Oleh Ramzah Dambul
16 Mei 2021, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramzah Dambul memerhati permasalahan sistem pendidikan kita yang masih terjerat dalam dikotomi aliran pembelajaran tanpa memahami kedua-duanya saling memerlukan untuk kemajuan akal dan sahsiah generasi masa depan.

Sistem pendidikan ialah senjata pembudayaan nilai, mentaliti dan norma yang paling efektif. Justeru wujudnya dikotomi yang sedemikian, maka kita melahirkan ketumbukan generasi yang pincang perspektif.

Sastera ialah sendi kehidupan, dan sains ialah penggeraknya. Kedua-dua disiplin ini bukan sekadar saling memerlukan, bahkan sebenarnya harus berintegrasi menjalankan satu fungsi sepunya. Sastera memugar kemanusiaan, dan sains memacu pembangunan. Dunia yang kaya kemajuan tetapi papa nilai insani, akan berakhir dengan sebuah tamadun yang bejat.

Sastera berkembang menerusi medium fiksyen dan kreatif; manakala sains menerusi medium empirikal dan akademik. Tetapi dua disiplin ini berkongsi satu lagi kebersamaan yang erat, iaitu kedua-duanya didukung oleh tradisi persuratan. Justeru, pemisahan dua disiplin ini tidak pernah munasabah.

Sejak era klasik Yunani dan Romawi; merentas ke zaman peradaban India, China dan Islam; hingga ke fasa-fasa awal kurun pencerahan Eropah — sastera dan sains berkacuk intim sebagai gagasan ilmu tanpa sempadan. Selama ribuan tahun, dua disiplin ini terangkai dengan harmoni, sebelum keseimbangan tersebut dijungkir balik.

Barangkali kesilapan terbesar dunia kontemporari, khususnya di Malaysia, ialah menginstitusikan dikotomi disiplin dalam pendidikan. Hal ini berlaku apabila kurikulum formal (pengajian menengah dan tertiari) memisahkan bidang sastera dan sains secara eksklusif mengikut dua aliran berbeza.

Sistem pendidikan ialah senjata pembudayaan nilai, mentaliti dan norma yang paling efektif. Justeru wujudnya dikotomi yang sedemikian, maka kita melahirkan ketumbukan generasi yang pincang perspektif. Sesiapa yang cakna sains, selalunya jahil sastera, dan sebaliknya. Bukan semua, tetapi majoritinya begitu.

Memang benar, seorang individu tidak boleh menguasai semua perkara. Kita perlu berfokus pada satu bidang khusus untuk menatar kemahiran yang benar-benar tuntas dan padu. Tetapi alasan ini tidak boleh dijadikan justifikasi untuk mewujudkan dikotomi disiplin secara terinstitusi.

Keperluan untuk mengkhusus tidak boleh meminggirkan kepentingan untuk mengembangkan citra minda yang seimbang. Pengajian liberal yang menggalakkan inter-disiplin sains alam dan sains kemanusian semakin popular dalam pendidikan global. Perkara ini merupakan suatu kesedaran untuk kembali semula ke pangkal ilmu tradisi silam yang bersifat inklusif. Namun begitu, gerakan pendidikan baharu ini masih merangkak bertatih di Malaysia.

Kita semua tahu anatomi otak manusia terbahagi kepada dua, iaitu kiri dan kanan. Setiap satu perlukan santapan mental yang berbeza. Otak kiri disinonimkan dengan pemikiran literal, yang cenderung pada sesuatu yang logik dan objektif. Manakala otak kanan dikaitkan dengan pemikiran lateral, yang gemar pada sesuatu yang kreatif dan subjektif. Dalam kata mudah, sains tumbuh di otak kiri; manakala sastera mekar di otak kanan.

Bayangkan kita ada dua pokok manggis di laman rumah. Pokok di kiri anjung, kita siram tiap-tiap hari dan baja secara berkala. Tetapi yang di kanan anjung, kita abaikan tanpa perhatian. Sudah tentu tuaian manggis kita tidak lumayan, kerana hanya satu pokok sahaja yang tumbesarannya sihat.

Begitu juga, jika kita datang bersenam di jim. Setiap kali membuat aktiviti fizikal, kita cuma menggunakan satu tangan yang sama. Anggota yang satu lagi, tidak pernah diberi latihan. Bayangkan bagaimana rupa akhir tubuh badan. Mungkin bahunya kekar sebelah, dan senget terhuyung-huyung ketika berjalan kerana kurang imbangan.

Apabila kedua-dua hemisfera otak manusia tidak dikembangkan secara setara, wujud ketidakseimbangan. Hal ini boleh mempengaruhi sudut pandang dan daya hikmah seseorang; mungkin sehingga mencetuskan prejudis yang bukan-bukan atau menghasilkan tenaga taakul yang lemah.

Sains ialah asas pada inovasi dan teknologi; dua komoditi yang paling efektif memacu pertumbuhan ekonomi masa kini. Sastera pula ialah salah satu tunjang kreativiti dan imaginasi; dua kemahiran terpenting dalam milenia baharu. Untuk menterjemah idea kepada ciptaan yang berguna, kita perlukan daya cipta yang tinggi.

Maksudnya, para saintis yang mahu mereka cipta inovasi dan teknologi, sebenarnya amat memerlukan kemahiran kreativiti dan imaginasi. Tetapi inilah jurang terbesar yang dinatijahkan oleh pendidikan berciri dikotomi. Apakah akibatnya? Meskipun Malaysia telah melancarkan dasar-dasar yang mengutamakan pendidikan sains sejak lebih empat dekad dahulu (misalnya, penubuhan sekolah dan universiti sains, serta polisi 60 peratus pelajar aliran sains), namun sehingga kini kita tidak mampu melahirkan generasi pencipta yang signifikan.

Hampir 80 peratus saintis dan teknologis Malaysia berada di universiti. Secara perbandingan di Korea Selatan, lebih 80 peratus golongan ini berada di sektor industri. Hal ini bermaksud, kita melahirkan pakar teknikal yang cuma berkelayakan mengajar dan menyelidik. Sedangkan Korea Selatan menghasilkan saintis dan teknologis yang benar-benar berdaya cipta.

Mengapa? Kerana sistem pendidikan dikotomi yang memisahkan kemahiran teknikal dan kreativiti dalam dua domain kurikulum yang terasing. Hal ini seterusnya menghasilkan dua generasi separuh masak yang kekok mendepani dinamik Revolusi Perindustrian 4.0. Pertama, mereka yang cuma tahu ilmu empirikal sains, tetapi kurang daya imaginasi untuk mengolah inovasi. Kedua, mereka yang kreatif sakan, tetapi tiada asas teknikal untuk mencipta teknologi.

Apakah kesudahan cabaran keenam Wawasan 2020: “Menghasilkan masyarakat saintifik dan progresif”? Hanyut ke laut lepas, kerana petunjuk “saintifik dan progresif” ialah kemampuan menghasilkan teknologi dan inovasi tempatan. Sesuatu yang masih terlalu jauh untuk digapai, kerana ekonomi Malaysia kekal bergantung pada komoditi dan bukan pada ciptaan dan perkhidmatan, sebagaimana Korea Selatan.

Selagi jurang sastera-sains ini tidak dirobohkan, barangkali selagi itu Malaysia akan terus terpasung sebagai pengguna dan pengimport tegar teknologi (yang diinovasikan oleh orang lain). Kita tidak akan mampu dinaik taraf menjadi pereka cipta dan pengeksport.

Bolehkah komuniti sastera merobohkan naratif yang merajadewatakan agenda dikotomi sastera-sains ini? Boleh, sekiranya kita mahu menganjak dogma nilai untuk melihat kelebihan sains sebagai salah satu pemboleh daya (enabler) untuk memperkasa kesusasteraan. Bukan menanggapi sains sebagai ancaman kepada keterhakisan nilai manusiawi.

Jika kita mencipta dinding prejudis (sama ada tersurat atau tersirat) kepada teknologi dan inovasi — maka, kita sebenarnya membantu untuk terus menginstitusikan pemisahan disiplin antara sains dengan sastera. Lalu kita melahirkan lebih banyak generasi ketam, yang berjalan miring, kerana tiada harmoni antara otak kiri dengan kanan.

_________________________

Ramzah Dambul (Prof. Madya Datuk Ts. Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017). 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.