Oleh S.M. Zakir
9 Ogos 2021, 08:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

S.M. Zakir menampilkan fenomena pembacaan karya sastera yang penuh nilai dan aspirasi moral sebalik kekacauan dan pergolakan politik zaman.

Era ini dilihat sebagai era keghairahan terhadap kuasa dan kekayaan, mendorong penemuan dan penciptaan teknologi yang menggandakan kekayaan.

Seperti yang dikatakan oleh James MacGregor Burns dalam bukunya Fire and Light, England pada abad ke-18 merupakan sebuah negara yang memiliki dinamik ekonomi dan demografi yang luar biasa. Setelah melalui zaman peperangan di Eropah lebih dua kurun, dan kemudian membangunkan politik Westminster yang menyaksikan penurunan kuasa Raja melalui Akta Toleransi pada tahun 1689, England bangun sebagai sebuah negara baharu di Eropah. Setelah mengalahkan Perancis dalam Perang Tujuh Tahun, kuasa kelautan Britain tidak tertanding lagi sehingga menjadi kuasa kolonial dunia yang menjajah hampir seperempat dunia.

Ciptaan baharu merintis perubahan industri, terutamanya industri tekstil, arang batu dan besi dengan pengenalan pada teknologi baharu kincir air, pam wap dan pemprosesan logam. Penduduk England daripada sekitar lima juta orang pada tahun 1730 mencecah lapan juta orang pada tahun 1790. Kota-kota di luar London juga membangun dengan pesat dengan Birmingham mencatat jumlah penduduk teramai, sementara Liverpool menjadi kota pelabuhan yang sibuk dengan perdagangan bijiran dan hamba. England antara negara perdagangan hamba abdi yang terbesar di dunia.

London merupakan kota yang paling besar dan sibuk di England dan seluruh Eropah. London mempunyai penduduk melebihi setengah juta orang pada tahun 1770-an dengan populasi kosmopolitan yang bergaul antara penduduk tempatan termasuk Scotland, Wales dan Ireland, serta pendatang dari luar seperti pelarian Yahudi dari Sepanyol dan Portugal, pendatang Eropah Timur, puak Huguenot dari Eropah, dan kaum kulit hitam yang menjadi hamba abdi, atau sudah merdeka. London merupakan kota perdagangan paling hebat di dunia dengan segala macam barangan dagangan dari seluruh dunia. Bagi sesiapa yang mempunyai wang, London menjadi syurga, tetapi bagi sesiapa yang miskin dan tidak punya wang, London ialah neraka penindasan kelas. Bagaimanapun, dengan kemungkinan terbuka untuk menjadi kaya, London menjadi kawah gula yang dihurungi semut.

Dalam kemajuan yang begitu pesat, England pada kurun ke-18 juga menyaksikan kekalutan, di samping menerima bahang revolusi besar dunia yang mengancamnya. Dua revolusi yang menggoncang England ialah Revolusi Amerika 1776 dan Revolusi Perancis 1789. Revolusi Amerika menyaksikan kemunculan pengaruh republikan dalam dunia politik England, sementara Revolusi Perancis menyerapkan anasir Jacobin dalam parlimen England. Hal ini tambah meruncing oleh pergeseran dua puak utama dalam politik England, iaitu puak Tory dan Whig. Puak Tory ialah keturunan puak konservatif Gereja Anglican, manakala puak Whig ialah pro-Protestan yang senada dengan kaum Jacobite dan kaum republikan. Kedua-duanya silih berganti memegang tampuk pemerintahan England. Suasana politik di England pada abad ke-18 cukup bergolak antara kedua-dua paksi politik yang turut menggunakan pengaruh Raja yang terbatas oleh Perlembagaan untuk mendapatkan sokongan kepada tindakan politik mereka.

Realiti politik di England pada hakikatnya dikuasai oleh kaum bangsawan dan kelas atasan atau kaum borjuis yang muncul sebagai kelas elit baharu dalam era revolusi perindustrian. Golongan miskin tidak terhitung ramainya hidup berhimpit di dalam bilik-bilik kecil di bangunan-bangunan usang yang menghadap lorong-lorong kecil lagi kotor. Sistem kebersihan dan pembetungan langsung tidak terjaga dengan penakung najis terletak hanya di bawah bangunan, dan bermacam jenis parasit dan tikus hitam merayap membawa penyakit. Saban tahun, ribuan mati oleh penyakit yang disebarkan oleh kekotoran, dan ternyata rakyat hidup dalam kebuluran.

Jurang perbezaan antara golongan bangsawan dan elit dengan golongan bawahan sangatlah luas, sehingga kaum bangsawan dan elit yang juga menjadi pimpinan politik ini tidak berupaya melihat melangkaui jurang tersebut. Para pemimpin politik England waktu itu dikatakan sebagai “pemilik tanah yang kaya sehingga boleh membeli kerusi parlimen, mendapat gaji buta di Kementerian, dan memegang kuasa ke atas jutaan manusia yang langsung tidak mereka kenali dan tidak ingin sekalipun dikunjungi”. Politik dikaluti oleh perebutan kuasa kaum elit yang didukung oleh bank, syarikat insurans, dan syarikat pengeluar serta pelabur termasuk syarikat yang menjajah dan mengaut kekayaan di tanah jajahan di seluruh dunia. Era ini dilihat sebagai era keghairahan terhadap kuasa dan kekayaan, mendorong penemuan dan penciptaan teknologi yang menggandakan kekayaan. Hal ini menimbulkan faham utilitarian yang menukarkan semua perkara kepada “benda dan dagang”. Pada masa yang sama, golongan bawahan terus ditindas dan melata di bumi yang kotor.

Masyarakat menengah dan atasan, tidak ketinggalan golongan bawahan, dibawa untuk bersama-sama masuk ke dalam sastera dan memahami nilai-nilai dan moral yang semakin pudar daripada kehidupan di kota industri yang paling sibuk di dunia, dan pergelutan serta berebutan kuasa dalam pengaruh politik tiga segi; kaum bangsawan, elit dan Raja.

Kesusasteraan muncul ketika ini dengan sifatnya yang masih baharu. Sastera pada awalnya muncul sebagai wahana imaginasi yang kemudiannya dikenali sebagai aliran romantik. Sastera dilihat pada waktu itu sebagai salah satu wahana bagi nilai-nilai kreatif yang dihapuskan daripada wajah masyarakat industri kapitalis dapat dipuja dan diperakukan. Namun, kedaulatan dan autonomi imaginasi yang membawa perasaan dalam keterasingan dan keterpencilan mula dilihat sebagai pelarian yang kosong. Visi masyarakat yang adil diterbalikkan oleh romantisisme menjadi nostalgia yang lemah terhadap England tua yang organik dan telah lama berlalu. Penulis-penulis mula keluar mencari fungsi dan visi yang jelas dalam sastera, yang semestinya tidak terasing dan terpisah daripada realiti sosial. Mereka mencari kuasa budaya yang mungkin anarkis tetapi dikekang oleh suatu ketertiban sosial. Sastera bagi para penulis adalah terkait dengan hal-hal kuasa sosial.

Penulis-penulis di England memikirkan jenis sastera yang harus menjadi penyembuh baharu sosial, setelah politik dan gereja gagal melakukannya. Citra ini dimulakan dengan memasukkan gaya bangsawan tradisional, dan kemudian berakhir kuasanya dengan perpindahan kuasa kepada golongan menengah yang menjadi perantara antara golongan bangsawan dengan golongan bawahan. Hal ini dikatakan demikian oleh Matthew Arnold sebagai “cara menghubungkan kelas menengah kepada budaya bangsa terbaik akan menganugerahkan mereka suatu keagungan dan jiwa mulia”. Hal ini sekali gus menjadi cita-cita masyarakat bagi sebuah pimpinan baharu kelas sosial yang bertamadun dan merakyat.

Sastera mula mencita-citakan wilayah baharu yang semua manusia dapat berjumpa dan berbincang, seterusnya mengangkat nilai dan moral yang semakin diketepikan. Maka, sastera bergerak untuk menemukan nilai dan moral yang tidak dipedulikan oleh kaum politik dan kapitalis yang bersikeras dengan perebutan kuasa dan kekayaan.

F.R. Leavis menyatakan, “moraliti bukan harus lagi difahami sebagai suatu kod sistem etika, tetapi merupakan suatu keasyikan yang peka terhadap seluruh mutu kehidupan”. Kebalikan daripada suasana yang menuntut protes malah revolusi, sastera Inggeris sebaliknya mencari nilai dan menggarapnya dengan kelembutan dan menyerap pengajaran tersembunyi tentang nilai dan moral. Masyarakat menengah dan atasan, tidak ketinggalan golongan bawahan, dibawa untuk bersama-sama masuk ke dalam sastera dan memahami nilai-nilai dan moral yang semakin pudar daripada kehidupan di kota industri yang paling sibuk di dunia, dan pergelutan serta berebutan kuasa dalam pengaruh politik tiga segi; kaum bangsawan, elit dan Raja.

Apabila negara hari ini memasuki era malapetaka pandemik, kemudian diheret oleh kekacauan politik yang tidak berkesudahan, masyarakat seperti mencari sesuatu dalam aspek-aspek lain kehidupan. Pencarian ini sepertimana yang dialami oleh mana-mana masyarakat yang mengharungi suasana kekalutan, merupakan pelarian atau eskapisme yang dapat menempatkan cita-cita terhadap rasa aman yang hilang. Hal yang dirasakan dalam sastera hari ini ialah pencarian masyarakat terhadap novel-novel sastera yang mengangkat nilai-nilai dan moral yang tinggi dalam bentuk yang mudah dibaca, dalam kata lain, realisme tegar yang mengembalikan rasa aman alamiah serta jauh daripada kekalutan “dunia kota/pusat politik”.

Tayangan drama Ayahanda yang diadaptasi daripada karya Azizi Hj Abdullah, mendapat sambutan luar biasa, malah novel Ayahanda turut dicari sehingga habis di pasaran. Pesanan utama kebanyakan penjual buku dalam talian seminggu dua itu adalah untuk novel Ayahanda. Puncaknya, pengakhiran drama tersebut menyaksikan pembelian dalam talian yang mencanak naik sehingga menghabiskan stok buku di pasaran dan stok penerbit sendiri. Siri drama Ayahanda tamat pada hari Jumaat, pada hari Isnin sahaja menurut penerbit, terdapat 400 buah tempahan masuk tidak termasuk tempahan sebelumnya. Dan, semua tempahan ini tidak dapat dipenuhi kerana stok penerbit sudah habis.

Novel Ayahanda menjadi fenomena hari ini walaupun sudah terbit lama dahulu. Fenomena ini juga yang melanda pasaran buku sastera saat kekacauan pandemik dan politik hari ini. Novel Seorang Tua di Kaki Gunung, Tivi, Sampah, Srengenge, Detik-detik Diri di Daerah Daif, Senjakala, Rimba Harapan, dan kumpulan cerpen Patah Tumbuh kini menjadi tumpuan masyarakat pembaca, rata-ratanya pembaca baharu di luar lingkungan sastera. Hal ini sangat memperlihatkan masyarakat mencari pelarian ke dalam sastera, mencari nilai dan moral dalam karya-karya besar sastera yang membawa perjuangan tersebut. Sepertimana masyarakat Inggeris pada abad ke-18 mencari nilai dalam sastera apabila politik dan perindustrian menghancurkan nilai yang ada.

Pada saat ini, karya-karya sastera tinggi dengan perjuangan nilai dan moralnya sangat didambakan oleh masyarakat; dalam melepaskan diri daripada kebosanan perebutan kuasa politik dan kepayahan pandemik. Masyarakat seperti meraba-raba mencari dalam diri mereka melalui karya-karya sastera ini.

_________________________

S.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.