Diterbitkan pada 22 Jun 2021, 12:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sejarah Orang Asli di Malaysia tidak begitu dikenali. Jika ada sumbernya hanyalah kajian akademik yang kurang sampai kepada rakyat. Orang Asli hanya dikenali sebagai sebahagian kaum di Malaysia dan duduk di pedalaman.

Justeru, kisah perhambaan dalam kalangan Orang Asli yang berlaku pada kurun ke-17 dan ke-18 tidak banyak diketahui. Hal ini merupakan sejarah lisan yang tidak banyak didokumentasikan.

Namun, bagi novelis Mahat a/l Cina atau nama penanya Akiya, kisah perhambaan dalam kalangan Orang Asli itu menjadi nadi kepada dua buah novel tulisannya, Perang Sangkil (2007) dan Hamba (2013).

Kedua-dua naskhah ini diperkatakan dalam acara webinar anjuran Pusat Sejarah Rakyat, Writing His Own Culture: Akiya, A Postcolonial Indigenous Storyteller on Orang Asli Enslavement in the Malay World yang berlangsung secara dalam talian pada 21 Jun 2021 8.30 malam. Selain Akiya, acara itu juga menjemput Profesor Adjung Universiti Taylor, Malaysia, Profesor Dr. Wan Zawawi Ibrahim.

Bagi Wan Zawawi, perbincangan beliau lebih tertumpu kepada pemikiran pascakolonial daripada bangsa terpinggir di Malaysia. Katanya, kedua-dua naskhah Akiya itu menyentuh mengenai sejarah bangsa penulisnya sendiri yang menggambarkan harapan dan identitinya.

Akiya berbicara dalam acara wacana ilmiah yang berlangsung hampir dua jam.

“Ia mungkin fiksyen tetapi ia juga merupakan suara orang asli yang menuntut jati diri, budaya, maruah dan ilmu,” katanya.

Tegas Wan Zawawi, kisah perhambaan dalam kalangan Orang Asli yang dilarikan dan dijual kepada pembesar pada zaman itu banyak juga direkodkan oleh orientalis, malah turut menjadi sebab mengapa Residen British ke Perak, JWW Birch dibunuh.

Mengikut sejarah, tindakan Birch yang cuba mencampuri amalan pembesar di Perak dilihat sebagai melanggar adat istiadat dan amalan budaya setempat, tetapi hal itu tidak terkandung dalam Perjanjian Pangkor.

Bagi Akiya, novelis kelahiran Tapah, Perak, kedua-dua novel ini saling berkait. Kedua-duanya merakamkan pengalaman orang-orang tua masyarakat Orang Asli yang dikutipnya.

“Umumnya karya saya fiksyen tetapi ada juga sebahagiannya sememangnya benar-benar berlaku dan dunia perlu tahu mengenai kebenaran itu,” katanya.

Akiya malah sedikit emosional dalam hal itu walaupun beliau kelihatannya berhati-hati dalam menyuarakan pendapat, “Pada sambutan Hari Orang Asal, saya ingin ajak kawan-kawan untuk bertafakur di kubur Birch (JWW Birch) kerana membebaskan Orang Asli daripada perhambaan. Dialah bapa pembebasan orang Asli.”

Mungkin dialog itu terlontar ikhlas dan terpulanglah kepada empunya badan apakah maksudnya. Namun, Akiya juga ikhlas mengungkapkan, Orang Asli tidak ramai yang mahu membangunkan diri. Sebahagiannya sudah berasimilasi dengan masyarakat Melayu dan tidak lagi mahu mengaku Orang Asli, manakala sebahagian lagi berada dalam dunia sendiri.

“Kerajaan banyak memberi bantuan, tetapi kita juga perlu ingat bukan Orang Asli saja perlu dibantu,” katanya.

Hal ini menjelaskan pemikiran Akiya, misalnya dalam naskhah Perang Sangkil, walaupun komuniti Orang Asli berhadapan dengan kumpulan “gob”, iaitu pemburu hamba untuk dijual kepada pembesar, tetapi mereka tidak pula bertindak melawan ketidakadilan itu.

Sebaliknya, mereka hanya melarikan diri dari satu lokasi ke lokasi lain dan jika dibaca naskhah ini, kebanyakannya bercerita mengenai keperluan mengisi perut.

Akiya ialah penulis yang mempunyai pemikiran yang besar. Sayangnya, naskhah beliau tidak dibangunkan dengan baik sebagai sebuah karya sastera. Namun, hal ini tidak pula menafikan kekuatan pemikiran yang dibawakan, terutama dalam novel sekuel Perang Sangkil, Hamba.

Akiya kerap muncul dalam landskap sastera kebangsaan ketika beliau masih berkhidmat di RTM, malah karyanya kerap diulas di media arus perdana. Namun sejak bersara, Akiya jarang-jarang muncul.

Malah beliau sendiri menyebut, ramai penggiat sastera kebangsaan termasuk Sasterawan Negara yang menjemputnya untuk bersama-sama mereka tetapi dia sebagai penulis merasakan karyanya masih kecil dan tidak layak untuk berganding.

Akiya insan yang rendah diri tidak setanding dengan karyanya yang besar.

Program bicara ilmiah ini boleh ditonton di sini. Novel Hamba Akiya boleh dibeli di sini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi