18 Ogos 2021, 13:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Manuskrip Melayu merupakan hasil karya tulisan tangan para ilmuwan zaman dahulu. Kehadirannya terserlah sebagai warisan khazanah ilmu dan lambang peradaban bangsa. Koleksi khazanah Melayu ini bukan sekadar termuat dalam lakaran sejarah dan perkembangan penulisan bahasa Melayu, malah menjadi wahana utama dalam pembentukan kearifan tempatan dan sosiobudaya rakyat Malaysia pada masa kini dan akan datang.

Sehingga kini, Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) Dewan Bahasa dan Pustaka telah berjaya mengumpul dan mendokumentasikan lebih 300 judul manuskrip yang meliputi beberapa bidang, seperti bidang bahasa, kesusasteraan Melayu, ilmu perubatan tradisional dan kitab agama. Walau bagaimanapun, koleksi manuskrip Melayu PDM tidak dapat disimpan dengan kemudahan perkakasan dan peralatan penyimpanan yang baik dan teratur mengikut piawaian antarabangsa dalam pendokumentasian koleksi manuskrip. Hal ini disebabkan oleh kekangan kewangan, ruang yang terhad, dan ketiadaan tenaga mahir dalam kerja mendokumentasikan koleksi manuskrip.

Untuk tujuan tersebut, PDM telah melaksanakan sebuah Bengkel Pemuliharaan dan Pemeliharaan Manuskrip Melayu pada 18 Ogos 2021 (Rabu), jam 9.30 pagi bersama-sama dengan pakar bidang, iaitu Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ros Mahwati menegaskan bahawa pegawai yang bertanggungjawab perlu memahami terlebih dahulu kaedah dalam pengurusan koleksi manuskrip. “Ada enam perkara atau asas yang perlu diketahui, iaitu manuskrip, fasiliti, sumber manusia, prosedur operasi rasmi (SOP), ilmu dan kewangan.

“Setiap manuskrip yang keluar atau masuk ke bangunan penyimpanan perlu dibuat pemeriksaan fizikal. Hal ini bertujuan untuk memastikan manuskrip berkenaan adalah objek yang telah disenaraikan, memastikan ia dalam keadaan stabil atau lengkap, dan memastikan ia selamat daripada sebarang serangga yang boleh menjangkiti koleksi sedia ada,” kata beliau.

Jelas Ros Mahwati lagi, manuskrip merupakan objek budaya bersifat organik yang terdedah pada risiko kerosakan, sama ada kecil atau besar. Faktor kerosakan pula terbahagi kepada empat, iaitu alam, manusia sendiri, serangga, dan sistem pengurusan yang tidak sesuai.

Melalui bengkel tersebut, semua pembantu pemuliharaan di Unit Jilid PDM dan beberapa orang pustakawan yang terlibat dalam pendokumentasian koleksi manuskrip PDM diberi tunjuk ajar tentang kaedah terbaik untuk merawat naskhah yang mengalami kerosakan fizikal. Dengan adanya kemahiran dalam pengendalian manuskrip, maka koleksi manuskrip yang terdapat di PDM dapat dirawat daripada sebarang kerosakan, malah dapat dirujuk oleh penyelidik tempatan dan antarabangsa, seiring dengan perkembangan ilmu terkini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.