Diterbitkan pada 28 Julai 2026, 08:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Raja Yusoff Ariffin tertarik dengan artikel Nordin Saad dan mahu memberikan reaksi.

Tidak sebagaimana penulis, khalayak tidak perlu atau perlu dipaksa turut menulis.

Dalam tercari-cari isu apakah yang boleh ditulis, saya mendapat idea selepas membaca artikel oleh penulis veteran dari Perlis ini, “Seharusnya Penulis Terus Menulis, Khalayak Pula Terus Membaca”.

Mungkin ada yang menganggap isu yang dikemukakan oleh Nordin Saad ini kecil atau remeh. Namun demikian, hal yang diutarakan sebenarnya penting dan selalu dilupakan, termasuklah oleh para penulis dan khalayak/pembaca sendiri.

Sebenarnya, mauduk yang disampaikannya penting kerana mengingatkan kita pada tugas hakiki dalam ekosistem penulisan, iaitu penulis kerjanya menulis dan khalayak pula membaca karya yang telah ditulis. Cuma, menulis itu tidak boleh tidak memang tanggungjawab hakiki penulis. Setiap hari atau seminggu sekali, ataupun selepas tempoh “bertenang” tertentu, penulis harus terus menulis.

Hal penulis perlu membaca itu tidak perlu dipersoalkan lagi. Mahu tidak mahu, penulis juga perlu membaca, sebagaimana jawapan Sasterawan Negara A. Samad Said, “Pertama, membaca. Kedua, membaca, dan ketiga juga membaca” apabila ditanya apakah yang seseorang perlu lakukan jika mahu menjadi seorang penulis.

Khalayak membaca tulisan yang ditulis oleh penulis seperti novel, cerpen, puisi (sajak, pantun, syair, gurindam dan sebagainya), dan skrip drama (pentas dan televisyen). Tidak sebagaimana penulis, khalayak tidak perlu atau perlu dipaksa turut menulis.

Pun begitu, amat digalakkan jika khalayak juga berminat untuk turut menulis. Dan mereka yang sememangnya golongan pembaca tiada masalah untuk terus membaca, dan mempertingkat lagi tahap pembacaan.

Dalam pengkhususan yang dimaksudkan oleh Nordin, saya teringatkan kata-kata seorang pelakon dan pengarah veteran terkenal tanah air kepada seorang pengkritik filem (yang sebenarnya pengarah filem, malah lulusan pembikinan filem dari universiti luar negara, tetapi tidak ke mana-mana selepas filem pertama arahannya gagal).

Pengkritik tersebut mengkritik keras sebuah filem, tetapi kemudian dijawab oleh aktor senior itu bahawa dia tidak mengarah filem, jadi janganlah pandai-pandai mengkritik kerja orang lain.

Saya kaitkan juga dengan sikap tipikal masyarakat kita yang cepat mengecam sesiapa yang suka mengkritik. Mereka mengherdik dan mencabar si pengkritik itu pula jika dapat melakukannya dengan lebih baik!

Sebenarnya, anggapan dan saranan sedemikian tidak benar. Penulis kerjanya menulis, dan pengkritik pula memang mengkritik. Janganlah memaksa mereka saling bertukar tugas pula. Mereka ada peranan dan tanggungjawab masing-masing, meskipun kita berharap penulis juga ialah pengkritik, seperti yang dilakukan oleh Sasterawan Negara Allahyarham Mana Sikana.

Barangkali pelakon/pengarah itu menyatakan hujahnya kerana si pengkritik itu belum mengarah filem, maka dia mungkin tidak mengetahui segala permasalahan yang dihadapi oleh pembikinnya. Mungkin begitu.

Walau bagaimanapun, saya pernah bertanya kepada seorang pengarah filem berwibawa tanah air era 1980-an, apakah pengkritik filem perlu mengetahui masalah pembikinan filem. Jawapannya, tidak perlu. Saya juga fikir pengetahuan itu akan melenturkan perspektif si pengkritik – lahir rasa simpati, lalu tidak jujur mengkritik.

Jadi, tidak perlulah si pengkritik itu mengarahkan pula filem (kerana dia sudah bijak mengkritik). Dia menjalankan tanggungjawab mengkritik. Pengarah pula menyelesaikan tugas mengarah. Cuma, tidak salah juga jika seseorang pengarah filem yang telah lama berehat, beralih pula mengkritik filem sebagaimana Mahadi J. Murat dan U-Wei Haji Saari sejak beberapa tahun kebelakangan. A. Wahab Hamzah dan Ku Seman Ku Hussain kerap mengkritik filem, tetapi hingga kini mereka masih bukan pengarah filem.

Sama ada hanya mampu dalam satu genre sahaja, yang penting kita terus menulis. Kalau hanya menulis artikel atau berita sahaja pun tidak mengapa. Tidak salah kerana yang penting kita masih menulis.

Namun begitu, tentulah terbaik jika kita mampu menulis dalam pelbagai genre, seperti yang dilakukan oleh Pak Samad. Beliau boleh menulis sajak, cerpen, novel, drama pentas, dan esei.

Bolehkah khalayak yang membaca mengkritik, atau memberikan cadangan? Pun boleh. Cuma, mereka tidaklah melakukannya secara serius sehingga menjadi kerjaya. Sebaliknya, mereka mengkritik dan mencadangkan mungkin sesuai di media sosial sahaja, seperti Facebook, Instagram, Thread, atau TikTok sahaja.

______________________________

Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), novel, cerpen, drama, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku rencana Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016).

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi