24 Mei 2021, 12:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wajarkah kelab sastera ditubuhkan di sekolah? Jika difikir-fikirkan, hal ini amat wajar kerana kelab tersebut dapat memberikan peluang yang lebih luas kepada pelajar yang meminati bidang kesusasteraan untuk aktif dalam hal-hal kesusasteraan, baik berbentuk apresiasi mahupun penulisan.

Tidak dinafikan Persatuan Bahasa Melayu di sekolah turut menyentuh soal kesusasteraan. Walau bagaimanapun, kewujudannya masih hanya terbatas pada hal-hal yang berkaitan dengan bahasa sahaja dan jarang-jarang mampu bergiat lebih aktif dalam kegiatan sastera yang khusus.

Kelab sastera wajar ditubuhkan dari peringkat sekolah rendah lagi untuk menanamkan semangat mencintai sastera dan budaya pada peringkat awal. Kewujudan kelab sastera di sekolah rendah boleh menggalakkan semua pelajar mendekati bidang itu, tanpa mengira minat genre mereka.

Seperkara yang perlu disedari ialah, sudah ada kanak-kanak sedari tujuh tahun yang mempunyai bakat menulis. Namun begitu, oleh kerana tiada cara atau pendedahan yang berkesan untuk menjejaki dan membimbing minat serta bakat, usaha memupuk minat ini mati begitu sahaja. Oleh itu, kelab sastera di sekolah dapat membantu mencungkil dan mengembangkan bakat-bakat baharu.

Bagi pelajar sekolah menengah pula, tidak semua yang meminati kesusasteraan datang daripada aliran sastera. Sebaliknya, ramai juga yang muncul daripada aliran sains melalui pendedahan mereka terhadap bahan-bahan KOMSAS. Kumpulan bukan dari aliran sastera inilah yang perlu dikesan dan diasuh.

Antara yang lebih penting daripada penubuhan kelab sastera ialah mengukuh dan menumbuhkan minat terhadap kesusasteraan dalam kalangan pelajar. Jika hal ini diwujudkan pada peringkat sekolah rendah lagi, minat boleh ditumbuhkan lebih awal, dan akan dapat diperkukuh pada peringkat sekolah menengah.

Penulis bebas dari Kelantan, Salman Sulaiman bersetuju dengan cadangan penubuhan kelab sastera di sekolah. Beliau juga bersetuju dan turut mengatakan lebih baik jika bermula dari sekolah rendah.

“Jika kita ada kelab untuk subjek lain, mengapa tidak sastera? Lihat bagaimana sistem pendidikan di Barat menghargai karya para sasterawan mereka dan menerapkan perkara itu sejak kecil, iaitu di sekolah rendah. Dalam hal ini, Barat patut dicontohi,” katanya.

Memang sekarang, kata Salman lagi, kita ada ramai sasterawan muda yang berpendidikan sains seperti doktor perubatan, jurutera dan jurubina.

“Sastera memang untuk semua orang tanpa mengira dalam bidang apa-apa pun. Justeru, penubuhan kelab sastera di sekolah menengah adalah sangat tepat, dan perlu dibuka kepada semua pelajar dari pelbagai aliran,” tegas Salman yang menulis sajak dan cerpen.

Khairuddin Ayip pula mengatakan guru penasihat setiap persatuan perlu didedahkan dengan aspek sastera yang lebih luas.

Tambah mantan pegawai perkhidmatan pendidikan yang aktif menulis pada 1980-an dan 1990-an itu, kelab sastera boleh digabungkan dengan kelab budaya menjadi persatuan sastera dan budaya. Untuk itu, katanya, hal ini memerlukan guru yang arif dan meminati sastera.

Kumpulan sajak Kuala (1983) yang diterbitkan daripada usaha GAPRI di Sekolah Menengah di Terengganu.

“Banyak karya sastera berkembang seiring dengan budaya seperti pantun. Tidak dinafikan sekarang ialah zaman kepesatan Revolusi Perindustrian 4.0, dan sastera turut terkena tempiasnya. Walau bagaimanapun, sastera dibawa seiring dengan kemajuan industri tersebut,” kata Khairuddin yang kini bertugas sebagai perunding penerbitan agensi kerajaan dan swasta.

Penyair Nassury Ibrahim turut bersetuju dengan penubuhan kelab sastera ini. “Jika ada kelab bahasa dan kelab budaya di sekolah, mengapa tidak kelab sastera? Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah di Dungun, Terengganu misalnya, pernah mewujudkan persatuan semacam kelab sastera yang diberi nama Gabungan Penyair Remaja Intan atau GAPRI,” ujar Nassury, menghimbau sejarah kira-kira 36 tahun lalu.

Menurutnya, GAPRI bergiat rancak, termasuk berhasil menerbitkan kumpulan sajak berjudul Kuala pada tahun 1983.

Tambah Nassury, antara penulis yang berjaya dilahirkan oleh GAPRI ialah Tuan Faridah S. Abdullah, Rozaman Ismail, Ameer Habeb, Zamri Salleh, Ruslan Ngah, dan beliau sendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.