Diterbitkan pada 27 Jun 2021, 22:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Bagaimana Orang Asli mahu menulis, kalau dulu kena lari daripada ‘sangkil’ (penangkap hamba), sekarang kena risau dengan tanah adat akan dirampas.” Ungkapan pengarang Akiya tersebut bukan tuduhan semberono tetapi realiti sejarah yang perlu dipertimbangkan.

Akiya atau nama sebenarnya, Mahat a/l Cina menuturkan pandangannya pada siri diskusi webinar, Writing His Own Culture: Akiya, A Postcolonial Indigenous Storyteller on Orang Asli Enslavement in the Malay World anjuran Pusat Sejarah Rakyat. Ikut serta dalam pembentangan ini ialah ahli antropologi Profesor Dr. Wan Zawawi Ibrahim. Wan Zawawi memetakan ruang dan memori sejarah yang cukup traumatik bagi Orang Asli lewat dua karya Akiya berjudul Hamba (2013) dan Perang Sangkil (2007).

Latar sejarah yang membentuk kedua-dua plot dan ambiens Hamba dan Perang Sangkil menampilkan awal “campur tangan” British di Tanah Melayu. Dibayangi oleh Perjanjian Pangkor 1874, Tanah Melayu menyaksikan bukan sahaja campur tangan British dalam hal ekonomi, bahkan adat istiadat dan budaya tempatan. Salah satunya: perhambaan. Dikhabarkan, aktiviti ekonomi perhambaan memberikan hasil yang cukup lumayan serta melambangkan status pemimpin, seperti yang dinyatakan oleh Andaya (2017) dan Reid (1983). Kehadiran British di Tanah Melayu bahkan tidak meredakan sekelumit pun perhambaan. Perhambaan tradisi dijalankan sebagai keperluan untuk mendapatkan tenaga kerja bagi mengerjakan sawah padi orang tempatan untuk memastikan kelangsungan sumber makanan cukup. Namun begitu, puluhan ribu pekerja migran masuk ke Tanah Melayu pula bagi memastikan projek imperialisme British berjalan. Perhambaan menjadi “darah daging” yang mengabsahkan penjajahan.

Kedua-dua novel Akiya merakamkan hal itu. Namun persoalannya, adakah masyarakat semasa bersedia untuk membincangkannya, lebih-lebih lagi didedahkan dalam kurikulum sekolah? Namun begitu, terdapat dua kemungkinan seperti yang dibahaskan oleh Wan Zawawi.

Pertama, meneliti peristiwa Perang Sangkil sebagai sebuah memori kolektif. Tujuannya supaya memahami keganasan yang berlaku ketika “penjarahan untuk perhambaan” (disebut sebagai “sangkil”) yang berleluasa masa itu menyerupai penindasan yang dihadapi oleh Orang Asli sekarang atas pencerobohan terhadap tanah adat mereka secara terus-menerus. Hanya dengan memori kolektif yang membuahkan tindakan kolektif dapat mengelakkan hal ini daripada berulang. Lebih-lebih lagi, negara kini berdepan dengan krisis ekologi yang semakin meruncing.

Kedua, tekad Akiya untuk terus bercerita itu sendiri merupakan satu tindakan politik. Sikap ini suatu manifestasi kewujudan ruang dan memori sejarahnya. Beliau membukakan dirinya untuk menulis peristiwa gelap ini, sekali gus memperbesar kemungkinan menandingi naratif sejarah kontemporari. Naratif secara logiknya tidak bergerak sehala, tetapi berturutan dan pengembangannya tidak pernah selesai. Bahkan, untuk meletakkan pengalaman membaca Akiya seperti membaca naskhah sastera pascakolonial itu sendiri pun sukar. Apatah lagi, puing-puing kolonial yang membenarkan “penghambaan” itu sendiri masih utuh walaupun dinamiknya berubah-ubah. Oleh sebab itu, karya Akiya perlu ditelesuri jejaknya agar kita, sebagai sebuah masyarakat, menemui dirinya.

Program bicara ilmiah ini boleh ditonton di sini. Novel Hamba Akiya boleh dibeli di sini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi