Oleh Orked Una
15 Ogos 2021, 20:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Drama bersiri adaptasi novel Ayahanda yang sarat dengan emosi mendapat tempat di hati penonton Malaysia sejak episod pertamanya disiarkan di slot Lestary TV3 pada 10 Julai (mencecah 2.5 juta tontonan). Drama ini telah melabuhkan tirainya pada 31 Julai dengan lebih empat juta tontonan. Sambutan luar biasa terhadap drama ini membuatkan ramai penonton mencari naskhah asal novel Ayahanda karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah sehingga kehabisan stok di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kini dicetak ulang.

Drama ini diinspirasikan daripada novel Ayahanda terbitan DBP oleh Allahyarham Azizi Haji Abdullah, penerima SEA Write Award (Malaysia) 1988 dan memenangi anugerah Hadiah Karya Sastera sebanyak tujuh kali. Riwayat Allahyarham Azizi turut diperkenalkan kepada penonton pada kredit akhir episod akhir drama ini.

Bagi meraikan kejayaan drama siri adaptasi Ayahanda, forum istimewa bersama peminat diadakan secara dalam talian menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 12 Ogos (Khamis) jam 9.00 malam. Forum selama dua jam ini menampilkan “orang kuat” di belakang tabir serta barisan pelakon utamanya, Anita Azizi, waris Allahyarham Azizi; Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, pengarah; Marr Mohammad, wakil Syarikat Zeel Production Sdn. Bhd.; penulis skrip Wan Mahani Wan Hassan dan Maizura Mohd Ederis; A. Jalil A. Hamid (Haji Abdullah); Fauziah Dato’ Ahmad Daud (Hajah Noriah); dan moderator program, Mohd Hafizi Ahmad.

Dato’ Ahmad Tamimi Siregar (duduk) bersama-sama pelakon pembantu drama.

Memulakan forum, Anita berkongsi tentang proses penciptaan Ayahanda daripada arwah ayah beliau yang kebanyakannya berdasarkan kisah sebenar ayahnya sendiri. Daripada cebisan kisah benar itulah dikembangkan, yang beberapa watak dalam novel tersebut memang wujud dan terdapat bahagian dan kisah yang ditokok tambah.

Anita dan keluarganya sangat berpuas hati dengan drama adaptasi arahan Ahmad Tamimi Siregar ini kerana kedua-dua pelakon veterannya berjaya membawa watak Haji Abdullah dan Hajah Noriah dengan tepat, menyebabkan citra dan aura Allahyarham diingati semula.

Wan Mahani memberikan reaksi bahawa beliau memang berhasrat untuk mengangkat karya Ayahanda dengan baik dan memilih untuk berkolaborasi dengan Maizurah yang turut sama teruja dengan tawaran tersebut. Cabaran mengadaptasi karya ini timbul daripada cara penceritaannya kerana kisahnya disampaikan dalam fragmen-fragmen memori yang tidak mempunyai kronologi. Kedua-dua penulis skrip bertindak untuk menyeimbangkan nilai sastera dan nilai komersial, maka hanya adegan paling baik dalam novel dipilih, dialog dikembangkan, watak baharu dicipta, dan isu-isu polemik diketengahkan.

Sambung mereka, dialog Haji Abdullah dengan Hajah Noriah sengaja dikekalkan dalam bahasa Melayu biasa dan bukan dialek utara bagi menonjolkan keindahan dialog dalam karya asal. Maizurah membuat rujukan mengenai tokoh menerusi drama bersiri Ripin Mugha Batu arahan Sabri Yunus yang diinspirasikan daripada novel Jogho Yang Tewas Rohani Deraman, filem Sang Pencerah (2010), Sang Kiai (2013), dan Gandhi, My Father (2007).

Menurut Marr Mohammad, produksi Syarikat Zeel yang lebih dominan mengangkat karya pop, buat pertama kalinya bekerjasama dengan DBP dan TV3 untuk mengangkat karya sastera. Marr yang mewakili produksi berkongsi bahawa mereka sudah lama ingin meluaskan horizon pengkaryaan dan mahu menerbitkan adaptasi karya sastera.

“Kami merasakan sudah sampai masanya kami memberi kepada masyarakat. Karya-karya sastera ini sangatlah mematangkan hati dan fikiran bukan sahaja dari sudut cerita tetapi nilai murni dan mendidik masyarakat. Ini tanggungjawab kita sebagai pengkarya,” katanya.

Pengarah Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar pula mengongsikan banyak cabaran yang dihadapi akibat kekangan kru kumpulan, perbelanjaan, masa, lokasi, dan persediaan kajian disebabkan oleh pandemik COVID-19. Beliau memanjatkan kesyukuran kerana banyak urusan dimudahkan sehingga berjaya menyiapkan drama ini.

Ahmad Tamimi turut memegang watak sebagai Lebai Haji Kassim dan menurut Jalil Hamid, adegan Haji Abdullah dan Haji Kassim merupakan titik mula Jalil Hamid meneruskan karakter Haji Abdullah.

Ogy dan Noorkhiriah.

Tambah Jalil Hamid sebagai pelakon utama, itulah kali pertama beliau memegang watak seorang imam sepanjang dunia lakonannya. Kenangan yang tidak dapat dilupakannya dalam pembikinan drama ini adalah ketika adegan tersekat di laut untuk menggerakkan bot sepanjang 40 kaki dengan penumpang empat orang. “Kebetulan, saya anak nelayan, jadi saya gunakan sedikit kelebihan untuk menggerakkan bot tersebut.

“Lakonan bukan hanya ‘buat’, tetapi kajian watak (perlu dibuat) dan perhaluskan perwatakan watak,” katanya.

Menurut Fauziah Dato’ Haji Ahmad Daud atau Ogy, ketika membaca beberapa helaian skrip awal, terbit rasa merinding dan ada sesuatu yang berlaku dalam sanubarinya. Atas sebab itu, beliau membaca terus-menerus skrip 13 episod itu sehingga akhir. Baginya, kualiti skrip yang baik itu diterima sepenuhnya tanpa bantahan kerana rasa, jiwa dan roh karyanya amat hidup. Pelakon pemenang Festival Filem Malaysia ini memegang watak Hajah Noriah yang sangat berbeza dengan personaliti dirinya. Hal ini menjadi cabaran baginya. Namun begitu, beliau tetap berjaya menjadi Hajah Noriah, menjiwai perasaan dan minda tua pranyanyuknya. Fauziah turut gembira kerana melalui karya ini, orang seni dapat juga berdakwah.

“Melalui Ayahanda, saya dapat membuktikan bahawa seni lakon ialah seni yang sangat mahal harganya,” katanya.

Tonton forum penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.