Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProf. Madya Dr. Nasirin Abdillah melihat dengan kritis mengapa karya agung sesebuah bangsa, seperti The Odyssey untuk orang Barat dan Sulalat al-Salatin untuk orang Melayu tidak pernah mati.
Dunia sedang menyaksikan bagaimana sebuah teks yang lahir hampir tiga ribu tahun lalu kembali memasuki kesedaran masyarakat kontemporari.
Ketika filem The Odyssey (2026) arahan Christopher Nolan mencatat kutipan ratusan juta dolar pada minggu pertama tayangannya, dunia sebenarnya sedang menyaksikan sesuatu yang lebih penting daripada kejayaan sebuah filem. Dunia sedang menyaksikan bagaimana sebuah teks yang lahir hampir tiga ribu tahun lalu kembali memasuki kesedaran masyarakat kontemporari.
Bagi sebahagian orang, kejayaan tersebut membuktikan kehebatan Nolan sebagai pengarah. Bagi sarjana klasik seperti Emily Wilson dan Daniel Mendelsohn pula, keadaan itu menimbulkan persoalan yang lebih rumit. Apakah yang sebenarnya berlaku apabila karya agung dipindahkan daripada halaman teks kepada layar perak? Adakah karya itu masih karya yang sama, atau sudah menjadi sesuatu yang lain?
Emily Wilson, penterjemah The Odyssey yang terkenal dengan terjemahan bahasa Inggerisnya pada tahun 2017, mengakui bahawa filem tersebut berjaya membawa pembaca baharu kepada Homer. Namun beliau juga berpendapat bahawa Nolan cuba memasukkan terlalu banyak perkara sehingga beberapa tema penting dalam puisi asal tenggelam. Bagi Wilson, The Odyssey bukan sekadar kisah pengembaraan, tetapi sebuah puisi panjang tentang hubungan kekeluargaan dan kesetiaan.
Daniel Mendelsohn pula, juga penterjemah terkini The Odyssey pada tahun 2025 dalam tradisi terjemahan Inggeris karya Homer, mengambil pendirian yang agak berbeza. Beliau mengagumi keupayaan visual Nolan dan mengakui keberanian pengarah itu dalam mentafsirkan Homer untuk khalayak abad ke-21.
Namun begitu, beliau melihat satu kehilangan yang besar. Odysseus dalam filem Nolan, menurutnya, tidak lagi memiliki kecerdikan, kelicikan, humor, dan daya memikat yang menjadikan watak tersebut begitu istimewa dalam tradisi Homer. Sebaliknya, Odysseus telah berubah menjadi watak yang lazim muncul dalam filem Nolan, seorang lelaki yang dihantui masa lalu dan dibebani rasa bersalah. Dalam kata lain, Nolan tidak sekadar mengadaptasi Homer, tetapi telah mencipta semula Odysseus menurut imaginasinya sendiri.

Sekilas pandang, kritikan Wilson dan Mendelsohn kelihatan seperti kritikan terhadap kegagalan adaptasi. Namun jika diperhatikan dengan lebih teliti, kedua-duanya sebenarnya mengesahkan satu hakikat yang jauh lebih penting. Karya agung tidak pernah terpisah daripada dunia yang melahirkannya dan tidak pernah berhenti berdialog dengan dunia yang membacanya. Sebaik sahaja The Odyssey memasuki ruang budaya yang baharu, karya tersebut akan mengalami pentafsiran semula.
Hakikat ini dapat dijelaskan menerusi Teori 2IN. Perbincangan yang lebih terperinci tentang aplikasi teori ini dalam analisis karya dapat dirujuk dalam isu Mac 2025 Dewan Sastera.
Pada asasnya, Teori 2IN melihat bahawa karya besar sentiasa beroperasi melalui dua lapisan yang saling berinteraksi. Lapisan pertama ialah identiti asal yang terbentuk daripada konteks sejarah, budaya dan pemikiran ketika karya itu dihasilkan. Lapisan kedua ialah identiti baharu yang lahir daripada proses pembacaan, penerimaan dan pentafsiran pada zaman-zaman berikutnya. Sesebuah karya menjadi klasik bukan kerana karya itu berjaya mengekalkan satu makna yang kekal, tetapi kerana mampu melahirkan makna yang berterusan.
Melalui lensa ini, perdebatan mengenai The Odyssey tidak lagi menjadi pertikaian antara Homer dengan Nolan. Yang berlaku sebenarnya ialah pertemuan antara dua identiti teks. Identiti pertama ialah Homer yang lahir dalam dunia Yunani purba. Identiti kedua ialah Homer yang dibayangkan semula oleh Nolan dalam dunia pascamoden. Kedua-duanya tidak semestinya serupa, tetapi kedua-duanya tetap berasal daripada naratif yang sama.
Keadaan yang sama dapat diperhatikan dalam tradisi Melayu menerusi Sulalat al-Salatin.
Sejak sekian lama, teks tersebut dibaca sebagai sumber sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Ramai sarjana menggunakannya untuk memahami struktur pemerintahan, hubungan diplomatik dan perkembangan politik dunia Melayu. Namun pembacaan sedemikian hanyalah satu daripada pelbagai kemungkinan yang ditawarkan oleh teks tersebut.
Bagi sesetengah pembaca, Sulalat al-Salatin ialah teks mitologi. Bagi yang lain pula, karya ini merupakan naratif pembentukan identiti bangsa. Terdapat juga yang melihatnya sebagai teks politik, manakala ada yang mentafsirkannya sebagai teks budaya yang memuatkan imaginasi kolektif masyarakat Melayu tentang asal usul, kuasa dan peradaban.
Keupayaan untuk melahirkan pelbagai lapisan makna inilah yang menjadikan Sulalat al-Salatin terus hidup selepas lebih lima abad. Sebenarnya, Homer dan pengarang Sulalat al-Salatin berkongsi satu strategi naratif yang sama, iaitu penggunaan mitos sebagai wahana makna.
Mitos bukan catatan sejarah dalam pengertian moden. Namun, ada kalanya di situlah tersimpan kebenaran budaya yang sering kali lebih bermakna daripada fakta sejarah itu sendiri.
Dalam The Odyssey, dewa-dewi bukan sekadar watak sampingan. Mereka merupakan manifestasi hubungan antara manusia dengan takdir. Athena, Poseidon dan Zeus berfungsi sebagai simbol pada kuasa yang berada di luar kemampuan manusia untuk dikawal.

Dalam Sulalat al-Salatin pula, fungsi yang hampir sama dapat ditemukan melalui kisah Raja Suran yang turun ke dasar laut, kemunculan Sang Sapurba di Bukit Seguntang dan salasilah yang dikaitkan dengan Iskandar Zulkarnain. Persoalan yang penting bukanlah sama ada peristiwa tersebut benar-benar berlaku. Apa yang lebih penting adalah tentang persoalan mengapa masyarakat Melayu memilih untuk membayangkan asal usul mereka melalui bentuk naratif sedemikian.
Di sinilah pandangan ahli mitologi seperti Mircea Eliade menjadi relevan. Eliade melihat mitos sebagai naratif suci yang memberikan makna pada kewujudan manusia dan masyarakat. Mitos bukan catatan sejarah dalam pengertian moden. Namun, ada kalanya di situlah tersimpan kebenaran budaya yang sering kali lebih bermakna daripada fakta sejarah itu sendiri. Begitu juga Joseph Campbell yang melihat mitos sebagai bentuk penceritaan yang menghubungkan pengalaman manusia merentasi ruang dan zaman.
Dari perspektif ini, Odysseus dan Sang Sapurba sebenarnya berfungsi dalam cara yang hampir serupa. Kedua-duanya ialah tokoh yang bergerak melampaui batas pengalaman biasa manusia. Kedua-duanya menjadi pusat pada pembentukan identiti kolektif masyarakat yang melahirkan mereka.
Maka, apabila Wilson berasa kecewa kerana beberapa tema utama Homer diketepikan, dan apabila Mendelsohn berpendapat bahawa Nolan telah membentuk Odysseus menurut acuan peribadinya sendiri, kedua-duanya sebenarnya sedang membicarakan persoalan yang sama. Mereka sedang memperkatakan hal hubungan antara identiti asal dengan identiti baharu sesebuah teks.
Persoalan ini sangat penting bagi kesusasteraan Melayu hari ini.
Sering kali kita bertanya bagaimana generasi muda boleh didekatkan dengan teks-teks klasik seperti Sulalat al-Salatin. Namun mungkin soalan yang lebih tepat adalah bagaimana kita membenarkan teks tersebut terus melahirkan makna baharu tanpa kehilangan akar budayanya. Jika Homer boleh terus hidup melalui novel, filem, teater, dan budaya popular, mengapa kita masih cenderung meletakkan Sulalat al-Salatin di dalam ruang yang sempit sebagai naskhah historiografi semata-mata?
Teori 2IN menawarkan satu kemungkinan jawapan. Karya agung tidak hidup kerana kesetiaan mutlak terhadap bentuk asalnya. Karya agung hidup kerana kemampuannya bergerak antara masa lalu dengan masa kini. Ia sentiasa mengekalkan identiti asalnya, tetapi pada masa yang sama sentiasa membuka ruang kepada identiti yang baharu.
Oleh sebab itu, persoalan yang paling penting bukanlah sama ada Nolan berjaya atau gagal mengadaptasi Homer. Persoalan yang lebih menarik ialah mengapa dunia masih berasa perlu kembali kepada Homer selepas tiga ribu tahun? Jawapannya mudah. Karya agung tidak pernah selesai dibaca. Setiap zaman akan menemukan Homer yang berbeza, sebagaimana setiap zaman akan menemukan Sulalat al-Salatin yang berbeza.
Akhir kata, dalam proses pencarian makna yang tidak pernah berakhir itulah sesebuah karya mencapai keagungan dan keabadiannya.
_________________________
Nasirin Abdillah (Profesor Madya Dr.) merupakan pensyarah dalam bidang seni kreatif di Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus Puncak Perdana. Beliau juga seorang ahli teori yang telah mencipta Teori 2IN untuk kegunaan dalam bidang seni, sastera dan mitologi.