Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKolumnis S.M. Zakir membaca The Plague nukilan Albert Camus pada musim wabak COVID-19 dan menemui abstrak dan absurd kota dan seisi penduduknya, memantul pada abstrak dan absurd keadaan dunia yang sedang dihadapi oleh kita.
Wabak turut mengubah cara manusia berfikir, untuk mengatasi bahaya yang boleh menghapuskan kehidupan manusia. Sekali gus memusnahkan struktur cara fikir lama.
Oran ialah sebuah kota kolonial Perancis di Algeria yang digambarkan diserang wabak oleh Albert Camus dalam novelnya, The Plague. Oran ialah pusat pentadbiran kolonial Perancis di negara jajahannya di Afrika Timur. Oran dilihat sebagai sebuah kota pelabuhan berwajah kaku, angkuh dan tidak beriak. Perubahan cuaca hampir tidak terkesan di langit. Musim panasnya berdebu, musim luruhnya berlumpur. Masyarakatnya moden dan sibuk mengejar kekayaan. Di situ, muncul Dr. Bernard Rieux yang menjadi watak penting apabila Oran diserang wabak, membuatkan jangkitan merebak dan membunuh ratusan orang. Tikus-tikus dari kapal pedagang yang berlabuh di Oran disyaki membawa wabak dari luar. Oran ditutup, dikenakan perintah berkurung yang ketat, tiada sesiapa yang boleh keluar dan tiada sesiapa yang boleh masuk.
Satu ketika, Dr. Rieux didatangi seorang pemuda, iaitu Raymond Rambert, seorang wartawan akhbar dari Paris. Rambert terperangkap di Oran ketika datang atas urusan kerja, dan tidak dapat pulang ke Paris untuk bersama-sama kekasihnya. Rambert cuba memujuk Rieux untuk memberikan sebarang sijil atau surat pengesahan yang dapat membantunya keluar dari Oran. Rieux tidak dapat membantu, dan menimbulkan kejengkelan Rambert lalu mengatakan bahawa Rieux bercakap dengan bahasa logik dan bukan bahasa jiwa yang penuh empati. Rambert mengatakan yang Rieux hidup dalam dunia yang abstrak. Rambert menambah bahawa benar Rieux menjaga kepentingan umum, tetapi kepentingan umum ialah penjumlahan daripada setiap kepentingan individu. Rieux menasihati Rambert dan mengatakan tiada apa-apa yang boleh dia lakukan.
Setelah itu, mereka berpisah. Rieux berfikir tentang apakah benar dia hidup dalam dunia yang abstrak, mengurung seluruh masanya di hospital memerangi wabak sehingga perlahan-lahan dia terpisah daripada realiti, tidak merasai jiwa kegusaran yang menghuni tubuh manusia-manusia di Oran? Dia bertukar menjadi mesin sains dan tidak lagi mempedulikan rasa manusia yang penuh ketakutan. Saat Rieux keluar dan melihat Patung Kebebasan yang berdiri menjadi tugu, Rieux merasakan wabak ini juga adalah suatu yang abstrak. Untuk menentang sesuatu yang abstrak ia memerlukan sesuatu yang dibentuk dari dalam diri sendiri.
Abstrak ialah sesuatu yang tidak dapat dirasa, dilihat, disentuh oleh pancaindera. Ia merupakan konsep yang ada dalam fikiran, seperti kecantikan, kesejahteraan dan sebagainya. Ia merupakan kualiti yang berhubungan dengan idea dan bukan peristiwa. Malah dari sisi lain, abstraksi ialah proses mengeluarkan karakter yang utama daripada sesuatu bagi meringkaskannya hanya kepada karakter-karakter yang penting. Dalam Novum Organum (1620), Francis Bacon menghubungkan premis abstraksi dengan persoalan induktif yang membuat ketetapan berasaskan pengalaman, seperti matahari terbit dari timur, maka ketetapannya ialah matahari terbit dari sebelah timur. Maka, pada era Jacobean tersebut, Bacon menyarankan para pemikir perlu lebih berfikir secara deduktif, yakni membuat ketetapan berdasarkan pengumpulan data dan fakta sebelum membuat ketetapan berasaskan andaian umum.
Pemikiran deduktif ini disambut oleh David Hume yang mendebatkan bahawa andaian induktif bukanlah suatu bentuk rasionaliti, sebaliknya hanya budaya yang muncul daripada kebiasaan. Hume menyarankan rasionaliti ialah ketetapan yang berasaskan pengumpulan data yang memungkinkan perubahan fakta, sekali gus melihat rasionaliti sebagai suatu bentuk deduktisme. Hume mewujudkan pemikiran empirikal dalam konteksnya yang tersendiri yang selalunya disebut sebagai empirikalisme Humean. Hume menyatakan kita boleh sahaja membentuk kepercayaan yang berkembang daripada keluasan pengalaman, melalui operasi fakulti seperti budaya, adat, kebiasaan dan imaginasi, tetapi Hume meragukan ia suatu ilmu pengetahuan. Treatise of Human Nature (1739–40) Hume diperdebatkan sehingga hari ini.
Camus menjadikan The Plague (1947) secara tidak langsung atau membayangkan persamaannya dengan Baconian dan empirikalisme Humean. Camus meletakkan wabak dalam The Plague sebagai sesuatu yang perlu dilihat secara empirikal. Terlihat sinikaliti (cynicality) sopan Camus terhadap khutbah paderi Jesuit Father Paneloux tentang bala dari langit. Ia seperti memuati pandangan Hume tentang “sebab” ialah hamba pada semangat yang kosong. Rieux ialah watak manusia empirikal yang berpegang pada deduktisme. Maka Rieux tidak melihat wabak tersebut hanya bala dari langit, tetapi sesuatu yang perlu diselesaikan di bumi dengan tangan-tangan manusia yang kelihatan.
Rieux mungkin berfikir apakah dia hanya sebuah mesin sains, tetapi dalam mendepani realiti sebenar, Rieux memang memilih untuk menjadi mesin sains. Pemikiran ini adalah sebahagian daripada bibit absurdisme Camus. Sebenarnya, Camus tidak pernah ada kena-mengena dengan aliran pemikiran Bacon atau Hume. Pengaruh terbesar Camus adalah daripada Nietzsche, Schopenhauer, Kierkegaard, Jaspers, dan Heidegger. Malah, Camus berteman rapat dengan Jean-Paul Sartre. Tetapi, seperti terdapat satu bentuk persamaan fikiran Camus terhadap premis abstrak Bacon dan Hume yang ditimbulkan dalam perbualan Dr. Rieux dengan Rambert.
Premis abstrak yang dihubungkan dengan persoalan induktisme dan deduktisme sememangnya mencambahkan bibit-bibit absurdisme. Ia muncul dalam cerita tentang wabak. Camus dilihat menggunakan isu wabak untuk mencambahkan pemikiran absurdismenya. Wabak menimbulkan ketidaktentuan dan menjadi malapetaka yang mampu merubah dimensi kehidupan manusia. Sejajar dengan itu, wabak turut mengubah cara manusia berfikir, untuk mengatasi bahaya yang boleh menghapuskan kehidupan manusia. Sekali gus memusnahkan struktur cara fikir lama.
Oran ialah sebuah kota kolonial yang sedang dimamah wabak, yang turut memamah cara fikir lama yang membentuk struktur dan tatacara kehidupan manusia yang sudah tidak terpakai lagi. Maka ia menuntut perubahan kepada cara fikir baharu. Absurdisme Camus tentu bukan penyelesaiannya. Namun wabak tidak mungkin dapat diatasi dengan pemikiran induktif, sebaliknya hanya mampu diselesaikan dengan pemikiran deduktif. Hal ini kerana wabak tidak datang dengan pengalaman sebelumnya. Wabak menghumban manusia ke lubang abstrak, malah absurd. Apabila membaca The Plague, bukan sekadar melihat wabak dan abstraksi, tetapi melihat kemanusiaan yang diuji untuk menemukan kemanusiaan yang baharu.
_________________________
S.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau memulakan kerjaya dalam industri media sebelum menjadi penulis sepenuh masa pada tahun 2000. Sepanjang berkarya, S.M. Zakir telah menerima banyak hadiah dan anugerah sastera, seperti Hadiah Sastera Malaysia 1994/1995 bagi kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP, 1995) dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibrail (Pustaka Nusa, 2001), selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Hadiah Formula Malaysia, dan Anugerah GAFIM (kritikan filem). Beliau juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dan penerima SEA Write Awards (Malaysia) 2011.