Diterbitkan pada 16 April 2025, 07:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Rosli K. Matari menyelam kembali Teori 2IN yang diperkenalkan oleh Prof. Madya Dr. Nasirin Abdillah dan sejauh mana teori baharu ini boleh memberikan hala tuju yang segar dalam kefahaman kita terhadap sastera dan seni.

Dalam era globalisasi dan perubahan nilai budaya yang pesat, mitologi tidak boleh dilihat semata-mata sebagai naratif silam atau rekod sejarah dan budaya yang tidak relevan.

Sebenarnya, penulis memulakan refleksi ini dengan rasa segan dan khuatir jika dipandang negatif kerana pada suatu masa yang lepas, Prof. Madya Dr. Nasirin Abdillah pernah menulis kata pengantar pada dua buah kumpulan puisi penulis, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2022) dan Delapan Belas Sajak Bangkok (Nusa Center, 2023). Namun secara benar dan tulus, refleksi ini bukanlah bertujuan untuk membalas budi beliau. Tambahan pula, kedua-dua kata pengantar tersebut ialah urusan rasmi daripada penerbit.

Isu Mac Dewan Sastera yang lepas begitu mengujakan dengan penampilan suatu teori baharu menerusi ruangan Fokus Utama. Teori 2IN (Image-I-Nation) yang dibangunkan oleh Dr. Nasirin Abdillah tentulah amat dialu-alukan kehadirannya, terutamanya dalam teori sastera tempatan yang agak “sunyi” kebelakangan ini. Malahan, teori 2IN ini mampu diketengahkan dalam kesarjanaan teori kesusasteraan pada peringkat global, tidak terhad kepada Kesusasteraan Melayu semata-mata.

Teori 2IN ini membentuk pendekatan inovatif dalam analisis mitologi dan kesusasteraan. Teori ini adalah sangat signifikan dalam memahami mitologi, bukan sekadar sebagai warisan tradisi, tetapi juga sebagai medan dinamik untuk perbincangan intelektual, pemerkasaan budaya dan tafsiran moden terhadap identiti bangsa.

Dalam era globalisasi dan perubahan nilai budaya yang pesat, mitologi tidak boleh dilihat semata-mata sebagai naratif silam atau rekod sejarah dan budaya yang tidak relevan. Sebaliknya, merupakan suatu sistem simbolik yang terus memberikan inspirasi dan membentuk pemikiran serta tingkah laku masyarakat.

Oleh itu, teori 2IN muncul sebagai suatu pendekatan yang menghubungkan elemen warisan dengan realiti kontemporari melalui tiga komponen utamanya: Image (Imej), I (Aku) dan Nation (Bangsa). Pendekatan ini memberikan landasan konseptual yang segar. Hal ini membolehkan para pengkaji dan pengkarya mentafsirkan kembali mitos dengan cara yang lebih holistik dan interdisiplin.

Dalam Kesusasteraan Melayu, mitos seperti kisah Hang Tuah dan Hang Jebat telah lama menjadi simbol pada nilai-nilai masyarakat. Kisah sebegini bukan sahaja mewakili wira nasional tetapi juga mencerminkan dilema antara kesetiaan kepada raja dan keinginan untuk menegakkan keadilan. Melalui penceritaan yang sarat dengan simbolisme, mitos dalam sastera Melayu menyumbang kepada pembentukan identiti budaya yang kompleks dan dinamik.

Perkembangan zaman telah membawa mitologi ke dalam pelbagai medium moden. Pelbagai karya kontemporari dalam filem, novel, teater, dan media digital sering kali mengadaptasi naratif mitos tradisional untuk mengupas isu-isu semasa. Hal ini membuktikan bahawa mitos ialah entiti yang hidup, pada erti kata sentiasa berevolusi mengikut konteks sejarah dan sosial yang berubah.

Dengan demikian, pemahaman tentang mitologi memerlukan pendekatan yang mampu merangkumkan kesinambungan tradisi dan inovasi.

Teori 2IN telah menambah pembinaan teori baharu yang sangat relevan pada masa kini. Dengan mengintegrasikan tiga komponen utama: Image (Imej), I (Aku) dan Nation (Bangsa), teori ini bukan sahaja mengupas unsur estetika dan simbolik dalam karya seni, tetapi juga menitikberatkan kepentingan pengalaman atau persepsi pengkarya atau penulis, serta peranan mitos dalam pembentukan identiti kolektif.

Jelas dapat direnungkan, salah satu kelebihan utama teori 2IN ialah fleksibilitinya untuk diaplikasikan dalam pelbagai bidang seni. Hal ini menepati, sebagaimana yang dinyatakan oleh editor Dewan Sastera, Fadli al-Akiti: “Teori yang dibinanya, 2IN, agak menarik, kerana dapat disesuaikan untuk memahami pelbagai maksud karya seni, termasuk filem, seni catan, seni bina, seni ukir, dan sastera.”

Betapa 2IN ini suatu pendekatan baharu yang boleh dianggap sebagai genius. Keupayaan pendekatan ini merentasi disiplin menunjukkan bahawa naratif mitos bukan sahaja terhad pada teks sastera, tetapi juga mampu untuk meresap ke dalam setiap bentuk ekspresi seni.

Bagi kalangan pengkaji seni kreatif, teori 2IN ini membuka ruang untuk pendekatan baharu dalam menganalisis karya-karya seni yang mengandungi unsur mitos. Keistimewaan teori ini terletak pada kebolehannya untuk menjana, mengenergikan (energi) aspek tradisional dengan inovasi moden.

Malah, pada konteks yang lebih besar dan jauh ialah berkemampuan menjadikannya relevan dalam konteks globalisasi. Terutamanya apabila konteks ini sentiasa berhadapan dengan cabaran identiti budaya dan politik.

Pendekatan 2IN mendorong pengkaji untuk tidak hanya melihat mitos sebagai satu koleksi naratif yang statik. Sebaliknya, sebagai proses dinamik yang melibatkan penciptaan, penafsiran dan penulisan semula, malahan juga yang bersifat adaptasi.

Dengan memberikan penekanan pada suara pengkarya (I – aku) dan kepentingan identiti kolektif (nation – bangsa), teori ini membolehkan pentafsiran yang lebih luas dan inklusif terhadap karya seni. Hal ini amat penting dalam era kini yang sangat dipengaruhi oleh media digital dan globalisasi yang membawa kepada pencampuran budaya yang kompleks, memerlukan alat analisis yang mampu menangani kepelbagaian perspektif.

Betapa 2IN ini suatu pendekatan baharu yang boleh dianggap sebagai genius. Keupayaan pendekatan ini merentasi disiplin menunjukkan bahawa naratif mitos bukan sahaja terhad pada teks sastera, tetapi juga mampu untuk meresap ke dalam setiap bentuk ekspresi seni.

Dalam pengajian sastera dan seni, penggunaan teori 2IN juga akan dapat berpotensi untuk merangsang dialog antara tradisi dengan inovasi. Pengkaji dapat menggunakan pendekatan ini untuk meneroka bagaimana naratif mitos yang telah lama wujud dapat diinterpretasikan semula dalam konteks isu kontemporari seperti identiti, kuasa dan keadilan sosial.

Dengan cara ini, teori 2IN bukan sahaja memperkaya pemahaman terhadap karya seni tradisional, tetapi juga membuka ruang bagi penemuan-penemuan baharu dalam bidang seni kontemporari.

Dalam esei Fokus Utama isu Mac tersebut, aplikasi teori 2IN dalam kesusasteraan telah ditunjukkan oleh pemikir atau pencetus teori ini dengan menggunakan dan mengaplikasikan cerpen “Al-Isra’” tulisan Fatimah Busu sebagai bahan kajian.

Menerusi aplikasi 2IN terhadap cerpen ini, dapat disimpulkan bahawa penulis cerpen tersebut, Fatimah Busu telah mengadaptasi kisah Hang Jebat sebagai simbol perjuangan moral dan sebagai kritikan terhadap sistem feudal yang telah lama mengakar dalam budaya Melayu. Naratif ini mencerminkan pergolakan dalam masyarakat Melayu yang sentiasa berada dalam pertembungan antara nilai tradisional, malahan juga dalam tuntutan moden untuk keadilan dan pembaharuan.

Oleh itu, pendekatan interdisiplin dalam teori 2IN jelas membuka banyak peluang bagi para pengkaji untuk meneroka semula naratif mitos dari pelbagai perspektif.

Walau bagaimanapun, terdapat juga cabaran yang perlu diatasi. Salah satunya ialah keperluan untuk mengintegrasikan data sejarah dan simbolisme tradisional dengan pendekatan analitik moden tanpa kehilangan keaslian konteks asal. Pengkaji perlu bijak memilih kaedah yang dapat menyerap kedua-dua aspek tradisi dan inovasi.

Selain itu, pendekatan 2IN menuntut kerjasama antara disiplin, misalnya, pengkaji sastera, ahli sejarah dan pengkaji seni perlu berdialog secara berterusan untuk mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh.

Dalam konteks inilah, teori 2IN bukan sahaja menjadi alat analisis, tetapi juga satu medium untuk pembinaan pengetahuan bersama yang merangkumi pelbagai dimensi budaya dan estetika.

Pada peringkat yang lebih luas, teori 2IN berfungsi sebagai jambatan antara tradisi dengan inovasi. Dengan menekankan interaksi antara unsur imej, persepsi pengkarya, dengan pembentukan identiti kolektif, teori ini membolehkan para pengkaji melihat mitos sebagai suatu entiti yang hidup, yang sentiasa berevolusi dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

Hal demikian amat penting dalam dunia seni kontemporari, kerana jelas sekali, naratif yang bersifat tetap tidak lagi mencukupi untuk menjawab persoalan tentang identiti dan kuasa dalam masyarakat yang semakin bersifat global, kompleks, berlapis, dan berdaya saing.

Teori ini juga menggalakkan pendekatan yang lebih kritis dan reflektif terhadap sumber mitos tradisional. Penggunaan pendekatan ini dalam konteks akademik memberi peluang kepada para penyelidik untuk mengkaji semula karya-karya klasik dengan perspektif yang lebih segar. Bahkan, sekali gus membuka ruang untuk penulisan semula dan penciptaan karya-karya baharu yang relevan dengan cabaran semasa.

Dengan pendekatan ini, mitos tidak lagi dilihat sebagai cerita kuno yang statik, tetapi sebagai wacana yang hidup, sentiasa bersedia untuk ditafsirkan semula dalam konteks cabaran dan keperluan masyarakat masa kini.

Kesimpulannya, teori 2IN memberikan sumbangan besar kepada bidang mitologi dan kesusasteraan. Teori ini menawarkan pendekatan yang segar dan dinamik dalam usaha memahami serta mentafsir ulang mitos dan memperkukuhkan kedudukan mitos sebagai alat intelektual. Jelas, konteks ini bukan sahaja mempertahankan warisan tradisi, tetapi juga sebagai mekanisme refleksi sosial dan pemerkasaan budaya.

Justeru, dengan gabungan unsur imej (image), suara pengkarya (I), dan identiti bangsa (nation), teori 2IN bukan sahaja membuka ruang untuk pentafsiran semula mitos secara kritikal, tetapi juga mengukuhkan dialog antara tradisi dengan inovasi. Pendekatan ini amat berharga dalam era globalisasi yang sering dipengaruhi oleh budaya luar yang mampu mencabar keaslian identiti tempatan.

Oleh itu, semua pengkaji seni kreatif, terutamanya pengkaji sastera, boleh dianjurkan untuk mengaplikasikan teori 2IN sebagai alat analisis yang komprehensif untuk meneroka dan mengembangkan naratif mitos dalam pelbagai bentuk ekspresi seni.

Pada kaca mata penulis, teori ini bukan sahaja berpotensi menyumbang pada pemahaman yang lebih mendalam tentang mitos dan kesusasteraan, tetapi juga membuka jalan kepada penciptaan pelbagai karya seni yang inovatif. Hal ini menjadi platform yang menghubungkan masa lalu dengan masa kini, tradisi dengan inovasi, dan individu dengan komuniti.

Dengan pendekatan ini, mitos tidak lagi dilihat sebagai cerita kuno yang statik, tetapi sebagai wacana yang hidup, sentiasa bersedia untuk ditafsirkan semula dalam konteks cabaran dan keperluan masyarakat masa kini.

Seimbas bicara, teori 2IN yang dikemukakan oleh Dr. Nasirin dapat menghampiri Kritikan Tipainduk atau Arketaip. Namun, jika pada juring teori 2IN, hal demikian masih dapat mengandungi peluasan dan signifikannya tersendiri dari segi peranan, pemahaman dan pemaknaannya. Namun begitu, reaksi ini bukanlah pada tujuan membandingkan beza peluasan dan hala tuju antara 2IN dengan Kritikan Tipainduk atau Arketaip tersebut. Malah, tidak semestinya teori ini dibangunkan oleh beliau daripada asas Kritikan Tipainduk atau Arketaip.

Selain itu, secara seimbas juga, jika dari renungan juring bahasa, kemungkinan Dr. Nasirin bagai perlu memperbaiki ubah, penggunaan nama teori ini yang mengguna pakai bahasa Inggeris: Image-I-Nation menjadikan sebutannya harus sebagai Teori 2IN itu, bagai lebih wajar untuk seharusnya lebih mengutamakan bahasa Melayu.

Namun berkemungkinan juga hal ini tidak memerlukan usaha demikian. Justeru, istilah yang digunakannya boleh tetap wajar demikian, sebagaimana sebutan atau penggunaan asalnya. Hal ini kerana teori ini dapat direnung sebagai cukup berpotensi dan berpeluang untuk terus berkembang, berhadapan dengan keperluan dan kepentingan studi atau atau kajian akademik secara lebih meluas pada peringkat antarabangsa. Maka, istilah dan ringkasan istilahnya itu boleh diwajarkan untuk kekal demikian.

Akhir kata, dari kaca mata penulis, penciptaan teori 2IN yang amat pintar ini diharapkan dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada perbincangan akademik serta menginspirasikan para pengkaji untuk terus meneroka dan mengembangkan naratif budaya melalui lensa yang lebih kritikal dan inovatif.

_________________________

Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi