28 Jun 2021, 11:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menulis ialah kerja yang sunyi. Begitu juga teks dan tulisan yang terhasil daripada aksara yang kaku sifatnya. Hal ini menjadikan penulisan semakin sepi. Namun, perkara ini tidak bermaksud satu-satu penceritaan itu tidak boleh menjadi riuh mahupun gamat. Penulis boleh menghidupkan cerita dan menjentik deria dengar pembaca dengan memanfaatkan kesan bunyi.

Menurut Nisah Haron dalam Secangkir Kopi Jam Sepuluh musim ketiga episod kelima yang disiarkan pada Sabtu, 19 Jun 2021, kesan bunyi dalam penceritaan dapat memberikan nilai tambah dalam penulisan. Penulisan akan jadi lebih lunak dan tinggi nilai estetika. Rima misalnya, yang banyak terdapat dalam pantun memanfaatkan bunyi yang sama pada huruf akhir atau kata akhir dalam sesuatu rangkap.

Di sini padi di sana padi,
          Baru bernama sawah dan bendang;
Di sini budi di sana budi,
          Barulah sempurna bernama orang.

Penulis juga boleh mencipta kesan bunyi yang dapat menimbulkan jangkaan-jangkaan dan perasaan-perasaan tertentu kepada pembaca. Misalnya bunyi daun pintu berkeriut, pinggan kaca jatuh ke lantai atau dahan kayu dipijak orang. Begitu juga bunyi daripada binatang seperti anjing yang menyalak, burung yang berkicau atau kucing yang mengiau. Kesemua kesan ini memberikan suasana yang mengasyikkan seolah-olah pembaca turut sama mendengar bunyi yang dituliskan. Pembentukan kata yang ditiru daripada bunyi alamiah ini dinamakan sebagai onomatopeia.

Nisah Haron mempamerkan contoh puisi tradisional yang mengguna pakai kesan bunyi yang lunak dan efektif untuk menangkap perhatian pembaca (pendengar).

Sastera tradisional terdiri daripada sastera lisan dan sastera bertulis. Jelas Nisah, dalam sastera lisan misalnya, nazam merupakan wadah yang sering digunakan oleh masyarakat lama terutamanya dalam hal-hal berkaitan ilmu akidah. Nazam 25 Rasul dan Nazam Sifat 20 sebagai contoh menggunakan kaedah mnemonik atau perkataan-perkataan yang mudah diingat supaya proses menghafal jadi lebih mudah.

Perkataan-perkataan yang mudah diingati ini disebut berulang-ulang kali. Amalan ini menimbulkan kesan bunyi dan kesan penegasan. Hal ini juga dapat dilihat dalam surah-surah lazim dalam ayat suci al-Quran. Surah-surah ini sangat jelas unsur bunyi dan rimanya. Hasilnya, mesej dapat disampaikan dengan baik, ayat-ayat suci mudah dialunkan dan memberikan kefahaman yang jelas kepada masyarakat pada masa itu.

Dalam penulisan prosa, penulis boleh juga mengulang-ulang sesuatu kata atau frasa pada permulaan ayat atau akhir ayat. Jika pengulangan itu berlaku pada permulaan ayat, hal ini dinamakan sebagai anafora. Jika pada akhir ayat, dipanggil epifora.

Bersuku berwaris
Jauh ada, dekat pun ada
Jika jauh didengar-dengarkan
Jika dekat dipandang-pandangkan

Nisah Haron, Mencari Locus Standi (2004)

Dalam contoh di atas, pengulangan ‘ada’ menggambarkan epifora. Pengulangan ‘jika’ pula menggambarkan anafora.

Pengulangan juga boleh terhasil dalam sesuatu perkataan. Pengulangan bunyi vokal, misalnya dalam perkataan “sesukat”, “secupak”, “tokoh” dan “pokok” dinamakan sebagai asonansi. Dalam puisi Amir Hamzah misalnya, asonansi dapat menghidupkan teks dengan kesan bunyi vokal yang nyata.

Habis kikis
Segala cintaku hilang terbang.

Amir Hamzah, “Padamu Jua”

Aliterasi pula terhasil apabila bunyi atau huruf pertama pada beberapa perkataan yang berturutan dituliskan berulang-ulang. Kebanyakan kata ganda menggunakan unsur aliterasi. Sebagai contoh, mandi-manda, desas-desus, sampah-sarap.

Kesan bunyi bukan sahaja dapat menghidupkan teks yang sunyi, malah pembaca akan turut larut dalam pembacaan dan ternanti-nanti dengan bayangan jangkaan atau perasaan tertentu semasa membaca. Namun, penggunaan kesan bunyi ini haruslah dimasukkan dengan penuh kewajaran dan keseimbangan. Janganlah terlalu lewah penggunaannya sampai hilang maksud dan kejelasan makna sebenar kandungan penulisan yang mahu dibawa.

Dengan tamatnya episod kelima ini, maka berakhirlah siaran Secangkir Kopi Jam Sepuluh untuk musim yang ketiga. Insya-Allah, Secangkir Kopi Jam Sepuluh akan menemui penonton pada siri baharu dalam musim keempat sedikit masa lagi. Nantikan ya!

Untuk menonton siaran terbaharu “Sound Effects dalam Penceritaan”, boleh klik di sini. Tuan Puan juga boleh terus ke halaman Secangkir Kopi Jam Sepuluh di Facebook untuk menonton episod-episod terdahulu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.