Oleh Orked Una
13 Ogos 2021, 23:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Azmah Nordin diumumkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah yang kedua selepas 31 tahun penganugerahan pertama diberikan kepada Allahyarham Datuk Ismail Abbas (Amil Jaya) pada tahun 1990. Azmah menerima Warkah Penghormatan daripada Kerajaan Negeri Sabah, wang tunai berjumlah RM30 ribu, kemudahan untuk penerbitan karya, dan penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang media khas yang diadakan secara dalam talian pada 13 Ogos 2021 (Jumaat) oleh Menteri Tugas-Tugas Khas, Yang Berhormat Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor.

Anugerah Sasterawan Negeri Sabah (ASNS) ini ialah pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah kepada sasterawan yang masih hidup, bermastautin di Sabah dan telah memberikan sumbangan cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusateraaan tanah air melalui ciptaan karya yang bermutu tinggi dalam bahasa Melayu.

Pada tahun 2020, ASNS telah dimulakan semula dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah. Jawatankuasa penilai terdiri daripada Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh bersama-sama Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul selaku Ketua Panel Penilai Bersama; dan panel penilai YB Datuk Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif, Profesor Madya Dr. Hajah Asmiaty Amat, dan Datuk Haji Ismail Bungsu.

Dasar penilaian tokoh ASNS adalah berdasarkan tiga kriteria, iaitu karya, pemikiran dan sumbangan tokoh tersebut.

Pertama, kuantiti dan kualiti karya dan pengiktirafan yang pernah diterima. Kedua, nilai pemikiran yang diketengahkan terhadap perkembangan sastera kebangsaan, khususnya di Sabah. Ketiga, sumbangan penulis kepada masyarakat.

Ketokohan Azmah sebagai pengarang Sabah tidak perlu disangkal lagi kerana beliau prolifik dalam pengkaryaan sejak karyanya disiarkan dalam majalah Wadah pada tahun 1987. Karyanya bukan sahaja menjalinkan pengetahuan tentang perkembangan ilmu terbaharu, tetapi tekun memerikan emosi watak-watak ciptaannya. Dua buah novelnya, iaitu Timulak Kapal Perang dan Pantai Kasih pernah diangkat menjadi novel pilihan Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (Komsas). Usaha beliau yang sedemikian menyokong pendirian pengkaryaannya bahawa sastera memperjuang kepentingan masyarakatnya. Karya beliau juga mendapat banyak perhatian dan kajian terperinci, serta menjadi kajian sarjana dalam kalangan penyelidik tempatan mahupun antarabangsa. Pada tahun 2020 sahaja, Azmah berjaya merangkul Hadiah Utama Hadiah Sastera Sabah 2018/2019 bagi kategori novel dewasanya, Gelora Menara (2018). Antara karyanya yang pernah menerima hadiah sastera termasuklah Timulak Kapal Perang (1989), Kukui (1990), Dari dalam Cermin (1992), Dukanya Abadi (1995), Menongkah Lumrah (1996), dan Syumul (2001).

Azmah Nordin yang berasal dari Kedah dan sudah menetap di Sabah sejak tahun 1973 merupakan seorang pengarang yang amat cemerlang dalam bidang kesusasteraan. Beliau sudah banyak menerima pengiktirafan, termasuk Hadiah Sastera Sabah, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Maybank-DBP dan Hadiah Esso-GAPENA. Pada tahun 2009, beliau telah menerima Anugerah SEA Write Award daripada Kerajaan Thailand.

Beli karya Azmah Nordin, novel Gelora Menara dan kumpulan cerpen Enigma.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.