Oleh Zaidi Saad
Diterbitkan pada 28 Jun 2021, 10:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Program Pengucapan Puisi Antarabangsa: Kedamaian Dunia bersiaran melalui Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 Jun 2021 (Ahad), pukul 9.00 malam. Program ini anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman selaku penaung Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) berucap dan merasmikan program ini dengan tema “Kedamaian Dunia”. Beliau berkata, sebanyak 20 negara telah bergabung untuk menyampaikan satu suara kedamaian walaupun berbeza negara, adat dan budaya.

Seluruh dunia mengimpikan kedamaian tanpa mengira sempadan, ruang dan waktu. Katanya lagi, program ini dapat menjadi suara yang dapat menjadi kekuatan untuk terus membina sebuah penghidupan dengan penuh semangat. Selain itu, program ini wajar diteruskan bagi menzahirkan lambang keterbukaan manusia terhadap pelbagai inspirasi dan perspektif bagi memikirkan falsafah baharu dalam dunia pemuisi.

Antara negara yang menyertai program ini temrasuklah Thailand, Brunei, Singapura, Filipina, India, Korea Selatan, Rusia, Sepanyol, China, Palestin, Australia, dan Belanda.

Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Zurinah Hassan, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, dan Profesor Datuk Dr. Hashim Yaacob, Naib Canselor Universiti Malaya ke-8, antara peserta yang mendeklamasikan puisi.

Selain itu, pemuisi dunia yang turut mendeklamasikan puisi ialah Datuk Beelie Tengah (Brunei), Amb Maid Corbic (Bosnia), Zhang Ziyu (China), Helvy Tiana Rosa (Indonesia), Ivhet Cortez (Mexico), Marlene Pasini (Sepanyol), Dr. Emdad Hossain (India), Jami La (Maghribi), Amin Mujtaba (Afghanistan) dan Muhammad Auwal Said (Nigeria), Dr. Victor Pogadaev (Rusia), Sita Aulliya (Belanda), Sam Sumadi dan Ratnasam Sib (Singapura), Dr. Suraiya Chapakiya (Thailand), dan Myoung Sook Kang (Korea Selatan).

Oleh sebab sambutan yang menggalakkan, program ini dibahagikan kepada dua malam, iaitu malam pertama pada 27 Jun dan malam kedua pada 28 Jun, bermula pukul 9.00 malam. Ucapan “Selamat Hari Puisi Malaysia” dimulakan pada awal program ini. Program kemudian diteruskan dengan acara deklamasi puisi, bacaan syair dan persembahan lagu puisi.  

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi