3 Julai 2021, 09:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Mohamad Zuber Ismail menulis tentang pentingnya cerita rakyat daripada khazanah lisan sastera tradisional kita didedahkan kepada generasi muda, khususnya para pelajar di sekolah.

Karya sastera masyarakat pramoden atau pratulisan yang dicipta, terhasil berdasarkan pengamatan dan sensitiviti tajam pengarang terhadap suasana alam sekitar dan masyarakat pada ketika itu. Keintiman dan kemesraan masyarakat dengan alam flora dan fauna telah berjaya melahirkan sebuah karya sastera yang cukup unik dan bernilai.

Karya sastera Melayu tradisional, khususnya cerita rakyat Melayu lahir sebagai kreativiti simbolik dan pemikiran kritis masyarakat Melayu tradisi. Tradisi lisan telah berjaya membawa transformasi intelektual dan anjakan paradigma dalam kesusasteraan di Alam Melayu. Daripada sastera lisan, cerita rakyat telah berkembang sehingga berjaya didokumentasikan dan seterusnya difilemkan dalam bentuk animasi. Kurikulum Standard Sekolah Menengah, Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia (2013), melalui subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan telah memasukkan cerita-cerita rakyat di bawah tema Warisan Kepelbagaian Budaya Melayu sebagai satu langkah alternatif ke arah pengekalan dan penghargaan terhadap warisan budaya dan pemahaman tradisi yang perlu didedahkan kepada generasi muda. Penghayatan nilai-nilai moral dan teladan yang tinggi dalam cerita-cerita rakyat ini merupakan penyumbang pada pembentukan nilai dan jati diri generasi muda yang bertepatan dengan inti pati dan saranan yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Sastera rakyat ialah kesusasteraan yang lahir hasil daripada cetusan pemikiran, idea dan imaginasi masyarakat Melayu tradisi. Lazimnya, sastera rakyat merujuk kesusasteraan rakyat dari masa lampau, yang telah diperturun daripada satu generasi kepada genarasi yang lain dan telah menjadi warisan dalam masyarakat. Sastera rakyat merupakan satu bentuk tradisi lisan yang lahir pada zaman pratulisan. Tradisi lisan membawa pengertian yang luas cakupannya, meliputi bahan naratif dan bukan naratif. Sastera rakyat yang berbentuk cerita dikenali sebagai cerita rakyat atau cerita lisan. Sastera rakyat yang berbentuk naratif ini terdiri daripada cerita lipur lara, cerita jenaka, cerita mitos, cerita legenda, cerita teladan, dan cerita binatang.

Tradisi lisan, budaya lisan dan adat lisan ialah pesan atau kesaksian yang disampaikan secara turun-temurun dari satu gerenarsi ke generasi berikutnya. Pesan atau amanat itu disampaikan dalam bentuk ucapan, pidato, nyanyian dan ungkapan yang terdapat dalam bentuk pantun, cerita rakyat, nasihat, balada, lagu, atau peribahasa. Melalui cara ini, suatu masyarakat dapat menyampaikan sejarah lisan dan pengetahuan lain kepada generasi bawahan sebagai penerusnya tanpa melibatkan bahasa tulisan. Contoh cerita rakyat Melayu termasuk Hikayat Sang Kancil, Kisah Si Luncai dengan Labunya, Kisah Si Tanggang, Mat Jenin, Pak Pandir, Pak Belalang, Hikayat Malim Deman, dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda.

Karya sastera masyarakat pramoden atau pratulisan yang dicipta, terhasil berdasarkan pengamatan dan sensitiviti tajam pengarang terhadap suasana alam sekitar dan masyarakat pada ketika itu. Keintiman dan kemesraan masyarakat dengan alam flora dan fauna telah berjaya melahirkan sebuah karya sastera yang cukup unik dan bernilai. Pengamatan suasana sekeliling ini diteliti dengan penuh kehalusan dan kebijaksanaan. Penyampai cerita memperlihat kekreatifan pemikiran masyarakat yang disesuaikan dengan realiti budaya dan konvensi masyarakat tradisi. Teknik pengkaryaan dan gaya penceritaan tradisi yang dianggap kuno, lesu dan lapuk ini sebenarnya menuntut ketajaman dan kekereatifan minda dan kecerdasan berbahasa yang lebih mencabar daripada situasi berkarya hari ini. Sebalik ciri-ciri yang ketara kaku, mudah dan stereotaip, tersemat kebijaksanaan dan ketamadunan silam yang sukar untuk ditandingi oleh masyarakat moden hari ini.

Kebanyakan cerita rakyat kita juga kaya dengan dengan unsur humor atau lucu. Cerita-cerita sebegini berfungsi untuk menghiburkan dan mendatangkan kegembiraaan kepada para pendengar. Namun begitu, dalam inti hiburan dan gelak ketawanya, terdapat juga unsur kritikan sosial dan pengajaran. Oleh sebab kehidupan masyarakat tradisional tidak mempunyai media untuk memberikan hiburan kepada masyarakat, cerita sebegini diciptakan dalam bentuk seni sastera untuk menarik perhatian. Masyarakat menghabiskan masa rehat mereka untuk mendengar cerita lisan yang disampaikan oleh tukang cerita. Penat lelah berkerja dan berhempas pulas membanting tulang empat kerat terubat dengan mendengar kehebatan, kecantikan, kesaktian anak-anak raja yang sangat istimewa. Begitu juga dengan cerita jenaka. Unsur-unsur lucu yang ditimbulkan dalam cerita jenaka dengan pelbagai bentuk kelucuan menyampaikan kegembiraan dan gelak tawa keriangan lalu berjaya membuatkan mereka lupa seketika akan kesengsaran dan kesempitan hidup. Dalam penyampaian cerita rakyat, elemen pantun juga diselitkan dan dituturkan dengan tujuan untuk mengusik, khususnya antara teruna dengan dara.

Cerita rakyat juga banyak menyelitkan daya fikir orang Melayu, malah memang jelas sastera rakyat Melayu terpancar pandangan alam Melayunya (Malay worldview). Pandangan alam Melayu ini cukup mementingkan perhubungan baik antara sesama manusia, antara manusia dengan alam tabiinya, dan antara manusia dengan alam ghaibnya atau alam metafiziknya. Sebab itulah dalam sastera rakyat, terpancar segala macam kias ibarat yang mengandungi unsur-unsur pendidikan dan teladan. Kesemua ini membuktikan betapa masyarakat tradisi juga sangat tajam memerhati alam sekeliling dan merenungi pengalaman hidupnya yang penuh falsafah. Daripada cerita-cerita inilah tersemai nilai pengajaran sebagai panduan untuk menelusuri arus kehidupan.

Sastera rakyat yang terdapat dalam masyarakat Melayu dipercayai juga wujud dalam masyarakat lain di dunia. Sastera rakyat membawa mesej yang boleh diterima oleh masyarakat sejagat.

Sastera rakyat sentiasa berkembang dan relevan sepanjang zaman, bak kata pepatah “Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan”. Inti pati dalam kandungan karya sastera rakyat ini amat sesuai untuk diteladani, diikuti dan dihayati. Sastera lama terus-menerus membawa satu anjakan paradigma dan transformasi dari segi etos, akal jernih dan khazanah ilmu orang-orang tua dahulu. Sastera lama sentiasa komited untuk membudayakan dan mentamadunkan manusia dan membuktikan bahawa sastera lama tidak pernah tersisih dan terpinggir daripada dunia moden. Sastera rakyat merupakan manifestasi lambang keikhlasan dan keluhuran akal budi warisan khazanah ilmu masyarakat tradisi yang utuh terpahat dalam dunia kesusasteraan tanah air.

Sastera rakyat yang terdapat dalam masyarakat Melayu dipercayai juga wujud dalam masyarakat lain di dunia. Sastera rakyat membawa mesej yang boleh diterima oleh masyarakat sejagat. Terdapat banyak persamaan dari segi segi corak dan isi cerita sastera rakyat Melayu dengan corak dan isi cerita rakyat yang dimiliki oleh masyarakat lain di dunia. Jika diimbas sejarah sastera lisan secara lebih global, sastera lisan juga berlaku dalam masyarakat luar negara, seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Belanda, Rusia, New Zealand, Australia, Afrika, dan India. Cerita-cerita rakyat ini telah berjaya menjadi cerita yang popular pada kurun ke-18. Sebagai contoh, cerita tentang kepahlawanan Robin Hood di England dan Hercules di Greece.

Ternyata kisah sastera rakyat telah membawa satu fenomena dalam dunia perfileman masa kini apabila cerita-cerita tersebut diubah suai mengikut kesesuaian zaman. Hasil gabungan idea dan kreativiti karyawan filem telah berjaya diadaptasi ke layar perak. Lantaran itu, pada masa kini, cerita rakyat ini telah dikenali di seluruh seluruh dunia dan kesinambungan daripada situasi tersebut terhasil filem-filem yang memaparkan kisah-kisah hebat tentang hero yang gagah perkasa, pintar, bijaksana dan memiliki kemahiran luar biasa serta kesaktian. Di Rusia, cerita-cerita seperti Tarzan, dewa-dewi di kayangan, ahli-ahli sihir dan sebagainya telah melahirkan pelbagai versi cerita yang kemudian tersebar ke negara-negara lain. Cerita-cerita tersebut telah meninggalkan kesan yang ketara dan amat mendalam terhadap penceritaan cerita. Demikian halnya sastera rakyat di Malaysia yang telah berjaya difilemkan, seperti Puteri Guung Ledang (2004) yang telah mengangkat martabat negara dalam industri perfileman antarabangasa. Karya sastera bercorak naratif ini telah menjadi tumpuan dan perhatian masyarakat dunia apabila berjaya memperlihat keunikan seni budaya dan keunikan bahasa masyarakat Melayu tradisi.

Kesimpulannya, tradisi lisan merupakan khazanah warisan budaya bangsa yang tidak ternilai harganya. Walaupun sastera rakyat hanya secebis daripada ini warisan itu, namun peranan dan sumbangannya amat penting demi membina dan membentuk budi fikir dan rasa kolektif masyarakatnya untuk sepanjang zaman. Peranannya bukan sahaja sebagai sumber hiburan tetapi juga sebagai wahana pendidikan, sumber ilmu rujukan, gambaran sejarah budaya bangsa, dan lambang kecendekiawan pemikiran masyarakat tradisinya. Justeru, warisan ini perlu dipertahankan, diperelokkan dan terus-menerus didokumentasikan dalam pelbagai versi untuk tatapan generasi seterusnya. Kita harus melihat tradisi lisan bukan lagi sebagai suatu produk yang tidak menyumbangkan apa-apa pulangan dalam bentuk ekonomi tetapi perlu diolah melalui daya kreativiti untuk menjana nilai komersial dalam pembangunan dan permintaan dunia moden hari ini. Kesusasteraan sememangnya harus dilihat lebih jauh daripada hanya sebuah subjek bagi satu disiplin ilmu, kerana kesusasteraan sebenarnya memberikan sumber ilmu dan penghayatan halus tentang cara kita menilai dan menempatkan diri kita di dunia sekarang. Oleh sebab itu, kedudukan sastera rakyat perlu dimartabatkan dan diperkasakan dalam arus pembangunan ekonomi dan sosiobudaya masyarakat Malaysia.

_________________________

Mohamad Zuber Ismail (PhD) telah berkecimpung dalam dunia pendidikan selama lebih kurang 20 tahun. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa, Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Pagoh, Johor. Pernah dipinjamkan oleh Bahagian Pemasaran Pendidikan Antarabangsa, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia ke Uzbekistan State World of Languages University selama dua tahun untuk program pembelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar asing. Pernah menjadi Felow Akademik di Jabatan Bahasa Melayu-Indonesia, Johann Wolfgang Goethe University of Frankfurt, Jerman dan Profesor Pelawat di Universitas Brawijaya, Jawa Timur, Indonesia. Beliau turut melibatkan diri dalam pembentangan kertas kerja di dalam dan luar negara yang berfokuskan dalam pengaplikasian teori-teori kritikan sastera serta aktif dalam usaha menjalinkan kerjasama dua hala dengan negara Korea dan Jepun untuk penganjuran program intensif Bahasa Melayu untuk pelajar asing.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi