Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSebagai penulis pemula, tentunya akan wujud seribu satu kebimbangan dan ketakutan yang bermain-main di fikiran ketika mahu menukang sebuah cerpen. Antara yang menjadi kerisauan termasuklah, adakah cerpen yang dihasilkan itu menepati ciri-ciri sebuah cerpen yang baik dan layak untuk diterbitkan? Apakah yang dikatakan sebuah cerpen yang baik? Bagaimanakah seorang editor menilai sesebuah karya sehingga membolehkan karya itu diterbitkan?
Justeru, bagi menjawab persoalan ini, Secangkir Kopi Jam Sepuluh yang disiarkan pada Sabtu, 10 Julai 2021 meneroka dan mengupas isu ini sebagai panduan. Dengan judul tajuk “Tip Cerpen Pasti Terbit”, dalam episod pertama musim keempat ini, Secangkir Kopi Jam Sepuluh memperkenal konsep baharu, iaitu dengan mengajak penonton untuk mula mengaplikasi ilmu penulisan, panduan dan teknik gaya bahasa yang telah dikutip dalam siaran yang lalu menerusi penulisan cerpen.
Satu lagi kelainan yang ditonjolkan dalam musim keempat ini ialah, menampilkan seorang tetamu panel yang berpengalaman luas dalam bidang editorial, iaitu Rozninah Abd. Azib. Memulakan kerjayanya sebagai pelukis di Bahagian Reka Bentuk di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1985, Rozninah yang ditugaskan di Bahagian Majalah telah pun menangani majalah Dewan Sastera selama 15 tahun. Antara karya nama-nama besar yang beliau tangani sepanjang perkhidmatan termasuk Fatimah Busu, Sasterawan Negara Dato’ Baha Zain dan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.
Nisah Haron memulakan perbincangan dengan memperkenal maksud eceran. Eceran ialah perkataan terbitan daripada ecer yang bermaksud runcit. Cerpen eceran ialah cerpen yang diterbitkan oleh media cetak dan tersiar dalam majalah dan akhbar. Nisah menyarankan untuk membaca cerpen-cerpen yang telah terbit di media cetak sebagai langkah permulaan bagi menulis cerpen. Calon penulis juga perlu mengenali rumah penerbitan dan mengetahui konsep atau tema sesebuah majalah atau akhbar melalui pembacaan karya yang telah diterbitkan enam bulan ke belakang.
Seorang penulis yang baik seboleh-bolehnya akan memudahkan tugas seorang editor dengan meminimumkan kesalahan dari sudut tatabahasa dan ejaan. Dari sudut teknikal pula, penulis wajar mengetahui ruang halaman yang disediakan, jenis dan saiz tulisan serta saiz langkau yang diterima. Misalnya untuk Dewan Sastera, format tulisan hendaklah dalam fon Arial, bersaiz 12 dan langkau dua baris.
“Patuhi tarikh akhir, jangan semberono menghantar karya tanpa tujuan. Setiap cerpen yang saya tulis saya sudah pastikan di mana saya mahu hantar,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, penulisan cerpen yang baik ialah penulisan yang mengandungi tiga perkara, iaitu manusia, peristiwa dan pemikiran. Penulislah yang mengawal ketiga-tiga unsur ini. Ada bahagian tertentu yang dibantu oleh editor untuk menambah nilai sesebuah karya. Namun, dalam hal pemikiran, ia berada di luar batas tugas seorang editor. Penulis cerpen yang baik berjaya membawa watak-wataknya dalam menangani satu-satu isu yang dibawakan. Hasilnya, pembaca dapat menghayati dan berfikir tentang maksud isu yang ingin disampaikan. Inilah yang dikatakan kematangan pemikiran yang terbias dalam penulisan.
Kenyataan itu mendapat sokongan Rozninah Abd. Azib. Katanya, “Setiap cerpen yang sampai ke meja akan saya baca secara cepat atau speed reading. Pertamanya, saya akan lihat isu yang dibawa dalam cerpen. Keduanya, perihal idea dan pemikiran, saya akan menilai komentar dan kritikannya, adakah ia menarik? Ketiga, saya akan lihat dari segi teknik dan gaya bahasa. Setelah itu, saya akan tempatkan cerpen itu mengikut kategori fail, iaitu Fail Sedia Terbit, Fail Lihat Semula dan Fail Tolak.”
Rozninah juga menyeru kepada para editor supaya tidak hanya menilai luaran cerpen dengan hanya melihat jumlah halaman panjang atau pendek tanpa membacanya. “Jangan fikir cerpen yang pendek, isinya cetek. Jika halaman itu panjang, mungkin boleh dijadikan dua atau tiga cerpen. Apa-apa pun berbincanglah dahulu dengan penulis,” katanya.
Seorang penulis mempunyai peluang berkarya yang luas jika penulis itu bijak merancang penulisannya. DBP menyediakan lapan majalah yang boleh diterokai oleh penulis untuk menyiarkan cerpen. Antaranya termasuklah majalah Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Dewan Siswa (yang menyediakan dua ruangan cerpen, iaitu Cerpen Daripada Siswa dan Cerpen Untuk Siswa), Dewan Budaya, Dewan Tamadun Islam, dan Tunas Cipta.
Pada zaman kini, ada banyak kemudahan dan pilihan bagi penulis untuk menerbitkan cerpen sendiri menerusi swaterbit. Namun, amat disyorkan untuk menghantar karya ke media cetak arus perdana sebagai langkah permulaan. Hal yang demikian penting oleh sebab kredibiliti dan prestij yang dimiliki oleh platform tersebut. Karya yang tersiar sudah pastinya teruji dan terbukti baik dan bagus.
Untuk menonton “Tip Cerpen Pasti Terbit” boleh tekan pautan ini.
Pelayar juga boleh terus ke halaman Secangkir Kopi Jam Sepuluh di Facebook untuk menonton episod-episod terdahulu.