17 Julai 2021, 22:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Persatuan Penulis Nasional Malaysia atau PENA menganjurkan Wacana PENA, sebuah program perbincangan yang mengumpulkan figura prolifik dalam dunia penulisan, dan bersama-sama mendalami pemikiran dalam dunia penulisan kini. Siri baharu ini bermula pada jam 9.00 malam, 16 Julai (Jumaat) dengan wacana sulung bertajuk “Menjadi Penulis itu Bagaimana?”.

“Secara tepatnya, bilakah turning point  yang membuatkan Dr. Saleeh menggelarkan diri sebagai penulis?” Mohd Khair Ngadiron, pengendali wacana memulakan perbincangan dengan soalan menarik. Panel pembicara ialah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (Presiden PENA) dan Datuk Dr. Budiman Mohd Zohdi (Setiausaha Politik Menteri Wilayah).

“Ketika cerpen saya bertajuk ‘Ranjau’ memenangi hadiah sastera, saya masih muda ketika itu, masih di peringkat universiti. Saya agak terkejut. Hadiah dan penghargaan tersebut yang meyakinkan saya untuk meletakkan menulis sebagai satu kerjaya,” jawab Saleeh dengan yakin.

“Saya mula menulis sejak umur 15 tahun, maka saya rasakan itulah waktu saya menjadi seorang penulis,” balas Budiman.

Kedua-dua jawapan ini menunjukkan kepelbagaian dalam pandangan dan idea yang menjadikan seseorang itu digelar sebagai penulis.

Budiman menambah, “Tak semua penulis mempunyai motivasi yang sama dalam proses menulis mereka. Ada yang menulis untuk memenangi hadiah sastera, dan ada yang seperti saya menulis untuk mengisi lompang keperluan rakyat.” Budiman menekankan lagi, pentingnya untuk membina nama pada peringkat awal kerjaya penulisan.

“Saya fikir, personaliti Datuk sendiri sebagai figura prolifik, memberikan nilai dalam penulisan itu,” sampuk Saleeh. Mengikut Saleeh, usaha mewujudkan sistem memberikan akreditasi pada penulis tempatan yang akan memberikan manfaat pada dunia penulisan tanah air. Justeru, penulis boleh mencari peluang untuk berkumpul dan bergerak dengan progresif dalam pelbagai kelompok penulis.

Salah satu faktor yang mencipta penulis berwibawa ialah elemen keterdesakan. “Keterdesakan itu merupakan satu keperluan dalam proses kreativiti. Kita mula menulis dengan rasa sengsara, tapi selepas siap satu karya, akan terbit rasa bahagia,” tambah Saleeh.

“Seseorang penulis tidak menetapkan batasan umur mereka, rupa fizikal mereka, pemilikan mereka, dan yang paling penting, penulis tidak membataskan apa-apa profesi mereka.” Budiman juga meletakkan profesion penulis itu bukanlah sebagai batu yang menghalang potensi.

Menurut beliau, seorang kontraktor boleh menulis tentang kekeluargaan dan seorang jurutera boleh menulis tentang seni masakan, jika mampu. Hal ini mampu mencipta keterdesakan juga, jika penulis itu betul-betul bermotivasi.

“Kita juga sebagai penulis perlu syok sendiri. Ada keadaan yang memaksa saya untuk memilih cara saya menulis, dan saya pilih apa-apa yang tepat bagi saya,” sebut Saleeh. Dalam beberapa aspek, dunia sastera ini dunia syok sendiri. Beberapa keadaan, penulis perlu berani untuk menulis, kerana sastera dan kreativiti memerlukan keberanian dan kesanggupan yang luar biasa daripada penulis itu. “Dan seorang penulis itu wajib untuk berprinsip,” tambah Saleeh.

Sempat berseloroh, para pembicara sempat berkongsi pendapat yang penulis dan kopi, merupakan satu kombinasi yang tidak dapat dipisahkan. ”Kopi saya dimasak menggunakan moka pot, kopi tuan mungkin dimasak dengan kaedah lain, menunjukkan juga yang kita ini penulis yang berbeza,” sempat Budiman berkongsi idea.

“Tapi kadang saya ambil teh kosong juga,” balas Saleeh.

Progam bicara ini boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.