Oleh Karmila Azmi
15 Mac 2021, 10:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) semakin erat dalam usaha mengangkat karya sastera ke dalam medium yang lebih besar.

Sesudah adaptasi puisi oleh Siti Zaleha Hashim, Sesekali dan cerpen Azizi Hj. Abdullah, Pendoa yang Ikhlas pada tahun 2019, kerjasama DBP-RTM merealisasikan Capa Rengat Gulai Rawo, iaitu dua buah cerpen tulisan pengarang Baharuddin Kahar dalam sebuah telefilem dengan tajuk serupa, “Capa Rengat” dan “Gulai Rawo”.

Pada majlis pelancaran 15 Mac yang dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Hazami Jahari, bersama-sama Pengarah Pembangunan Strategik Jabatan Penyiaran Malaysia, Abdullah Daud, Hazami secara jelas menyebut DBP komited untuk menyebarluaskan kandungan bahan sastera melalui migrasi teknologi, antaranya daripada cetak kepada layar televisyen.

“Penyampaian karya sastera dalam bentuk sebegini boleh dibuat secara menyeluruh.

Wan Afzam Wan Daud

“DBP melalui perancangan jangka panjang tidak lagi hanya tertumpu kepada karya bercetak tetapi juga akan beralih kepada bentuk penerbitan yang lain,” katanya.

Sementara itu, dalam Forum Capa Rengat Gulai Rawo yang diadakan sejurus pratonton telefilem berkenaan, pengarahnya Wan Afzam Wan Daud menyebut adaptasi dua cerpen karya Baharuddin adalah usaha kecil beliau untuk menampilkan karya yang baik dan bermesej dalam usaha mendidik penonton.

Katanya, adaptasi dua cerpen sekali gus dalam sebuah telefilem bukan kerja mudah tetapi ia masih dapat disempurnakan dengan jayanya hasil kerjasama berpasukan.

“Karya Pak Bahar juga mudah difahami kerana beliau meletakkan rasa. Kita boleh membaca rindunya seorang bapa, rasa gembira kanak-kanak yang tinggal di bandar yang dapat balik ke kampung, dan setianya seorang anak dengan bapanya yang lebih banyak berdiam dalam kedua-dua karya itu,” katanya.

Tambahnya, walaupun dua cerpen itu berbeza isu tetapi ia tidak menghalang kedua-duanya “dijahit” sempurna dalam sebuah cerita.

Baharuddin pula dalam forum yang sama menegaskan, cerpen itu ditulis pada tahun 1970-an dan ia dihasilkan berdasarkan pengalaman dan perasaan beliau ketika itu.

“‘Capa Rengat’ saya tulis selepas melalui keharuan yang berpanjangan apabila pulang ke kampung setelah sekian lama tidak berbuat demikian.

“Saya balik ke kampung mengambil angin berpusing-pusing dan menjejaki pengalaman dulu. Saya melihat bunga capa rengat di paya dan mengambilnya. Saya letak dalam vas dan beberapa jam, kelopak mula gugur dan saya terfikir keindahan tidak kekal,” katanya.

Baharuddin Kahar

Tegas Baharuddin, renungan itu bercampur dengan perasaan yang sudah lama tidak balik ke kampung sehingga menimbulkan keharuan yang berpanjangan dan menghantui hingga esok harinya dan memutuskan untuk menuliskan pengalaman berkenaan dalam bentuk karya.

Katanya, cerpen “Gulai Rawo” juga dihasilkan selepas sekian lama tidak menikmati gulai berkenaan dan ia menimbulkan pengalaman yang mencetuskan idea berkarya.

Cerpen “Capa Rengat” dihasilkan pada tahun 1976 dan memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1976/1977, manakala cerpen “Gulai Rawo” dihasilkan pada tahun 1980. Kedua-duanya disiarkan dalam majalah Dewan Sastera terbitan DBP. Sempena telefilem Capa Rengat Gulai Rawo yang akan ditayangkan pada slot Panggung RTM, Sabtu, 20 Mac di TV1, kedua-dua cerpen itu kembali dicetak dengan judul serupa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.