Oleh Karmila Azmi
14 Ogos 2021, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Walaupun Kongres Kebudayaan Kebangsan (KKK) yang menjadi asas pada Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) sudah berusia 50 tahun, sehingga kini ia tidak pernah dilihat sebagai alat penyatuan, sebaliknya menimbulkan lebih banyak permasalahan, seperti yang dibincangkan menerusi laman Facebook Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA), Pusaka dan jurnal Svara malam tadi.

Perbincangan itu yang menyentuh mengenai “Kongres Kebudayaan Kebangsaan: Ke Mana Selepas 50 Tahun?” menampilkan tiga ahli panel, Pensyarah dan Felow Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohd Faizal Musa; Pengasas dan Pengarah Pusaka, Eddin Khoo; juga artis visual, Yee I-Lan; sementara kurator bebas, Nur Hanim Khairuddin tampil sebagai pemudah cara.

Perkara yang boleh disimpulkan dalam perbincangan itu, KKK sekali gus DKK dilihat gagal menyatukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, manakala agama Islam dan Melayu dilihat terlalu mendominasi sehingga orang bukan Islam dan Melayu berasa terpinggir.

Hal ini disentuh oleh Mohd Faizal ketika menyebut, sastera sudah terlanjur jauh dan memberikan kesan kepada masyarakat keliling apabila Melayu dan Islam menjadi elemen penting.

Katanya, situasi ini bermula sejak era 1920-an apabila definisi Melayu itu diperluas kepada kumpulan etnik seperti Jawa dan Bugis oleh Abdul Hadi Hassan.

“Melayu sebelum itu dirujuk pada orang Minang, Melayu dan Johor, manakala setiap etnik lain dikenali dengan kaum mereka sendiri, seperti Jawa, Bugis, Orang Kelantan dan sebagainya.

“Namun membawa semua kumpulan etnik itu di bawah definisi Melayu menenggelamkan budaya asal mereka,” katanya.

Mohd Faizal berkata, Abdul Hadi menjelaskan idea itu dalam tiga jilid buku yang digunakan sejak 1920-an dan kemudiannya menjadi asas kepada pembentukan KKK. Hal ini katanya, diperkemas oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas pada tahun 1971 apabila menyarankan kedudukan Islam sebagai “poin” utama dan menjadi tunjang utama dalam KKK dan DKK yang menimbulkan dilema kepada budayawan, malah mengaitkan bahasa Melayu sebagai “bahasa Islam”.

“Perbincangan sedemikianlah yang diwarisi oleh sastera Melayu hari ini. Hal ini menyebabkan orang bukan Melayu tidak boleh menggunakan bahasa Melayu untuk menulis mengenai kepercayaan dan kefahaman mereka.

“Masalah ini membelenggu di Malaysia dan ia berpunca daripada DKK yang berat sebelah. Hal ini juga menyebabkan sastera daripada bahasa lain, mislanya Inggeris menjadi sastera sukuan. Ia kemudiannya dianggap sebagai sastera antarabangsa apabila memenangi hadiah sastera di luar negara,” katanya.

Bagi Eddin, secara jujur persoalan DKK atau KKK merupakan hal yang perlu diperkatakan kerana ia adalah sebahagian daripada realiti sejarah negara.

Namun katanya, Malaysia tidak memerlukan sebuah polisi budaya yang semacam KKK, sebaliknya harus dibina di luar kerangka politik.

“Kadang-kadang perbincangan kita tersangkut pada istilah Melayu itu. Penjajah British menjadikan Melayu seperti yang kita fahami hari ini. Mereka mencipatkan satu identiti yang jauh daripada rumpun asal mereka.

“Satu masalah kita, budaya kita banyak ‘dibajak’ oleh politik sehinggakan istilah-istilah seperti kemelayuan atau ketuanan itu sudah menjadi alat politik. Cubaan untuk melihat semula KKK pada tahun 2017 lebih memalukan dan teruk berbanding pada tahun 1971,” katanya.

Tegas Eddin, politik banyak mengubah landskap budaya, seperti yang berlaku di Kelantan apabila pemerintah mengharamkan banyak aktiviti budaya yang sebenarnya menjadi asas kepada DKK itu sendiri.

Katanya, hal itu bukan hanya menjejaskan aktiviti budaya itu sendiri tetapi hal-hal ilmiah yang mempengaruhi semangat negara bangsa anak watan.

Malah kata Eddin, mendiang ayahnya, sejarawan Profesor Khoo Kay Kim yang turut menjadi salah seorang pembentang semasa KKK 1971 menolak DKK kerana melihatnya sudah dipergunakan oleh wacana politik.

Sementara itu, Yee I-Lan menyifatkan, KKK ialah polisi yang memperlihatkan dominasi Semenanjung di dalam Malaysia sedangkan Malaysia dibentuk oleh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Katanya, Semenanjung seharusnya memasukkan semangat Malaysia dan bukan hanya mengharapkan Sabah dan Sarawak berbuat demikian. Hal ini bermaksud, DKK harus mengambil kira masyarakat di Borneo dan budaya itu bukan hanya Melayu, Cina dan India sahaja.

“Malaysia dibentuk oleh British mengikut model pembinaan negara mereka dan ketika ini kita melihat DKK itu didominasi oleh kebudayaan Melayu,” katanya.

Tonton sesi penuh wacana di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.