positif) sekali gus terangkum amalan sasteranya. Dengan kesedaran ini, wacana sastera Malaysia perlu “dipaksa” untuk melibatkan kepelbagaian dan harus selalu merentas bahasa (bukan sastera berbahasa Melayu sahaja), usia (tua dan muda), bangsa (bukan Melayu sahaja), agama (bukan Islam sahaja), dan wilayah geografi (bukan Semenanjung Malaysia sahaja);
  3. Saling memahami kepelbagaian Malaysia dan mengiktiraf sastera dan budaya selain dalam bahasa Melayu juga merupakan sebahagian daripada identiti utama Malaysia. Kefahaman ini harus diterjemahkan melalui amalan dasar-dasar badan kerajaan;
  4. Merancakkan terjemahan karya sastera Malaysia pelbagai bahasa ke dalam bahasa Melayu. Adalah penting untuk memperkukuh rangkaian penterjemah berpotensi yang berminat untuk membuat kerja-kerja penterjemahan ini. Minat dak kemahiran penterjemahan boleh dipupuk sejak sekolah rendah melalui pertandingan terjemahan besar-besaran. Pentadbir sastera negara dan syarikat perbukuan sastera juga saling berganding bahu dan menyokong agenda ini lantas melaksanakannya sesegeranya;
  5. Meneruskan dasar karya sastera yang dijual secara pop dan murah bagi meningkatkan akses pembacaan. Hal ini pernah cuba dilaksanakan sebelum ini melalui Edisi Malaysia Membaca. Dasar baik yang diperkenalkan harus mampan dipertahan dan ditambah baik waima pemimpin institusi acap kali bertukar; dan
  6. Memperkenalkan bahan bacaan sastera berkualiti pelbagai bahasa kepada pelajar sekolah, terutamanya pelajar sekolah pilihan dan universiti tanpa mengira bidang pengajian. Karya sastera boleh dijadikan sebagai bahan bacaan wajib atau tambahan sewaktu cuti sekolah dengan galakan ganjaran tugasan kredit tambahan. Bahan bacaan sastera boleh diberikan secara pinjaman seperti buku teks sekolah.

Malaysia mempunyai banyak potensi untuk dipengaruhi atau mempengaruhi sastera bagi tujuan kemerdekaan dan aspirasi kebangsaan. Sudah ada kesedaran sedari kemerdekaan berkaitan kepentingan sastera dan bahasa untuk pembangunan negara. Kesedaran inilah diterjemah antara lain, melalui bahasa rasmi dalam Perlembagaan Malaysia, peruntukan dana awam yang relatif signifikan kepada institusi dan agensi bahasa dan budaya seperti DBP dan Kementerian Kebudayaan Warisan dan Kesenian, serta pendedahan konstruktif untuk melahirkan sasterawan berkualiti melalui latihan, penganugerahan dan promosi karya. Secara organik pula, kesedaran sastera ini sudah begitu berakar dan semakin berkembang dalam kalangan penikmat dan peran sastera pelbagai bahasa.

Walaupun kita mungkin merasakan kurangnya fokus pentadbiran negara kepada agenda sastera, adalah penting juga untuk memastikan sumber manusia dalam ekosistem pentadbiran sastera negara ini berkualiti dan merdeka akalnya. Ruang sudah ada, meski sebagaimana sempit sekalipun, harus digunakan secara berintegriti dan bukan mengikut nafsu atau kesempitan akal sendiri. Kita tidak boleh lupa bahawa sastera pernah menjadi wahana penting memacu kemerdekaan fizikal negara. Selayaknya, sastera harus terus berkesinambungan, berkembang dan mampan sifatnya, saling mempengaruhi dan dipengaruhi oleh rakyat Malaysia yang merdeka sarwanya.

_________________________

Nur Adilla Abd Rahim atau kini lebih mahu dikenali sebagai Nur Adilla pernah mewakili Malaysia untuk Bengkel MASTERA (Cerpen) pada tahun 2018, dan kini berkhidmat sebagai diplomat di Kementerian Luar Negeri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.